Thursday, January 19, 2012

Aksi rempit cabar polis


Penyalahgunaan laman video sosial, YouTube untuk mempromosikan budaya merempit sudah lama berleluasa malah ia kini sudah ke tahap cuba memperlekehkan pihak polis.
Bukan isu lama atau baru yang menjadi persoalan, tetapi amalan itu berterusan hingga kini dan cuba mencabar pihak berkuasa sehingga perlu diberi perhatian serius.

Aksi yang dipaparkan dalam YouTube itu dilihat cuba merendah-rendahkan martabat pihak berkuasa apabila klip video itu dimulakan dengan tayangan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan perkataan Parit Raja Supported (menyokong) sebelum aksi rempit ditayangkan.

Klip video itu antara lain menayangkan aksi mat rempit melakukan tindakan berbahaya menunggang motosikal sambil tayar hadapan tidak menyentuh tanah atau 'pacak'.
Sebuah kereta peronda polis turut ditayangkan dipandu dari arah bertentangan dengan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya itu.

Klip video bertajuk, Aksi Rempit Parit Raja berdurasi tiga minit 13 saat itu boleh dilayari di http://www.youtube.com/watch?v>CV10l4ezrl0.

Selain aksi tersebut, pelbagai klip video aksi rempit dari seluruh negara dimuat naik di laman YouTube, antaranya Vespa Rados Kelantan, Pacak Lepas Tangan, Bike Stunt Crazy, Pacak Ipoh dan Rempit Muor.
Klip Vespa Rados Kelantan misalnya, memaparkan aksi 'pacak' menggunakan motosikal jenis Vespa yang ditayangkan dalam warna hitam putih serta diiringi lagu 60-an, Oh Fatimah.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim menyifatkan tindakan itu sebagai penyalahgunaan laman sosial di internet untuk bermegah-megah dalam kalangan golongan mat rempit.

"Generasi muda kini dibimbangi menjadikan laman seperti ini untuk bermegah-megah dan mencabar mat rempit di kawasan lain bagi menunjukkan siapa atau kumpulan mana lebih handal," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pengamal undang-undang dan pembuat polisi memikirkan mekanisme sesuai bagi membolehkan pendakwaan dilakukan berdasarkan klip video itu.

"Orang ramai juga boleh klik pada butang flag di bahagian bawah klip video YouTube itu menandakan kandungan video sebagai tidak sesuai.

"Jika ramai klik pada butang flag itu, semakin tinggi kemungkinan pengendali YouTube akan menarik balik klip video daripada dipaparkan," katanya.











.

1 Penyokong CHELSEA:

Ce'gu JAERA on January 20, 2012 at 8:37 AM said...

budak2 sekarang dah makin tabiat... makin d biar makin kurang ajar jadinya...
nanti kena, kang menyusahkan keluarga sendiri akhirnya

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!