Monday, January 2, 2012

Lelaki bedah tambah ketinggian


Seorang ejen hartanah dari Kanada yang berumur 36 tahun sanggup membelanjakan 34,000 pound (RM167,259) untuk menjadikannya lebih tinggi bagi mencari jodoh.

Thomas Keeper hanya mempunyai ketinggian kira-kira 175 sentimeter sebelum menjalani pembedahan dua tahun lalu bagi menjadikannya kira-kira lapan sentimeter lebih tinggi.

Selepas menjalani pembedahan itu, dia menemui Maggie, 26, yang mempunyai ketinggian 181 sentimeter di laman web mencari jodoh.

Ketika mereka pertama kali bertemu, dia sudah mencapai ketinggian sama dengan isterinya.

Mereka kini sudah berkahwin dan Maggie baru melahirkan anak pertama mereka beberapa hari sebelum sambutan Krismas baru-baru ini.

"Keadaan yang dialami lelaki pendek amat menyakitkan kerana anda dilayan berbeza. Lihatlah pelakon, Tom Cruise dan Nicolas Sarkozy yang sering dipersenda,'' ujarnya.

Pembedahan itu dilakukan oleh pakar bedah kontroversi, Dr Jean-Marc Guichet, 50, di Marseilles, Perancis.


Guichet berkata, pembedahan itu sebelum ini hanya dilakukan ke atas mereka yang mengalami kecacatan tetapi kini semakin mendapat tempat sebagai pembedahan kosmetik.

"Permintaannya meningkat berkali ganda berbanding 10 tahun lalu. Namun ia bukan untuk semua orang kerana mereka perlu bersedia dari segi fizikal iaitu menguatkan otot di kaki.

"Saya menolak 70 hingga 80 peratus permohonan. Mereka yang menjalani pembedahan ini boleh meningkatkan ketinggian mereka sehingga 15cm ,'' katanya.







.

Operasi Twitter tergendala


Operasi laman sosial Twitter tergendala selepas menerima terlalu banyak mesej sambutan Tahun Baru.

Di Jepun, pengguna Twitter menghantar kira-kira 16,197 mesej mengucapkan selamat Tahun Baru setiap saat.

Manakala di Britain, operasi Twitter tergendala pada pukul 3 petang waktu tempatan dan tidak dapat beroperasi lebih dari satu jam.

Kandungan mesej yang terlampau padat menyebabkan pengguna laman sosial tersebut tidak dapat mengemas kini status termasuk membaca mesej-mesej yang dihantar.

Pengguna yang cuba mengakses laman web terbabit menerima mesej mengatakan Twitter mengalami gangguan operasi.

Laman sosial tersebut kemudiannya kembali beroperasi seperti biasa namun masih mengalami beberapa gangguan berikutan penerimaan mesej dari seluruh dunia.










.

Pelakon drama Tentang Dhia bertunang


Pelakon drama Tentang Dhia, Izreen Azminda Aznam, 27, hari ini selamat ditunangkan dengan seorang jurukamera bebas, Muhd. Riza Baharudin, 29, pada satu majlis di Pusat Aktiviti Pejabat Daerah Kota Setar di sini.

Izreen Azminda yang anggun mengenakan persalinan baju kurung moden berwarna merah jambu menerima sebentuk cincin emas putih bertatah berlian daripada tunangnya itu.

Upacara menyarungkan cincin disempurnakan oleh ibu Muhd. Riza, Zainon Baba sambil disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua pihak.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk melangsungkan majlis perkahwinan pelakon dan jurukamera itu selepas Hari Raya Aidilfitri sekitar Ogos nanti manakala wang hantaran ditetapkan RM19,001 dan mas kahwin RM999.

Pada majlis yang berlangsung penuh adat itu, pihak lelaki turut menyerahkan lima dulang hantaran iaitu sirih junjung, telekung, cincin, gula-gua dan kek dan pihak perempuan membalas tujuh dulang iaitu sirih junjung, sejadah, buku perkahwinan, coklat, bunga, buah dan kek.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Izreen Azminda berkata, beliau bersyukur kerana majlis pertunangannya berjalan lancar walaupun pelbagai kontroversi melanda diri dan tunangnya itu.

"Saya menerima Muhd. Riza sebagai orang baru dalam hidup saya dan apa yang berlaku sebelum ini saya tidak mahu ambil pusing kerana kepercayaan harus ada dalam setiap perhubungan.

"Saya harapkan hubungan yang baru dibina hari ini akan berkekalan sampai bila-bila dan saya rasa cukuplah dengan kontroversi yang melanda saya tahun lepas. Sekarang saya nak buka buku baru," katanya.

Bagi Muhd. Riza pula, walaupun perkenalan dengan Izreen Azminda berlangsung dalam tempoh yang singkat, namun dia yakin untuk menyuntingnya sebagai isteri apabila mengenali sifat wanita itu.

"Di luar dia nampak kasar, namun bila sudah betul-betul kenal baru saya dapat lihat ciri-ciri kewanitaannya.

"Saya juga sudah ceritakan segala-gala yang berlaku pada diri saya dahulu kepada Izreen Azminda dan saya ingin mulakan hidup baru dengannya selepas mengalami kegagalan dalam perkahwinan terdahulu," katanya.









.

Tragedi warnai Tahun Baru 2012 di Filipina


Beratus-ratus penduduk cedera apabila terkena mercun dan peluru sesat, sementara berpuluh-puluh buah rumah hangus dijilat api dalam kebakaran di sini ketika kebanyakan penduduk meraikan sambutan Tahun Baru, semalam.

Pusat Pemantauan Jabatan Kesihatan melaporkan, seramai 454 penduduk dimasukkan ke hospital akibat terkena mercun dan kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak serta mereka yang mabuk.

"Saya melihat mata seorang kanak-kanak terkena mercun dan kecederaan sedemikian boleh menyebabkan kecacatan kekal," kata setiausaha jabatan itu, Enrique Ona.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 18 cedera terkena peluru sesat yang dilepaskan oleh penembak rambang tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa mengenai larangan penggunaan senjata api.

Seorang wanita hamil juga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan selepas terkena peluru sesat.

Wanita itu dan bayinya bagaimanapun terselamat.

Percikan mercun dan bunga api sempena sambutan Tahun Baru malam tadi turut menyebabkan sekurang-kurangnya 30 buah rumah terbakar di kawasan padat di sini.








.

Pemandu lori menang 1 juta mata Bonuslink


Seorang pemandu lori memenangi hadiah utama bagi minggu keempat peraduan 31 Juta Mata BonusLink Untuk Dimenangi Setiap Minggu anjuran Shell dengan memperoleh hadiah berupa 1,000,000 mata ganjaran BonusLink.

Ong Boon Chong, 41, berkata, dia tidak menyangka akan muncul sebagai pemenang dan menganggap tuah menyebelahinya yang merupakan pelanggan setia Shell.

"Sebagai pemandu lori, pekerjaan saya melibatkan perjalanan jauh dan Shell menjadi pilihan utama saya. Saya rasa sangat gembira dan tidak sabar untuk menebus hadiah yang akan menceriakan sambutan tahun baru," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima hadiah yang disampaikan oleh Pengurus Runcit Selatan Shell, Joari Mohd. Jaafar.

Turut hadir, Pengurus Besar BonusKad Loyalty Sdn. Bhd, Victor Goon. Sementara itu, Joari berkata, peraduan tersebut adalah untuk memberi ganjaran kepada pemandu dengan menawarkan peluang memenangi 1,000,000 mata ganjaran Bonuslink.

Jelasnya, mata ganjaran yang diperoleh memberikan pemenang pilihan untuk menebus apa sahaja barangan daripada BonusLink mengikut kesukaan mereka.









.

Pejalan kaki maut dilanggar kereta


Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar kereta ketika melintasi jalan raya di Jalan Utara Batu 4, berhadapan Bandar Indah dekat sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Azlin Nasiruddin, 24, mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi rakannya yang turut dilanggar hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong, berkata dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa terhumban ke dalam parit di tepi jalan selepas dilanggar kereta tersebut.
Katanya, mayat mangsa ditemui di dalam parit berhampiran perhentian bas di Bandar Kim Fung kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilanggar.

Beliau berkata, pemandu kenderaan yang melanggar mangsa tidak berhenti di tempat kejadian dan polis kini sedang menjejakinya.

Rowell meminta saksi kejadian tampil membantu polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Faiz Mat Noor di talian 013-8680208 atau Balai Polis Sandakan ditalian 089-212222.









.

Anggota JPJ cedera dirempuh motosikal

Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera akibat dirempuh motosikal yang ditunggang seorang lelaki di sini malam tadi.

Ridzuan Che Ri, 20-an, yang mengalami kecederaan ringan akibat terseliuh di kaki kiri, dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.
Ketika kejadian, Ridzuan dan beberapa anggota lain sedang menjalankan Ops Ambang 2012 untuk pemeriksaan kenderaan di satu sekatan jalan di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini pada 11.30 malam.
Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata walaupun penunggang motosikal yang menentang arus itu berjaya melarikan diri, pihaknya berjaya mencatatkan nombor pendaftaran motosikal berkenaan.

Sementara itu, katanya, sebanyak 252 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal dan pemandu kenderaan lain yang melakukan pelbagai kesalahan dalam 'Ops Ambang 2012' di sekitar bandar ini.

Katanya, dalam operasi tersebut sebanyak 52 motosikal turut disita kerana pelbagai kesalahan.

Operasi yang bermula 9 malam tadi sehingga 2 pagi itu membabitkan 118 anggota JPJ negeri.










.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!