Monday, May 7, 2012

Chelsea yang terbaik


John Terry membidas semua pengkritik yang menyifatkan Chelsea sebagai pasukan tua, sejurus selepas menyaksikan sumbangan orang lama Blues membawa mereka merangkul kejuaraan Piala FA buat kali keempat dalam tempoh enam musim dengan menundukkan Liverpool 2-1 di Wembley, sabtu lalu. Sebelum ini, ramai yang menggesa mereka menyingkirkan pemain tua seperti Frank Lampard, Didier Drogba dan John Terry, malah pengurus terdahulu mereka, Andre Villas-Boas juga pernah bercadang untuk melupuskan semua pemain ini daripada pasukan, sebelum dia sendiri disingkirkan, Mac lalu.

Namun begitu, pengurus sementara Chelsea, Roberto Di Matteo tetap memberikan keyakinan kepada semua orang lama yang sudah menjangkau usia 30an itu, dan mereka membalas kepercayaan itu dengan menghadiahkan gelaran sulung musim ini. Jaringan Drogba dan Ramires kelmarin membantu Chelsea menjulang Piala FA, kejayaan yang pasti tidak diduga andai melihat kepada kedudukan kelab London itu yang agak terumbang-ambing pada pertengahan musim, sebelum Villas Boasn disingkir dan Di Matteo mengisi kekosongan buat sementara waktu.


“Kami mengharungi saingan yang sukar dalam Piala FA musim ini dan kami berjaya memenanginya. Ia adalah persembahan yang hebat. “Pada suatu ketika, ramai orang yang menggelar kami sebagai terlalu tua, sudah melepasi zaman kegemilangan dan tidak lagi bersatu, namun hari ini kami membuktikan semua kritikan itu adalah salah. Sebagai sebuah pasukan, kami amat bersatu, kami bersama-sama mempertahankan benteng apabila diasak, kami bermain baik dalam 16 atau 17 perlawanan terakhir yang cemerlang. “Kami masih berada di landasan untuk memburu kejuaraan paling besar - Liga Juara-Juara, itu adalah sasaran pemilik kelab yang masih belum dilaksanakan,’’ kata Terry.

Terry juga berharap, semua pemain mahu membalas kepercayaan Di Matteo dan berharap apa yang telah dipersembahkan oleh pasukan setakat ini mampu membantu jurulatih itu untuk dilantik sebagai jurulatih tetap. Sejak mengambil alih kelab, pengendali dari Itali itu berjaya mempamer sentuhan ajaib. Malah, kemenangan kelmarin juga melakar sejarah buat tiga pemain senior Blues - Drogba, Terry dan Ashley Cole. Drogba muncul pemain pertama berjaya menjaringkan gol dalam empat perlawanan akhir Piala FA selepas rembatan rendahnya menewaskan penjaga gol Reds, Jose Reina di awal separuh masa kedua.


Terry pula memahat sejarah sebagai pemain pertama menjadi kapten sebuah kelab merangkul empat kejuaraan Piala FA, manakala tonggak pertahanan, Cole mencipta rekod menjulang tujuh Piala FA bersama dua kelab berbeza. Di Matteo sendiri turut memahat rekod, menghadiahkan kejuaraan Piala FA buat Chelsea sebagai pengurus dan pemain. “Saya tidak fikir ramai orang yang mempunyai peluang seperti ini. Saya cukup bertuah kerana berpeluang menghadiahkan kejuaraan buat pasukan ketika bergelar pemain dan kemudian pengurus. Ia amat istimewa kerana perkara begini tidak selalunya terjadi,’’ ujar Di Matteo. Walaupun telah membawa transformasi kepada Chelsea sejak menggantikan Villas-Boas, Mac lalu, namun Di Matteo enggan mengulas mengenai mengenai masa depannya di Stamford Bridge, sama ada akan dilantik sebagai pengurus tetap atau sebaliknya.

“Ia sama sekali tidak relevan untuk bercakap mengenai perkara ini sekarang. Saya gembira dengan kedudukan serta pencapaian saya sehingga penghujung musim, namun apa yang akan berlaku selepas itu adalah keputusan pihak tertinggi kelab dan kami semua harus menghormati apa yang mereka fikirkan terbaik buat kelab. “Begitu juga dengan kedudukan pemain, siapa yang akan kekal atau pergi musim depan bukan suatu isu ketika ini. Saya gembira dengan pemain-pemain kami sekarang. Chelsea telah mengharungi musim yang sukar dan menjadi sasaran kritikan banyak pihak, jadi saya rasa hari ini, pemain kami menunjukkan respons terhadap segala kritikan yang dilempar kepada mereka,’’ kata Di Matteo.


Di Matteo turut mengakui, kemenangan ini memberi suntikan moral buat pemain-pemainnya untuk memburu kejuaraan lebih besar apabila menentang gergasi bola sepak Jerman, Bayern Munich dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Munich, 19 Mei ini. - AGENSI




.

2 Penyokong CHELSEA:

MizzTina on May 7, 2012 at 2:28 PM said...

tahniah lulu.. =)

Unknown on May 7, 2012 at 9:24 PM said...

yeah...
pasni bayern plak yer..
harap2 tores main plak pasni

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!