Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari Khamis lalu, mangsa, Hadif Hazin Azli, 6, baru selesai menjamu selera di sebuah restoran makanan segera bersama ibu bapanya, Norazila Sulaiman, 37, dan Azli Ahmad, 38, serta dua adiknya.
Azli berkata, mereka tidak sedar terdapat lubang pada jeriji besi itu dan terkejut apabila anaknya tiba-tiba jatuh kerana kaki terjerlus ke dalam lubang berkenaan.
"Kami cuba mengeluarkan kakinya, namun gagal dan Hadif menangis kesakitan. Saya memanggil orang ramai untuk membantu mengeluarkan kaki anak saya namun usaha kami turut gagal," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang berada di kawasan kejadian kemudian menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
"Saya dan isteri cuba menenangkan Hadif dan kira-kira 10 minit selepas itu, beberapa orang anggota bomba tiba di tempat kejadian untuk mengeluarkan kaki anak saya dengan memotong jeriji besi itu," ujarnya.
Menurutnya, Hadif kemudian dihantar ke klinik berdekatan untuk rawatan.
"Saya bersyukur kerana dia selamat dan berharap pihak bertanggungjawab memantau keadaan penutup longkang di sekitar bandar ini agar perkara sama tidak berlaku kepada orang lain," katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment