Akibat kemalangan yang dialaminya Ogos tahun lalu, seorang pelajar, Mohamad Fathi Mohd. Ariff, 17, tidak dibenar meneruskan pelajaran di sebuah sekolah elit di negeri ini (setiu).
Alasan pihak sekolah terbabit ialah pelajar tingkatan lima itu dikhuatiri tidak mampu lagi memberikan prestasi yang baik terutama dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.
Bapa pelajar tersebut, Mohd. Ariff Mohamad, 39, mendakwa, anaknya yang telah menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong sejak di tingkatan satu, diarah berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok ketika mereka datang untuk mendaftar bagi sesi baru pada 2 Januari lalu.
''Alasan itu sukar diterima dan kerana rasa tidak puas hati dan malu, saya membuat laporan polis pada hari yang sama," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Gong Tengah, di sini hari ini.
Anak sulung kepada pasangan Mohd. Ariff dan Rosila Hussin, 37, itu terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kedua belah kakinya patah dan penglihatannya terjejas.
''Dia masih ke sekolah beberapa minggu sebelum sesi tahun lalu berakhir bagi membolehkannya menduduki peperiksaan akhir tahun tingkatan empat biarpun dibenarkan bercuti sakit selama dua bulan oleh pihak hospital,'' katanya.
Menurutnya, antara alasan diberikan ialah anaknya itu mengalami kecacatan, tekanan perasaan serta gagal menduduki peperiksaan akhir yang dibimbangi tidak mampu memberikan prestasi baik dalam peperiksaan SPM.
"Sebelum ini pengetua sekolah memaklumkan Fathi hanya perlu mengulang tingkatan empat jika masih mahu mengambil peperiksaan SPM di sekolah itu kerana dia telah ketinggalan sesi pembelajaran kira-kira dua bulan.
"Namun ketika hari pendaftaran, pengetua, wakil Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) memaklumkan anak saya tidak dibenarkan meneruskan pelajaran di sekolah itu," katanya.
Menurutnya, dia tidak berniat mencabar pihak terbabit namun tindakan itu dirasakan tidak adil kepada anaknya.
Mohamad Fathi pula berharap dia dapat meneruskan pelajaran di sekolah terbabit kerana telah selesa dengan cara pembelajaran di sekolah itu.
"Saya seronok belajar di sekolah berkenaan dan berharap dapat kembali ke sekolah itu lagi," jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Hashim Mohd. Zain ketika dihubungi berjanji akan menyiasat dakwaan tersebut dan akan menemui keluarga Mohamad Fathi untuk berbincang.
.
1 Penyokong CHELSEA:
ksiannya dya..x psai2 kna pndah skolah plak..dah jd keja nak ssuaikan diri..
Post a Comment