Saturday, February 25, 2012

Kisah Saleh Yaacob


JIKA difikirkan, bukan mudah bagi lelaki ini untuk membahagikan masa bersama isteri-isterinya apatah lagi dengan anak-anak. Namun bagi salah seorang tunggak utama segmen Sinar Pagi di Sinar FM bersama Kak Engku dan Khairil Rashid ini, keluarga adalah keutamaannya.

Tidak mahu menjadikan ‘tidak cukup masa’ sebagai alasan, Salih tetap memastikan mempunyai kelapangan untuk bersama-sama anak-anak mahupun empat isteri.
Baru-baru ini, Salih Yaacob bersama dua orang isteri dan lima orang anaknya beriadah di Tasik Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut penghibur yang sudah menceburi bidang seni seawal tahun 80-an ini, meluangkan masa bersama keluarga adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi dirinya.

“Tidak dinafikan, kadang-kadang saya memang sibuk tetapi kalau ada masa terluang, memang saya akan ajak anak-anak dan isteri untuk keluar bersama.

“Bukan apa, walau sesibuk mana pun kita bekerja, dalam masa yang sama juga kita harus memberi perhatian dan tumpuan kepada keluarga.

“Lebih-lebih lagi keluarga saya pun memang jenis yang suka keluar berjalan-jalan, jadi memang meriahlah kalau keluar ramai-ramai,” katanya lagi.

Selain itu, Salih juga mengakui aktiviti riadah bersama keluarga yang selalu dilakukannya itu dapat membantu untuk mengurangkan tekanan.
Meskipun sekadar berjalan-jalan untuk mengambil angin, ia dapat melegakan perasaan, terutamanya selepas aktiviti seni yang padat.

“Apabila bersama keluarga, hilang jugalah segala masalah yang ada di kepala.

“Malah dalam masa yang sama, ia sebenarnya turut memberi peluang kepada anak-anak saya untuk lebih mengenali antara satu sama lain kerana mereka berlainan ibu.

“Aktiviti riadah sebegini turut dapat merapatkan hubungan mereka adik beradik.

“Contohnya hari ini, saya bawa empat orang anak saya dengan isteri kedua iaitu Effa Madiha, 19, Effa Nageeha, 15, Effa Fateha, 9 tahun dan Mohd Ehsan, 11 tahun.

“Sementara Farah Aqeesya, 3 tahun adalah anak bersama isteri saya yang ketiga. Jadi memang perkara sebegini dapat membuatkan mereka lebih bersatu,” ujar bapa kepada 11 orang anak ini lagi.

Selain bersiar-siar di lokasi berdekatan kediaman, Salih juga meletakkan hasrat untuk membawa keluarga besarnya melancong ke luar negara apabila berkesempatan.
Jika tahun lalu, dia telah membawa seluruh isi keluarganya melancong ke China, tahun ini dia merancang untuk mengadakan rombongan ke Singapura pula.

“Percutian di luar negara juga adalah salah satu cara saya meraikan ahli keluarga yang sangat memahami kesibukan saya selama ini.

“Walaupun hanya sesekali apabila ada peluang, kesempatan itu menjadi sangat bermakna kerana seluruh keluarga akan turut serta dan di sinilah peluang untuk lebih mesra dan berkasih sayang antara isteri-isteri dan anak-anak yang lain,” katanya sambil tersenyum lebar.


Penyampai perlu menonjol

Setelah lima tahun berada bersama stesen radio nombor satu Malaysia, Sinar FM, tidak dinafikan Salih sememangnya mempunyai rangkaian peminat sendiri.

Merungkai sedikit persoalan mengenai bagaimana untuk menjadi penyampai radio yang dihormati, Salih mengakui perkara tersebut datang daripada kedudukan dan juga reputasi penyampai itu sendiri.

“Penyampai tidak boleh stereotype dan selalu memikirkan apa yang terbaru mahu diberikan kepada pendengar. Apa yang lebih penting adalah kebolehan penyampai radio itu dalam menghidupkan suasana.

“Penyampai yang berjaya ialah yang boleh memberi kesan kepada pendengar dan dapat menghiburkan mereka melalui corong radio,” ujarnya seraya memberikan tips berguna kepada penyampai generasi baru hari ini.






.

1 Penyokong CHELSEA:

Unknown on February 25, 2012 at 6:00 PM said...

bagus lah kalau boleh adil kan..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!