PADA senyum yang tersungging, pada bicara yang terlontar, tergambar kebahagiaan yang dimiliki. Empunya diri sendiri mengakui perihal yang satu itu. Katanya: "Penderitaan juga ada akhirnya." Dan hari ini, dia bersyukur memperoleh kebahagiaan yang bertubi-tubi yang dianugerahkan oleh Sang Pencipta untuk hamba-Nya. Malah Krisdayanti atau mesra dipanggil KD yang kini hamil anak kedua yakin keluarga yang dimiliki hari ini adalah yang terbaik dan lelaki bernama Raul Lemos merupakan segala-galanya buat dirinya. Dia juga bersyukur selama bergelar bintang, dia mampu mengawal diri dan tidak mudah terbawa-bawa dengan segala macam hal yang menyesak dada. Sementelah pelbagai kata nista dilemparkan kepadanya sejak awal kemunculan sebagai artis hingga di kemuncak kerjaya dan alam rumah tangga. Namun itulah yang menguatkan dirinya dalam menghadapi pancaroba dunia artis yang tidak pernah mengasihani sesiapa di negaranya.
"Kemerdekaan sebagai artis itu diduga dengan berita-berita yang macam-macam. Mereka lupa bahawa kita ada keluarga yang perlu dijaga "Tapi Tuhan itu kan tidak pernah tidur... Jadi bermohonlah kepada-Nya. Saya selalu minta pada Tuhan agar diberikan kekuatan," katanya yang ditemui baru-baru ini. Biar mampu menepis segala kontroversi dunia artis, hanya satu yang dibimbangi KD. Apa lagi kalau bukan suaminya yang suatu ketika pernah 'terkejut' menerima tempias gemerlapan dan cerita panas dunia artis. Semakin menerima kehidupan glamor seorang artis, Raul juga kata KD bersatu hati untuk berkompromi terutama dalam urusan gosip dan kontroversi. "Dia semakin mengadaptasi kehidupan saya sebagai artis.
Tahu sahaja dunia (artis) ini. Ada yang terlalu terbuka," katanya lagi. Bersyukur kerana Raul memberikan sepenuh kepercayaannya kepada KD, penyanyi itu sendiri nampaknya hari ini lebih senang memberikan tumpuan kepada keluarganya. Tidak hairanlah, mengurus rumah tangga kini menjadi keutamaan penyanyi terkenal Indonesia itu biarpun dunia nyanyian tidak pernah disisihkan daripada hidupnya. "Dan tanpa disangka, mengandung lagi... ini hadiah..." katanya yang dijangka bersalin Disember ini dan memberitahu masih perlu melunaskan persembahan sehingga penghujung bulan ini.
Cahaya cinta
"INI baby dragon (naga)!" Demikian kata KD sambil mengusap lembut perutnya. Tidak menyangka hamil lagi dalam tempoh terdekat selepas kelahiran anak pertama hasil perkahwinan dengan Raul, ternyata naluri keibuan memuncak pada kehamilan kali ini. "Mungkin juga kerana saya sudah semakin matang," kata penyanyi berusia 37 tahun ini yang berkahwin dengan Raul Mac tahun lepas dan menimang cahaya mata pertama pada September tahun yang sama. Seindah namanya, Amora Arianna Lemos yang membawa maksud permata yang dipenuhi cinta KD mengakui, Amora memberikan cahaya cinta kepada keluarganya. "Ya, sesuai namanya, dia memberikan cinta kepada keluarga ini. Dan saya juga sekarang memang lebih pandai mengurus anak berbanding dulu.
"Terfikir juga mengapa dulu saya kurang mampu membesarkan anak. Tapi itulah... Setiap langkah yang dijalani adalah proses yang mematangkan. "Tidak ada pencapaian yang dikerjakan lebih daripada kekuatan luar biasa seorang ibu. Ibu adalah satu pekerjaan mulia. "Diberikan kesempatan oleh Allah untuk mengandung lagi, ini amat mengujakan," katanya yang juga ibu kepada Titania Aurelie Hermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Anang. Malah kata KD yang bakal melahirkan anak lelaki ini, suaminya juga amat mengambil berat soal keluarga dan ringan tangan membantu menjaga anak. "Kadang-kadang malu juga dengannya yang pandai menguruskan anak," kata KD lagi sambil ketawa. -utusan
.
2 Penyokong CHELSEA:
semoga mereka terus berbahagia hendaknya..
Wahhh,tahniah lah KD
Post a Comment