Sunday, April 22, 2012

Simpan gambar terkini anak-anak


Ibu bapa diingatkan supaya menyimpan gambar terbaru anak mereka yang berusia 12 tahun ke bawah bagi mengelak sebarang kesulitan sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini antaranya kes culik.

Gambar terbaru itu perlu bagi memudahkan kanak-kanak terbabit dikesan pihak berkuasa dan orang ramai jika berlaku jenayah atau kes-kes kehilangan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zininberkata, kes melibatkan kanak-kanak banyak menimbulkan kesukaran kepada polis apabila ibu bapa mangsa sendiri tidak menyimpan gambar terbaru anak mereka.

Katanya, gambar anak mereka yang diberikan kepada polis kebanyakannya tidak berkualiti tinggi atau gambar lama sehingga sukar untuk dicam oleh orang ramai.

"Justeru, polis menggalakkan ibu bapa sentiasa menyimpan gambar terbaru anak mereka untuk memudahkan urusan apabila terjadinya perkara tidak diingini," katanya kepada pemberita di Janda Baik ketika menyertai program Kembara Polis Diraja Malaysia 2012, di sini hari ini.

Pada program itu, polis turut mempromosikan kempen NurAlert dengan kerjasama RHB Bank bagi mencetak seberapa banyak gambar kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah untuk dijadikan simpanan ibu bapa mereka.

"Gambar ini akan diletakkan dalam satu kad khas yang mengandungi pelbagai maklumat kanak-kanak itu termasuklah tanda lahir di badan.

"Kita akan berusaha mengambil seberapa banyak gambar kanak-kanak khususnya di kawasan pendalaman dan menggalakkan pihak sekolah untuk turut menyimpan gambar murid masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Bakri memberitahu, kes kehilangan remaja dan kanak-kanak dikesan meningkat saban tahun.

"Jika dilihat secara menyeluruh, kes sebegini amat membimbangkan, namun kebanyakan kehilangan terjadi dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 18 tahun," katanya.





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!