Sunday, November 6, 2011

Berkorban demi kebahagiaan


SEMAKIN jauh perjalanan yang dilalui, semakin banyak dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh seluruh umat Islam. Apatah lagi hari ini merupakan Hari Raya Aidiladha, sudah pasti ia memberi pengertian yang cukup luas pada semua.
Tidak ada siapa yang mahu terus duduk dalam lembah kejahilan. Tidak ada siapa yang mahu memperjudikan nasib mengakhiri hidup dengan sia-sia. Apa yang pasti ramai yang mengimpikan hidup mereka dilimpahi rahmat yang tak putus-putus daripada Allah SWT.
Jalan-jalan yang dilalui tidak sesukar mana. Cuma halangan berliku yang sentiasa ditempuh sudah cukup untuk mencabar diri sama ada kuat atau tidak menghadapi ujian daripada Tuhan Yang Esa.

Bagi Irma Hasmie Ibrahim pula, sambutan lebaran kali ini serba sederhana. Dia sedar perubahan yang dapat dilihat oleh masyarakat hari ini bukan untuk menunjuk-nunjuk seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.
Semuanya datang daripada kerendahan hati yang mahu mencari jalan perubahan. Mungkin menjatuhkan hukuman lebih mudah tetapi apa yang bersarang di hati Irma tidak ada siapa yang dapat meneka.
“Saya berubah kerana sudah tiba masanya. Saya takut kepada azab yang Allah janjikan jika saya terus lalai dan lupa. Atas dasar itu saya berkorban mencari jalan perubahan agar dapat menikmati hidup dengan lebih sempurna.

“Alhamdulillah selepas beberapa bulan ini, saya lebih yakin dengan jalan yang saya pilih. Saya juga manusia biasa yang pernah lalai dan leka dengan segala hal tak penting.
“Kalau dulu saya melebihkan hal-hal duniawi sampaikan membelakangkan hal akhirat. Bila sampai waktu saya sedar yang jalan yang saya pilih adalah jalan yang sedikit tersasar.

“Buat perkara yang tak elok tu memang seronok. Jadi, saya kena kawal nafsu saya untuk buat perkara yang tak elok. Nak mengawal hati dan nafsu yang jadi cabaran paling besar.
“Saya tidak mencari kesempurnaan tapi saya mahu hidup saya lebih sederhana dalam segala segi. Biarlah segala-galanya bergerak seiring,” kata pengacara rancangan Assalamualaikum yang disiarkan stesen TV Al-Hijrah ini lagi.


Tak putus rezeki
MELIHATKAN senario perubahan besar yang berlaku pada segelintir artis pada hari ini, ramai yang teruja dengan perubahan imej dan perubahan besar yang mereka bawa.
Bukan satu atau dua artis yang telah berhijrah, tetapi ramai yang berbuat demikian.
Cuma, untuk berubah itu tidak semudah yang disangka kerana cabarannya tidak pernah padam. Ujian demi ujian yang harus ditempuhi oleh mereka sampaikan ada yang mula merungut apabila tawaran untuk mereka semakin kurang.

Tidak berniat untuk mendedahkan nama-nama artis yang terkena tempias ini. Ada yang mula bersuara apabila pengarah sudah tidak mahu lagi memberi tawaran sampai menyebabkan mereka rasa terbatas.
Saat soalan ini ditanyakan kepada wanita asal Kuala Lumpur ini, dia tenang menjawab satu persatu soalan yang dilemparkan.

“Ini adalah ujian daripada Allah. Allah tidak akan menurunkan ujian kalau kita tidak mampu menghadapinya,” luah Irma jujur.
Saat melihat wanita ini semakin galak bercerita, Irma cukup bersyukur kerana masih ada rezeki yang tak putus-putus untuk dirinya. Saban hari ada sahaja tawaran baru yang datang sampaikan dia kekurangan masa untuk melaksanakannya.

Melihatkan rezeki yang senantiasa melimpah-ruah menyalut kerjaya wanita ini, ia seakan-akan melenyapkan sedikit kata-kata kurang enak yang bertebaran sebelum ini.
“Saya tidak pernah rasa terjejas dengan perubahan ini. Orang selalu bertanyakan kepada saya soalan yang sama. Saya bersyukur sebab belum merasai situasi sebegitu.

“Bila kita pilih jalan begini, kita kena reda dengan apa yang berlaku. Semua orang mahukan keberkatan dalam mencari rezeki. Begitu juga dengan saya.
“Masih ada watak-watak baik yang ditawarkan pada saya oleh pengarah. Secara tak langsung saya juga berdakwah kepada semua penonton. Apabila mereka lihat saya, mana tahu mereka berubah sedikit ke arah kebaikan. Ini cukup menggembirakan saya,” tambahnya.


Jalan taubat
“ALLAH cukup sayangkan kepada orang yang bertaubat. Lupakah sahaja kisah lalu yang pernah membelenggu hidup kita dan mulakan hidup baru. Selagi tak berubah selagi itu kita akan duduk di takuk lama,” jelas pelakon drama bersiri Awan Dania ini lagi.
Tidak ada yang mustahil di dalam dunia ini. Begitu juga dengan Irma. Tidak malu mengakui yang dirinya sedikit tersasar dahulu, jelas Irma segala-galanya berubah saat dia menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah pada bulan Februari yang lalu.

Pengalaman berada di sana cukup indah untuk diingati. Saat melihat semua umat Islam tidak mengira taraf sujud menyembah Allah yang satu, hatinya terdetik yang dia perlu berubah.
Lantas sekembalinya daripada menunaikan umrah ketika itu dia nekad mahu menjadi muslimah yang baik. Ditinggal segala keburukan hanya untuk mencari reda Ilahi.

Irma, peluang dan ruang yang terbuka depan mata tidak harus dilepaskan begitu sahaja. Sesiapa juga patut mengambil peluang yang terhidang depan mata untuk sama-sama merasai kemanisan itu.
“Bila melihatkan ramai rakan-rakan artis yang lain sudah bertudung, hati saya jadi sayu. Saya tidak keseorangan menerima berita baik itu sebaliknya disambut dengan baik juga oleh peminat yang lain.
“Inilah pengorbanan kecil yang cukup manis. Hal-hal lama yang membelenggu perlu dibuang jauh-jauh. Lantaklah orang nak bercakap kita berubah sebab itu dan ini.

“Kita tak dapat nak tutup mulut orang. Orang bebas nak cakap apa sahaja asalkan kita tahu yang terbaik. Macam saya cakap tadi, hal lama biarkan ia berlalu.
“Biar Allah sahaja yang hukum kita. Siapa manusia nak jatuhkan hukuman dan cakap itu ini? Kalau ada yang terganggu, nasihat saya abaikan sahaja,” katanya yang telah pergi menunaikan umrah buat kali kedua pada bulan Ramadan yang lalu.


Cari lelaki beriman
MENYEBUT sahaja nama Irma, pasti ramai yang akan mengaitkan dirinya dengan insiden putus cinta yang berlaku tahun lalu. Semakin dia cukup melupakan kenangan itu semakin ia hampir membelenggu dirinya.
Pancaindera tidak berniat untuk mengungkit cerita yang telah terjadi itu. Cuma apa yang bermain di fikiran apakah benar Irma serik dalam percintaan.

Benarkah pengalaman putus cinta yang lalu amat perit sehingga menyebabkan dia kini lebih berhati-
hati untuk memilih pasangan?
“Saya positif dalam segala segi. Macam sekarang ni pun memang saya ada berkawan dengan seseorang. Cuma apa yang boleh saya katakan kami masih lagi baru dan tak boleh nak cakap lebih-lebih lagi.

“Nanti kalau saya cakap saya bercinta orang nak tahu bila nak kahwin. Bila tak jadi kahwin, orang tanya juga nanti. Dulu dah ada pengalaman, jadi saya rasa saya lebih pandai nak bawa diri dalam isu macam ni.
“Saya tak boleh nak kata bila saya nak tamatkan zaman bujang. Kalau awal jodoh saya sampai, mungkin tahun depan saya kahwin. Kalau lewat, tak tahulah bila.

“Bila tengok orang lain seronok melayari alam rumah tangga, saya pun ada terdetik perasaan itu. Jadi saya hanya mampu berdoa agar ada jodoh buat saya,” ujar duta kepada produk Femina Walit Gold ini.
Tidak menetapkan sebarang ciri-ciri khusus untuk calon suami, Irma hanya mengharapkan lelaki tersebut seorang yang soleh dan mampu membimbing dirinya ke jalan kebenaran.
“Saya hanya mampu merancang tetapi Allah juga yang menentukan,” kata Irma mengakhiri perbualan.








.

2 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on November 6, 2011 at 11:22 PM said...

alhamdulillah... bukan senang sebenarnya untuk tinggalkan dunia hiburan yang penuh dengan glamer dan jutaan peminat..

syukurlah jika lebih ramai artis yang berani ambil peluang untuk berhijrah sebelum nafas dihembus utk kali terakhir..

Unknown on November 6, 2011 at 11:56 PM said...

irma... wajah ayu... lemah lembut... kalau la irma ni betul2 visible depan mata hari2, mesti sam banjamin akan jatuh hati... hahaha

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!