Majlis kenduri arwah dan kesyukuran yang dirancang seorang pekerja kilang di rumah keluarganya malam tadi, bertukar menjadi majlis tahlil kematiannya selepas maut dalam kemalangan di Kilometer 230.5, Lebuh Raya Utara-Selatan, berdekatan Padang Rengas, dekat sini, pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, Masitah Ahmad Raduzan, 29, dari Taman Klebang Jaya, Chemor, dekat Ipoh maut selepas kereta dipandu seorang rakan lelakinya tidak dapat dikawal lalu melanggar tepi lori di laluan sama.
Kejadian itu menyebabkan Masitah maut di tempat kejadian, manakala rakan lelakinya yang belum diperoleh identitinya parah. Ibu Masitah, Izan Yaakub, 52, berkata anaknya malam kelmarin memaklumkan akan pulang ke rumah, tetapi hajatnya tidak kesampaian apabila kemalangan menimpanya. “Ketika menghubungi saya, dia dengan riang maklumkan akan cuti tiga hari dan mahu pulang untuk menghadiri majlis bacaan Yassin dan tahlil untuk arwah keluarga termasuk sepupunya yang meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.
“Ia juga majlis kesyukuran atas kejayaan adik bekerja di Tenaga Nasional Berhad dan memasuki pusat pengajian tinggi di Melaka, tetapi rupa-rupanya hanya jenazah arwah dibawa pulang,” katanya dengan nada sedih ketika ditemui di Hospital Taiping, semalam. Izan berkata, beliau terkejut ketika menerima berita kejadian malang itu pada jam 7 pagi, tetapi reda dengan pemergian anak perempuan tunggalnya yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang itu. “Anak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali menyatakan terlalu teringin untuk pulang bersama keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pemandu kereta terbabit dimasukkan ke Hospital Kuala Kangsar.
.
2 Penyokong CHELSEA:
sadis!
ya allah ..sedihnya
Post a Comment