Tuesday, December 27, 2011

Jalan utama Indonesia lumpuh kerana banjir


Hujan lebat pada sambutan Krismas yang berlarutan hingga semalam mengakibatkan kawasan penempatan dan jalan raya utama di beberapa negeri di Indonesia dinaiki air sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang dalam perjalanan bercuti akhir tahun.

Media tempatan negara itu dalam laporannya, berkata kebanyakan kawasan berkenaan banjir selepas air sungai melimpah dan memaksa sebilangan penduduk berpindah ke pusat pemindahan dan menumpang di rumah saudara di kawasan yang lebih tinggi.

Jalan utama yang terjejas akibat banjir semalam meliputi jalan raya Pantai Utara Kraton di Pasuruan, Jawa Timur.
Ia turut menyebabkan lalu lintas di sekitarnya lumpuh pada Ahad hingga awal pagi semalam.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa terpaksa mengalihkan lalu lintas ke jalan Pandaan-Purwosari-Pasuruan.

Sebanyak 2,515 rumah di tiga daerah Jawa Timur iaitu Bangil, Pohjentrek dan Kraton turut dinaiki air sedalam 0.75 meter.

Di Pontianak, Kalimantan Barat, air Sungai Kapuas yang melimpah menyebabkan jalan utama di ibu negeri itu serta beberapa kawasan penempatan dinaiki air sehingga 0.5 meter dan memaksa sebilangan penduduk dipindahkan.
Sementara itu, ratusan kediaman di empat kampung di daerah Cirebon, Jawa Barat, turut dinaiki air hingga 0.5 meter hingga menyebabkan penghuni dipindahkan ke khemah yang disediakan sebagai pusat pemindahan banjir.

Di daerah Bandung, Jawa Barat pula, 620 rumah di beberapa kawasan dinaiki air lebih 0.5 meter selepas air Sungai Citarum melimpah dan 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan.

Di daerah Kampar, Riau, Sumatera, banjir kilat semalam mengakibatkan air Sungai Sebayang melimpah dan sekurang-kurangnya 500 rumah dinaiki air sehingga satu meter.

Kawasan yang terjejas termasuk empat kampung iaitu Domo, Padang Sawa, Teluk Paman Timur dan Kuntu dan kebanyakan penduduknya sudah dipindahkan. Riau, yang terletak di bahagian Timur Sumatera Barat mengalami hujan lebat sejak seminggu lalu.

Sabtu lalu, Pekanbaru iaitu ibu negeri Riau dinaiki air melebihi 0.5 meter.









.

2 Penyokong CHELSEA:

PCL on December 27, 2011 at 8:37 PM said...

kena berhati2 dalam musim banjir cmni..negara kita pun turut mengalami khususnya negeri2 pantai timur.

Ce'gu JAERA on December 28, 2011 at 9:32 AM said...

musibah Allah swt buat manusia yang sentiasa membuat kerosakan...

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!