Sunday, March 4, 2012

Mati dihempap pagar rumah datuk


Pintu pagar besi yang menjadi kebanggaan warga emas, Mat Saman Pak Adek di hadapan rumahnya di Kampung Lay Out, Tok Saboh, Kuala Besut meninggalkan sejarah hitam hanya selepas dua bulan dipasang apabila ia tumbang dan menghempap cucunya sehingga mati pagi kelmarin.

Mat Saman, 66, berasa bangga kerana pintu pagar yang setiap satunya sepanjang 2.5 meter dan seberat kira-kira 40 kilogram itu dibina dan dipasang sendiri oleh menantunya, Majuki Awang Kecik, 45, seorang pengawal keselamatan sekolah yang mahir bertukang.

Namun kelmarin, perasaan itu bertukar hiba apabila ia meragut nyawa cucunya yang juga anak bongsu Majuki, Mohd. Aqif Najwan, tiga tahun.

Kejadian pada pukul 10 pagi itu dipercayai berlaku sewaktu Mohd. Aqif bermain dengan pintu pagar gelongsor, manakala abangnya Nizarudin Ikmal, 11, dan kakak, Nurul Aina, 10, bermain badminton di pintu pagar bersebelahan.

Difahamkan, Mohd. Aqif terlalu leka bermain dengan menyorong dan menarik pintu pagar besi itu tanpa menyedari ia tergelincir daripada rel gelongsornya dan terus menghempap mangsa.

Akibat kejadian itu, Mohd. Aqif jatuh terhantuk ke atas simen sebelum dihempap pagar berkenaan sehingga menyebabkan kepala dan muka sebelah kiri kanak-kanak malang itu cedera parah.

Mat Saman juga berasa terkilan kerana terlalu mengikut kehendak cucunya itu yang merengek-rengek mahu pulang bersamanya ke rumah.

"Pada pagi sebelum kejadian, cucu saya itu ikut emak dia bekerja di kilang keropok tidak jauh dari rumah saya.

"Dia nak ikut saya balik, jadi saya bawa dia pulang dan bila sampai, saya terus masuk ke dalam dan dia bermain di halaman rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!