Wednesday, December 21, 2011

Lelaki mengamuk, nenek cedera


Seorang nenek berusia 81 tahun menempuh saat-saat paling mencemaskan dalam hidupnya apabila dibelasah seorang lelaki dalam satu kejadian amuk di Kampung Tersusun Alor Bakong, Langkap di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, warga emas, Hasipah Ngah Kassim dicekik, diheret dan dipijak sebelum kepalanya dipukul serta dihantukkan ke dinding oleh lelaki dipercayai kurang siuman yang tiba-tiba memasuki rumahnya.
Ekoran kejadian itu, Hasipah yang mengalami cedera di leher, kepala serta lebam di seluruh badan, dikejarkan ke sebuah klinik kesihatan, di sini.

Keadaan warga emas itu, bagaimanapun kini dilaporkan stabil tetapi masih trauma ekoran kejadian tersebut.
Cucu mangsa, Mohd. Izwan, 12, yang menyedari kejadian itu memberitahu, insiden berlaku ketika neneknya itu baru selesai menunaikan solat di salah sebuah bilik di rumah mereka.
“Tiba-tiba saya terdengar suara nenek menjerit-jerit kesakitan dan saya bergegas cuba menyelamatkan nenek tetapi lelaki itu memukul dan mengugut membunuh saya jika masuk campur.

“Saya kemudian meminta pertolongan jiran-jiran yang akhirnya dapat menyelamatkan nenek yang terkulai kesakitan di lantai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Penduduk, Roshaidah Shamsudin, 33, memberitahu, lelaki kurang siuman itu sering menakut-nakutkan penduduk yang mengamuk secara tiba-tiba tanpa mengira siang atau malam.
Malah, dia mendakwa, lelaki tersebut yang selalu dilihat membawa parang, pernah cuba menikam anak saudaranya sendiri selepas didapati cuba memasuki rumah untuk mencuri.

“Kita harap, pihak berkuasa segera mengambil tindakan. Kita tidak mahu peristiwa berdarah di Taman Mawar Langkap pada 2009 melibatkan seorang lelaki yang menetak mati isterinya ketika bersahur akan berulang di kampung ini,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Supritendan Muhammad Zaki Harun ketika mengesahkan kejadian itu berkata, suspek yang dikenali sebagai Zali Abdullah, 32, kini ditahan untuk membantu siasatan.
“Buat masa ini, kita dimaklumkan suspek menghidap penyakit mental, tetapi siasatan masih dijalankan,” katanya.










.

2 Penyokong CHELSEA:

Anonymous said...

kuatnya nenek tu..semoga kesihatan die kemabali normal..@_@

Ce'gu JAERA on December 21, 2011 at 1:10 PM said...

lelaki kurang siuman tu patut di ajar... daripada menakut2kan org kampung, baik hantar kat pusat pemulihan

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!