Hasrat sekurang-kurangnya 12 bersaudara mengerjakan umrah menerusi pakej ditawarkan agensi milik sebuah kumpulan nasyid tempatan, masih tidak kesampaian meskipun sudah membayar RM51,000 sejak dua tahun lalu.
Nasib malang itu menimpa pasangan Hamidah Ismail, 57 serta suaminya, Zahari Edin, 54, serta empat ahli keluarga mereka terdiri Fatimah Karman, 76, Khatijah Ismail 51, Mohd Yasah, 58 dan Khartini Idin, 58, yang masing-masing sudah membayar RM4,000.
Situasi sama menimpa saudara mereka, suri rumah Maryam Mustafa, 54 dan suaminya, Abdul Manan, 57; serta ahli keluarga Muzaffar Shah, 31; Marzuki Manan, 26; Maslina Manan, 29 dan Raha Rohaizad, 27, yang setiap seorang sudah membayar RM4,500.
Hamidah berkata, keluarganya tertarik menyertai pakej umrah terbabit kerana ditawarkan penceramah yang sebelum ini pernah mengajar agama di surau taman perumahan berhampiran Kampung Cahaya Masai di sini.
“Suami saya membayar tunai RM24,000 kepada ustaz itu bagi membolehkan kami sekeluarga menyertai pakej umrah yang ditawarkannya sebagai wakil agensi kendalian kumpulan nasyid berkenaan.
“Selepas membayar kos ditetapkan, semua kelengkapan umrah seperti kain ihram serta telekung serta kelengkapan bagasi seperti beg tertera nama syarikat kumpulan nasyid terbabit diberikan kepada kami ketika menyertai kursus mengerjakan umrah pada 1 Mac 2009.
“Namun, menjelang tarikh perjalanan yang ditetapkan, kami mula berdepan masalah apabila diberi pelbagai alasan termasuk hotel yang ditempah sepanjang mengerjakan umrah sudah diroboh serta syarikat perlu menempah hotel lain,” katanya.
Katanya, seminggu sebelum tarikh berlepas yang ditetapkan pada 18 Jun 2009, keluarganya cuba menghubungi penceramah bebas itu dan syarikat berkenaan namun tidak mendapat sebarang jawapan.
“Anak saudara saya yang turut serta dalam pakej ini pergi ke pejabat syarikat terbabit di Petaling Jaya, namun kerani di situ mendakwa tidak tahu menahu berhubung masalah yang menimpa kami,” katanya.
Katanya, selepas kejadian itu mereka menghubungi penceramah terbabit tetapi diberitahu yang perjalanan umrah mereka terpaksa ditangguhkan beberapa kali sehingga kini mereka tidak berpeluang mengerjakan ibadat itu meskipun sudah lebih dua tahun berlalu.
“Nasib malang turut menimpa enam saudara lain yang masing-masing membayar RM4,500 seorang. Mereka perlu membayar tambahan RM500 setiap seorang berbanding kami kerana dikatakan lewat mendaftar.
“Wang itu juga perlu dibayar secara tunai kerana penceramah itu tidak mahu menerima sebarang bayaran pendahuluan atau sebarang bayaran menggunakan cek,” katanya.
Semakan dalam laman web Persatuan Pengusaha Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA) mendapati syarikat milik kumpulan nasyid terbabit sudah disenaraikan sebagai agensi yang dibatalkan lesen mereka oleh Kementerian Pelancongan sejak 24 Januari lalu.
Semakan mendapati syarikat sama pernah diperintahkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) supaya membayar balik kos umrah yang dikutip daripada peserta pakej kendalian mereka yang dibatalkan atas alasan hotel runtuh.
.
2 Penyokong CHELSEA:
kesiannya... sampai hati juga warga emas diperlakukan macam tu. Hajat nak tunaikan haji plak tu.. Jangan percayakan sesiapa termasukla ustaz yang alim ni...
Huh...duit punya pasal AGAMA jadi taruhan!
Post a Comment