Sunday, November 6, 2011

Warga emas diragut ibu tunggal muda

Seorang ibu tunggal berusia 18 tahun dicekup selepas meragut seorang wanita di tempat letak kereta sebuah pasar raya di sini kelmarin.
Kejadian pukul 6 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 59 tahun dalam perjalanan ke keretanya di tempat letak kereta pasar raya berkenaan selepas selesai membeli-belah.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, mangsa yang keseorangan ketika itu tiba-tiba dihampiri suspek yang kemudian bertindak merampas dompet yang dipegang mangsa.
“Setelah meragut dompet mangsa, suspek terus melarikan diri namun tindakan mangsa menjerit meminta tolong berjaya menarik perhatian orang ramai.

“Suspek berjaya ditahan oleh orang awam dan seorang anggota polis peronda yang kebetulan melalui kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya di sini semalam.
Menurut Zulkefly, mangsa yang merupakan suri rumah tidak mengalami sebarang kerugian bagaimanapun hanya cedera ringan akibat ditolak suspek.

Katanya, pemeriksaan air kencing suspek yang menganggur itu turut mendapati positif dadah jenis syabu.
Ujarnya, suspek yang berasal dari Kulai dan mempunyai seorang anak berusia setahun bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan sepasang kekasih di sebuah hotel bajet di Senai dan merampas 57.4 gram dadah jenis heroin dan syabu, kelmarin.








.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!