Bermula daripada satu permainan ringkas yang boleh dimuat turun ke telefon pintar dengan harga hanya 59 peni (RM2.50), kini Angry Bird mempunyai pengaruh yang sangat besar di seluruh pelosok dunia. Semua golongan tidak kira usia meminatinya termasuk Perdana Menteri Britain, David Cameron dan istimewa untuk peminatnya, Taman Angry Bird kini dibuka di Tampere, Finland. Terletak dalam Taman Hiburan Sarkanniemi di sini, ia direka khusus sebagai lokasi hiburan keluarga dan kanak-kanak kecil, dengan memiliki 12 permainan tunggangan, beberapa permainan berbentuk cabaran dan juga stesen menjual makanan.
Sebelum ini, sebuah Taman Tema Angry Bird telah dilancarkan di China, September lalu, namun ia tidak memiliki lesen daripada pemiliknya. Ketua Pegawai Eksekutif Taman Angry Bird Sarkanniemi, Miikka Seppala berkata, pihaknya mahu mencipta sebuah taman tema unik yang dikaitkan dengan satu jenama kuat dan popular. "Karakter Angry Bird lahir di Finland, namun terkenal di seluruh dunia tanpa mengira usia. Matlamat kami adalah memberi motivasi kepada peminat tidak kira dewasa dan kanak-kanak untuk menyertai aktiviti yang ada di sini," katanya.
Angry Bird kini merupakan aplikasi permainan berbayar nombor satu dan sudah dimuat turun lebih 700 juta kali sejak ia dilancarkan. Dibangunkan oleh syarikat permainan Finland, Rovio Entertainment, kegilaan terhadap Angry Bird bukan setakat permainan yang dimuat turun, malah meliputi barangan cenderamata, permainan dan juga pakaian. Menurut sumber, industri perfileman Hollywood juga dikatakan berminat menghasilkan sebuah filem mengenai permainan itu.
Angry Bird baru-baru ini turut mengumumkan akan membuka taman tema di United Kingdom, yang mendapat kerjasama dengan pembuat peralatan taman permainan Finland, Lappset. - AGENSI
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment