Friday, November 25, 2011

Tak pernah kawan suami orang

SEJAK kebelakangan ini, mutu lakonan aktres jelita Fouziah Gous boleh dikatakan semakin menyerlah. Tidak hanya terikat dengan karakter lemah lembut dan sopan santun, dia kini muncul dengan watak lebih berani serta mencabar keupayaan diri.
Fouziah atau nama sebenarnya, Nor Fouziah Mohd Gous bukan lagi pelakon sebarangan yang bersandar pada wajah yang cantik. Sebaliknya, dia benar-benar mahu penonton menilai bakat lakonannya yang berkesan menerusi watak wanita bermadu.

Bermula dengan drama Trilogi Cinta di samping Rosyam Nor dan Amyza Adnan, gadis manis berusia 28 tahun ini makin rancak menerima watak ‘wanita bermadu’ apabila satu demi satu tawaran menjadi miliknya. Terbaru, drama Karma untuk TV9.

Diarahkan Erma Fatima, drama 13 episod itu menonjolkan Fouziah sebagai Karmila, seorang pelakon popular yang jatuh cinta dan berkahwin dengan lelaki berusia, Tan Sri Fahrul Sani lakonan Datuk Ahmad Tamimi Siregar. Namun, tak diterima isteri pertama.


Sarat dengan pelbagai konflik dan perasaan tidak puas hati, drama ini yang disiarkan menerusi slot Ratu mulai Isnin ini, jam 8.30 malam turut membariskan Ziela Jalil, Aaron Aziz, Datuk Rahim Razali, Azlee Khairi serta Fadhilah Mansor.

Ditemui ketika penggambaran drama ini di Plaza Shah Alam minggu lalu, Fouziah berkata Karma adalah lakonan kelima, dia diberi kepercayaan melakonkan watak wanita bermadu selepas Trilogi Cinta, Tahajud Cinta, Kekasih Awal dan Akhir serta Senyawa.

“Biarpun watak itu sama, tetapi tuntutan jalan ceritanya berbeza. Dalam Trilogi Cinta, saya rela menjadi isteri kedua kerana simpati dan kasih sayang. Manakala, Tahajud Cinta pula saya terpaksa menjadi isteri keempat kepada lelaki yang dibenci.

“Tidak terkecuali, telefilem Kekasih Awal dan Akhir yang menonjolkan saya sebagai madu bersikap antagonis. Begitu juga, Senyawa yang memerlukan saya berkongsi kasih suami kerana tak mampu melahirkan zuriat. Kesemuanya nyata sangat mencabar.

“Namun, ini hanyalah lakonan semata-mata. Dalam kehidupan realiti, saya sentiasa mengharapkan Tuhan memberi jodoh terbaik. Jujurnya, saya berdoa supaya dijauhkan kehidupan bermadu kerana dalam lakonan pun sudah dapat rasakan keperitannya.

“Inikan pula realiti. Lagi pun, saya tidak pernah berkawan dengan suami orang.
Kehidupan harian saya pun hanya tertumpu pada lima perkara iaitu karier, keluarga, gimnasium, bersukan dan makan. Setakat ini, tiada masa untuk bercinta,” katanya.

Menurut Fouziah, tuntutan kerjaya yang padat membuatkan tidak ada ruang untuknya bercinta. Bagaimanapun, naluri wanitanya tetap mengimpikan hidup berpasangan. Apapun, ujarnya sekarang dia lebih selesa memberi sepenuh perhatian pada karier.

Ditanya tidakkah dia takut dan bimbang akan ‘terkena badi’ kerana sering melakonkan watak hidup bermadu, Fouziah berkata kalau boleh, biarlah dijauhkan Tuhan. Menurutnya, dia tidak pernah berasa takut kerana apa yang dilakonkan adalah amanah.

“Sebagai pelakon, saya tidak boleh kata tak nak atau menolak terus sesuatu watak itu sebelum mencubanya lebih dulu. Jika ingin menjadi pelakon yang hebat, saya perlu berani menyahut cabaran sekalipun karakter diberikan agak berat dan mencabar.

“Saya akui memberanikan diri menerima watak wanita bermadu ini kerana menyahut cabaran diberikan Rosyam untuk membintangi drama Trilogi Cinta. Syukur, ia diterima baik penonton dan saya juga berpeluang kerja dengan Erma,” katanya.

Menurut Fouziah, dia suka bekerja dengan Erma kerana watak diterima cukup mencabarnya. Kata anak bongsu dalam keluarga ini, Erma juga sering membantu dan banyak memberikan tunjuk ajar. Malah, Fouziah sendiri berasa amat selesa.



Sukar lakon watak Karmila

DRAMA Karma bukan saja mengisahkan kehidupan bermadu yang pahit bagaikan hempedu, tetapi diakui Fouziah amat menyeksakan dirinya. Ini kerana, buat pertama kali dia perlu menjalin cinta dengan lelaki berusia yang sering disapa dengan panggilan ‘ayah’.

“Tak dinafikan, ini bukanlah lakonan sulung saya di sisi Ahmad Tamimi kerana kami sering bergandingan sebagai anak dan ayah dalam drama mahu pun telefilem.
Bagaimanapun, memang sukar dalam Karma kerana kami berdua harus bercinta.

“Ia percintaan yang pelik dan ada kalanya mendatangkan tekanan kepada saya kerana sudah terbiasa menyapa beliau dengan panggilan ayah. Namun, kini perlu membiasakan diri memanggilnya ‘sayang’ kerana kami berlakon sebagai suami isteri.

“Pada mulanya, saya macam tak boleh nak buat karakter ini terutama, tuntutan skrip yang memerlukan reaksi mata yang menunjukkan kasih sayang isteri kepada suaminya. Saya kena bersikap manja, mengada-ngada dengan beliau selaku isteri muda.

“Bayangkan, orang yang dilihat dengan pandangan sebagai seorang ayah, perlu saya panggil sayang. Ia memang satu kesusahan. Namun, saya terpaksa mencuba sehingga boleh walaupun hakikatnya amat menggelikan,” ujar Fouziah mengenai wataknya.

Menurut Fouziah, babak membabitkan dia dan Ahmad Tamimi sangat banyak dan semuanya sudah cuba dilakukan seikhlas hati. Sehubungan itu, Fouziah tetap mengharapkan lakonannya dalam Karma diterima serta dinilai dengan baik oleh penonton.





Makan sambil tengok Twilight Breaking Dawn





.

2 Penyokong CHELSEA:

Anonymous said...

tak minat pun dgn dia ni

Ce'gu JAERA on November 25, 2011 at 11:29 AM said...

nak jadi artis jangan sekadar nak main2 gosip.. ngeee

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!