Thursday, January 19, 2012

Empat maut dalam satu kemalangan ngeri


Empat maut dalam satu kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Sultan Mizan berdekatan Taman Semarak di sini petang ini.
Tiga daripada mangsa tersepit dalam kenderaan yang remuk menyebabkan pihak bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mereka.

Seorang lagi mangsa dikatakan tercampak keluar dalam nahas yang berlaku pukul 6.15 petang itu. Empat yang maut itu ialah Nor Azmi Mat Jusoh, 21; Mohd. Zaini Abdul Razak, 43; Mohamad Faris Shaimi, 26 dan Mohd. Rizal Ibrahim, 30.

Nahas dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda yang dinaiki Mohamad Faris dan Mohd. Rizal terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta Kancil dinaiki Nor Azmi dan Mohd. Zaini.

Berikutan itu, tiga daripada mereka tersepit, manakala Mohd. Rizal pula tercampak lebih lima meter ke dalam semak di tepi jalan.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan ketiga iaitu Noraini Mohamad, 32, tidak mengalami kecederaan sebaliknya kereta jenis Proton Persona dipandunya hanya remuk di bahagian hadapan. Noraini ketika ditemui berkata, dia sedang memandu di belakang kereta Kancil sebelum ternampak sebuah kereta Honda yang dipandu laju dari arah bertentangan.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang dari bandar Kuala Terengganu ke rumah di Wakaf Tengah. Tiba-tiba saya nampak kereta Honda itu terbabas lalu 'terbang' dan merempuh kereta di depan dan kereta saya.

"Saya tergamam dan tak sempat buat apa-apa," katanya yang tidak mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Abdullah Zawawi Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.26 petang dan tiba tujuh minit kemudian dengan sebuah jentera yang disertai enam anggota.

Berdasarkan keterangan polis, Nor Azmi berasal dari Felda Mengkawang, Ajil, Hulu Terengganu manakala rakannya, Mohd. Zaini pula berasal dari Ayer Keroh, Melaka.

Mohd. Rizal pula difahamkan berasal dari Baling, Kedah manakala rakannya Mohd. Faris berasal dari Perak dan kedua-duanya dipercayai tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak di sini.











.

2 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on January 20, 2012 at 8:36 AM said...

kesian.. al fatihah buat arwah

Anonymous said...

salah seorang pelajar uitm seri iskandar kos ukur bahan sedang praktikal. innalillah. budak yang sgt baik di sana.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!