Thursday, May 10, 2012

Jarak tempat kerja punca obesiti


Individu yang melalui perjalanan jauh untuk ke tempat kerja dikatakan lebih berisiko mengalami obesiti dan memiliki paras kecergasan yang rendah berbanding mereka yang tinggal berdekatan tempat kerja, menurut satu kajian yang disiarkan, hari ini. Kajian dalam Jurnal Amerika mengenai Perubatan Pencegahan itu dibuat berdasarkan data yang dikumpul di kalangan hampir 4,300 responden yang tinggal berdekatan kota metropolitan Dallas-Fort Worth, satu daripada kawasan paling sesak di negara ini dan juga di Austin, Texas.

Kajian itu mendapati, individu yang memandu jauh ke tempat kerja memiliki ukuran pinggang yang lebih besar, paras kecergasan kardiovaskular rendah, tekanan darah tinggi dan juga indeks jisim tubuh yang rendah. "Perjalanan yang jauh menyumbang kepada pengurangan penggunaan tenaga secara keseluruhan," kata Ketua Penyelidik, Christine Hoehner dari Universiti St. Louis, Missouri, Washington. Menurutnya, kajian tersebut menghasilkan satu informasi baru mengenai keputusan biologikal dan jarak perjalanan, secara tidak langsung menyatakan bahawa perlakuan berdiam diri atau lebih banyak duduk patut dielak di kalangan pekerja dewasa.

Selain itu, individu yang melalui perjalanan jauh juga dilaporkan kurang gemar berkunjung ke gimnasium atau melakukan aktiviti fizikal, berbanding yang tinggal dekat dengan tempat kerja. Perjalanan jauh ke tempat kerja melebihi 24 kilometer menyebabkan seseorang individu kurang berminat mengenai saranan melakukan aktiviti fizikal secara sederhana atau agresif dan memiliki risiko tinggi mengalami obesiti, menurut kajian itu. Pekerja yang perlu melalui jarak perjalanan melebihi 16 kilometer juga dikaitkan dengan masalah tekanan darah tinggi. Hoehner turut mencadangkan agar kajian terperinci dilakukan bagi mendapat keputusan yang lebih jelas mengenai bagaimana perjalanan memberi kesan terhadap kesihatan dalam senario yang berbeza. - AFP




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!