Wednesday, January 25, 2012

Ambillah ikhtibar


Seperti tidak mengambil iktibar daripada tragedi-tragedi mati lemas dalam tempoh dua hari lalu, tiga lagi termasuk dua beradik menjadi mangsa terbaru kejadian itu, petang semalam.

Dalam kejadian itu, dua beradik dan seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mati lemas di Pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil dan di Pantai Tanjung Balau dekat Desaru di sini.

Dalam kejadian pertama pukul 2.30 petang di Pantai Tanjung Buloh, Mohamad Izzuddin Sanudin, 12, dan Mohamad Aqhmal (gambar), 21, dari Ulu Tiram, Johor Bahru ditemui dalam keadaan terapung selepas keluarganya menyedari kehilangan mereka berdua.

Ibu bapa mereka, Sanudin Abu, 45, dan Norhayati Ibrahim, 43, datang ke pantai itu sejak pagi untuk berkelah bersama enam anak mereka yang lain.

Menurut Norhayati, sebelum itu mereka dikejutkan dengan kejadian kanak-kanak nyaris lemas dan dikejarkan ke pantai untuk pertolongan cemas.

“Namun pada masa sama, kami menyedari Mohamad Izzuddin dan Mohamad Aqhmal tiada di celah orang ramai lantas mula mencari mereka berdua.

“Tidak lama kemudian seorang pemancing ternampak satu mayat terapung lalu menariknya ke pantai.

“Kami terperanjat kerana mendapati mangsa adalah Aqhmal dan selang setengah jam, mayat Izzuddin pula ditemui terapung oleh seorang pengunjung lain,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini semalam.

Jenazah dua beradik itu dituntut ahli keluarganya pada pukul 9 malam selepas bedah siasat sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga mereka di Ulu Tiram dan dikebumikan pada malam yang sama di Tanah Perkuburan Islam Ulu Tiram.

Ketua Polis Daerah, Che Mahazan Che Aik berkata, selain dua beradik itu, seorang lagi mangsa yang merupakan lepasan SPM, Richard Rajakumaran, 18, mati lemas di Pantai Tanjung Balau, Desaru, pukul 2 petang.

Katanya, mangsa datang ke pantai itu bersama 17 ahli keluarganya dari Taman Perling, Johor Bahru.

Difahamkan, seramai tujuh daripada mereka bermain air di pantai sebelum dilambung ombak namun hanya Richard seorang yang hilang dibawa arus.

“Mayat Richard ditemui terdampar di pantai di tempat kejadian 30 minit kemudian,” katanya lagi.











.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!