Tuesday, December 27, 2011

Jalan utama Indonesia lumpuh kerana banjir


Hujan lebat pada sambutan Krismas yang berlarutan hingga semalam mengakibatkan kawasan penempatan dan jalan raya utama di beberapa negeri di Indonesia dinaiki air sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang dalam perjalanan bercuti akhir tahun.

Media tempatan negara itu dalam laporannya, berkata kebanyakan kawasan berkenaan banjir selepas air sungai melimpah dan memaksa sebilangan penduduk berpindah ke pusat pemindahan dan menumpang di rumah saudara di kawasan yang lebih tinggi.

Jalan utama yang terjejas akibat banjir semalam meliputi jalan raya Pantai Utara Kraton di Pasuruan, Jawa Timur.
Ia turut menyebabkan lalu lintas di sekitarnya lumpuh pada Ahad hingga awal pagi semalam.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa terpaksa mengalihkan lalu lintas ke jalan Pandaan-Purwosari-Pasuruan.

Sebanyak 2,515 rumah di tiga daerah Jawa Timur iaitu Bangil, Pohjentrek dan Kraton turut dinaiki air sedalam 0.75 meter.

Di Pontianak, Kalimantan Barat, air Sungai Kapuas yang melimpah menyebabkan jalan utama di ibu negeri itu serta beberapa kawasan penempatan dinaiki air sehingga 0.5 meter dan memaksa sebilangan penduduk dipindahkan.
Sementara itu, ratusan kediaman di empat kampung di daerah Cirebon, Jawa Barat, turut dinaiki air hingga 0.5 meter hingga menyebabkan penghuni dipindahkan ke khemah yang disediakan sebagai pusat pemindahan banjir.

Di daerah Bandung, Jawa Barat pula, 620 rumah di beberapa kawasan dinaiki air lebih 0.5 meter selepas air Sungai Citarum melimpah dan 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan.

Di daerah Kampar, Riau, Sumatera, banjir kilat semalam mengakibatkan air Sungai Sebayang melimpah dan sekurang-kurangnya 500 rumah dinaiki air sehingga satu meter.

Kawasan yang terjejas termasuk empat kampung iaitu Domo, Padang Sawa, Teluk Paman Timur dan Kuntu dan kebanyakan penduduknya sudah dipindahkan. Riau, yang terletak di bahagian Timur Sumatera Barat mengalami hujan lebat sejak seminggu lalu.

Sabtu lalu, Pekanbaru iaitu ibu negeri Riau dinaiki air melebihi 0.5 meter.









.

Paling laju


KERETA api laju generasi baru siri CRH buatan China yang mampu mencapai kelajuan 500 kilometer sejam menjalani ujian pertamanya di Qingdao, wilayah Shandong pada hujung minggu lalu.
Ia bakal menjadi kereta api paling laju di dunia.

Kereta api buatan syarikat CSR Corp. Ltd. itu mempunyai bentuk kepala menyerupai pedang purba China dan gerabaknya diperbuat daripada bahan plastik yang diperkuatkan dengan fiber karbon.
Ia mempunyai kuasa tarikan maksimum 22,800 kilowatt berbanding model CRH380 yang mempunyai kuasa tarikan 9,600 kilowatt. Pada masa ini kereta api berkelajuan tinggi CRH380 yang digunakan untuk laluan Beijing-Shanghai memegang rekod sebagai kereta paling laju di dunia dengan kelajuan 300 kilometer sejam.









.

Gadis tanggung tiga adik


Setelah kematian kedua-dua ibu bapanya dalam tempoh 10 bulan, seorang gadis berusia 20 tahun kini terpaksa memikul tugas sebagai ketua keluarga dengan menanggung tiga orang adiknya sejak November lalu.
Nur Sabirah Mohd Tamize, seorang pekerja kilang di Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan terpaksa menyara tiga orang adik-adiknya dengan dua daripada mereka masih bersekolah.

Gadis yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu terpaksa mengambil alih tugas menyara tiga adiknya Nur Sabihah, 16, yang berhenti sekolah sebelum sempat mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Norsyafika, 12, yang akan menduduki Tahun Enam pada tahun ini dan Mohd. Danial Zulfahrin, 4, yang akan memulakan persekolahan Januari depan di Kelas Pra Sekolah.
Nur Sabirah yang ditemui di rumah mereka di Kampung Bagan Samak di sini hari ini berkata, bapa mereka Mohd. Tamize Osman, 47, meninggal dunia akibat ketumbuhan di otak pada 5 Januari lalu.

"Ibu, Azlina Awang, 43, pula meninggal dunia akibat diabetik dan hipertensi pada 18 November lalu. Ayah adalah seorang tukang rumah semasa hidupnya sementara ibu pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dan terpaksa berhenti kerja setelah ayah sakit," katanya.
Mujurlah dalam menghadapi masalah tersebut kedua-dua ibu bapa mereka sempat membina sebuah rumah yang sederhana besarnya di tanah pusaka keluarga itu untuk empat beradik itu tinggal dan berteduh daripada panas dan hujan.

Bapa saudara dan jiran kepada anak yatim piatu empat beradik itu, Abdul Malik Abdul Rahman, 62, berkata, beberapa hari selepas kematian ibu mereka, ada juga yang manyatakan hasrat untuk mengambil adik bongsu mereka Mohd. Danial Zulfahrin dan Nursyafika untuk dibela sebagai anak angkat tetapi Nur Sabirah enggan melepaskan mereka.

Sementara itu, sekumpulan anggota Alumni Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1980 Sekolah Menengah Agama Sultan Izzuddin Shah (SMASIS), Ipoh, Perak hadir di rumah Nur Sabirah bagi mengkaji latar belakang keempat-empat beradik itu dan mereka bersetuju untuk menjadikannya sebagai anak angkatnya.

Wakil kumpulan itu, Roslan Mohd Husin, 46, berkata, program anak angkat itu yang merupakan projek perintis kumpulan yang dianggotai hampir 100 orang itu, akan berusaha membantu meningkatkan tahap persekolahan Norsyafika serta Mohd. Danial Zulfahrin untuk masa depan yang lebih baik serta terjamin.
"Sasaran kami akan sedaya upaya memberi dorongan dan galakan kepada Norsyafika supaya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 ini, selain turut membantu masalah kewangan yang dihadapi mereka," katanya.

Katanya, kumpulan tersebut berjaya mengumpul RM900 sebagai bantuan permulaan untuk membeli pakaian dan peralatan belajar bagi dua beradik yang akan memulakan persekolahan tidak lama lagi.
Wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu yang juga salah seorang anggota alumni itu, Helmi Abdul Khan yang turut hadir di rumah tersebut berkata, pihaknya akan memohon Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Bandar Baharu supaya menambah bantuan kepada dua beradik itu daripada RM100 sebulan kepada RM150 seorang.

Helmi berkata, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Malaysia (Jasa) Parlimen Kulim/Bandar Baharu Rohana Che Din juga bersetuju menyumbangkan secara peribadi bayaran tuisyen bulanan kepada Norsyafika bagi menghadapi UPSR.
Orang ramai dan mereka yang bersimpati dengan kedaifan hidup empat beradik itu bolehlah menghulurkan sumbangan mereka melalui akaun Nur Sabirah Mohd. Tamize Bank CIMB No 07310014578522 atau menghubunginya menerusi 013-4638904.









.

Memperingati Bencana Tsunami 2004



Beribu-ribu orang berkumpul di satu padang golf di bandar Lhoknga, Aceh Besar bagi memperingati ulang tahun ketujuh bencana tsunami yang melanda wilayah itu dan mengorbankan beribu-beribu nyawa.
Mereka yang menghadiri majlis peringatan bencana alam yang berlaku ekoran gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter pada 26 Disember 2004, berdoa untuk kesejahteraan lebih 200,000 mangsa yang terkorban dalam bencana itu.

Agensi berita Antara melaporkan Lhoknga merupakan antara bandar di utara Aceh yang paling teruk dilanda tsunami dengan 80 peratus kawasannya musnah.
Antara yang menghadiri majlis itu ialah Gabenor Aceh, Irwandi Yuruf,
Beribu-ribu pelajar sekolah, kakitangan awam, tentera serta pelancong Jepun turut menghadiri upacara itu.

Di Phuket, majlis serupa diadakan di Mai Khao bagi memperingati lebih 5,000 mangsa yang terkorban dalam bencana tsunami di negara itu.
Lebih separuh daripada 5,395 mangsa yang terkorban itu dan 2,817 orang yang masih hilang di Thailand merupakan warga asing yang bercuti di resort-resort di pulau Phi Phi dan Phuket serta wilayah Phangnga.

Pengarah Pihak Berkuasa Pelancongn Thailand di Phuket, Bang-orurat Shinaprayon berkata, pihak berkuasa telah memasang sistem amaran di pantai-pantai yang menjadi destinasi pelancongan popular.
''Maklumat laluan kecemasan juga dipaparkan di kebanyakan hotel,'' katanya.
Pulau peranginan itu dijangka menarik 5.1 juta pelancong pada tahun ini.









.

Cerita terbaru mengenai Jimmy Shanley


SETELAH setahun dihadap dengan kisah perkahwinannya yang tak sudah, ada perkara baru yang perlu ditahui mengenai lelaki ini.
Jimmy Shanley Norjahan Saleh atau lebih dikenali sebagai Jimmy Shanley, 31, kini bergelar seorang pelakon apabila muncul buat pertama kalinya di dalam drama bersiri Antara Garisan yang akan disiarkan di saluran Astro Ria.

Menurut Jimmy walaupun dia sudah lama berada di dalam dunia pengacaraan, ini merupakan kali pertama dia bersetuju untuk berlakon.
“Tahun ini saya agak kurang melakukan pengacaraan.
“Setelah enam bulan berada di rumah tanpa berbuat apa-apa, saya fikir menerima pelawaan dari pihak Astro ini dapat mengurangkan kebosanan,” katanya ketika hadir ke pelancaran drama tersebut di Kota Damansara, Selangor.
Diberi peluang untuk berlakon disamping pelakon hebat seperti Rusdi Ramly, Jimmy bersyukur kerana melalui pengalaman ini dia dapat membuka satu lagi lembaran baru dalam kerjaya.

“Secara jujurnya saya langsung tidak mempunyai pengetahuan di dalam bidang lakonan, malah untuk membaca skrip pun saya tidak pandai. Bagaimanapun melalui perkongsian ilmu dengan mereka yang lebih lama, ia banyak membantu saya.
“Pada masa hadapan, saya juga akan turut mempertimbangkan untuk berlakon lagi, jika skrip yang ditawarkan itu menjurus kepada pengajaran atau berbentuk keagamaan,” katanya yang kini dilihat semakin ceria.
Sementara itu menurut Jimmy setelah setahun jarang berada di hadapan kamera, rutin kehidupannya kini banyak dihabiskan untuk bermuhasabah diri yang selama ini menurutnya banyak melakukan kesilapan.
“Saya kini merupakan ahli jawatankuasa surau di di kawasan perumahan. Harapan saya hanya satu semoga dengan kepercayaan ini dapat membawa diri saya ke arah kebaikan.

“Disamping itu juga saya turut diberi peluang untuk memberi ceramah motivasi khususnya kepada remaja dan kanak-kanak di kawasan perumahan yang sama,” katanya yang bakal mucul melalui program kanak-kanak di Astro Ceria tidak lama lagi.
Mustahil rasanya jika tidak ditanya perkembangan terbaru kisah rumah tangganya bersama isterinya Nursuhaila Elliani Shuhaimy, 25.

Bagi Jimmy dia kini tidak lagi mahu kisah peribadinya menjadi perhatian umum, malah dia juga akan membuat permohonan kepada mahkamah untuk menjalankan perbicaraan kes perceraian secara tertutup.
“Mungkin dengan cara ini tiada siapa lagi yang akan diaibkan,” katanya ringkas.
Menurut Jimmy sehingga kini, dia masih belum terfikir bahawa penceraian merupakan jalan terakhir untuk dia dan isterinya. Jimmy mengharapkan ada jalan yang lebih baik buat mereka selepas ini.

“Tipulah jika saya katakan saya tidak rindu kepada anak. Saya percaya Zahrah berada di dalam keadaan yang baik walaupun sudah lima bulan tidak bertemunya.
“Sehingga ke saat ini saya tidak pernah terfikir akan berlaku penceraian antara kami. Saya akan terus berdoa untuk kesejahteraan isteri saya,” katanya.









.

Maut dihempap dahan pokok


Fenomena angin kencang di pantai barat Semenanjung mengorbankan seorang pemuda yang mati setelah dihempap dahan sebatang pokok akasia yang tiba-tiba patah di Jalan Ayer Salak di sini hari ini.
Ketika kejadian pada pukul 10.45 pagi itu, Tan Yong Wee, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Ayer Salak untuk berjumpa abangnya di Tanjung Minyak.
Mangsa bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai.

Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan di seluruh negara berikutan tiupan angin Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga 29 Disember ini.
Sementara itu, saksi kejadian, Lim Kang Sui, 53, berkata, semasa itu angin sedang bertiup kencang dan dia yang menunggang motosikal kira-kira 100 meter di belakang mangsa nampak Yong Wee dihempap dahan yang patah itu.

"Saya nampak sebatang dahan pokok itu jatuh dan menimpa Yong Wee yang kemudian dia dan motosikalnya rebah. Saya cuba beri pertolongan. Kepala mangsa yang masih memakai topi keledar berlumuran darah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Keng Sui berkata, dia baru mengetahui pemuda itu bekerja di tempat yang sama dengannya setelah memeriksa kad pengenalan mangsa.

Sementara itu, Pengawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, N. Raman berkata, ketika pihaknya sampai kira-kira pukul 11.03 pagi, mayat pemuda itu terbaring dengan seluarnya tersangkut pada besi belakang tempat duduk motosikal.
"Mangsa mungkin terseret sejauh beberapa meter kerana mayatnya berada agak jauh daripada tempat dahan pokok itu menghempapnya," katanya.









.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!