Orang ramai yang terlibat dengan aktiviti 'mendulang emas' di Kampung Melayu Majidee di sini diminta menghentikan aktiviti itu kerana ia bukan sahaja tidak memberi faedah tetapi juga merosakkan infrastruktur serta mengganggu ketenteraman penduduk kampung berkenaan.
Ahli Majlis Zon Kampung Melayu, Azman Dawam berkata, aktiviti mendulang dan mencari batu yang telah disahkan sebagai mineral jenis 'pyrite' itu telah dijalankan sejak seminggu lalu dan turut merosakkan jalan yang baru diturap di kampung berkenaan.
''Rata-rata penduduk kampung ini sudah tidak lagi menjalankan aktiviti tersebut setelah ia disahkan bukan emas tetapi orang luar masih datang," katanyai.
Kampung Melayu Majidee menjadi tumpuan ramai sejak seminggu lalu selepas batu-batuan di Jalan Mewah kampung berkenaan didakwa disaluti emas. Susulan itu, Jabatan Mineral dan Geosains negeri yang membuat kajian ke atas batu tersebut semalam mengesahkan bahan berkenaan bukannya emas, sebaliknya sejenis mineral dikenali sebagai 'pyrite' yang tidak bernilai.
Tinjauan ke kawasan berkenaan hari ini mendapati orang ramai masih mendulang dan mencari batu-batuan dari awal pagi sehingga ke lewat petang. Dakwaan mengatakan batu berkenaan bernilai dan boleh dijual di kedai emas membuatkan orang ramai masih menaruh harapan meskipun hingga kini tiada bukti mengesahkan dakwaan tersebut.
Seorang suri rumah, Zarina Abdullah, 34, dari Taman Seri Setanggi di sini mengakui membaca laporan berita mengatakan batuan tersebut bukannya emas, namun ia tidak menghalangnya untuk mencari 'emas' tersebut.
"Walaupun mereka kata itu bukan emas, saya tetap cari, manalah tahu kalau ada nasib. Kalau bukan emas pun, saya tetap akan simpannya sebagai barang hiasan dan kenang-kenangan," katanya.
Seorang warga emas, Zaiton Seman, 64, dari Taman Molek di sini pula sanggup datang ke kampung itu hari ini selepas mendengar mengenai penemuan 'emas' itu dan mengakui tidak mengetahui batu tersebut bukannya emas kerana belum membaca berita tersebut hari ini.
.
1 Penyokong CHELSEA:
ekekeke.. sangguppp mereka ini... last dpt benda yg x bernilai
Post a Comment