Thursday, January 12, 2012

Fasha Sandha nikah?


Pelakon Fasha Sandha hanya akan memaklumkan tarikh perkahwinannya kepada enam media terpilih termasuklah mengundang wakil media tersebut meraikan majlis pernikahannya dengan Rizal Ashram Ramli (Jejai).

Fasha menggambarkan hanya media yang rapat dengannya akan mendapat peluang tersebut tetapi enggan menyatakan senarai media yang dimaksudkan.

"Belum tiba masanya untuk saya beritahu tentang tarikh hari bahagia saya. Insya-Allah, saya tetap akan berkongsi berita gembira ini kepada semua.

"Bagaimanapun saya tidak akan membuat pengumuman secara sidang media seperti para selebriti selalu lakukan kerana dia (Jejai) agak segan untuk menghadiri acara sebegini.

"Justeru itu saya akan memilih hanya enam wakil media yang rapat untuk mengumumkan hari bahagia itu," katanya yang ditemui pada sidang akhbar Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) di Holiday Villa Hotel & Suite, di sini, Rabu.

Baru-baru ini, sebuah laman blog melaporkan bahawa pelakon yang popular dengan drama Cinta Elisa itu kini sedang sibuk dengan persiapan majlis perkahwinannya

Dikhabarkan juga, perkahwinan Fasha dan bekas suami kepada pelakon Nora Danish itu akan berlangsung pada 28 Mac depan iaitu sempena tarikh ulang tahun kelahiran Fasha.
Bagaimanapun, pelakon jelita itu menafikan akan berkahwin pada tarikh tersebut kerana dia akan ke Perancis untuk penggambaran drama slot Akasia TV3 berjudul, Seindah Safura.

"Jangan pula ada yang membuat spekulasi bahawa tarikh perkahwinan saya jatuh pada hari jadi saya. Itu tidak benar kerana saya akan sibuk dengan penggambaran di Perancis.

"Ada juga gosip kononnya saya akan berkahwin di Thailand. Tak mungkinlah," selorohnya.

Mengenai ABPBH2011, Fasha turut menerima pencalonan bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular.






.

Kayuh basikal 60 kilometer cari rezeki

Seorang warga emas dari Kampung Lubuk Badak, Weng dekat sini sanggup mengayuh basikal hampir 60 kilometer sehari bagi mencari rezeki untuk menyara keluarganya.

Atas rasa tanggungjawab untuk menjaga keluarga, Saad Bahadun, 64, tabah mengayuh basikal untuk mencari rezeki dengan memanjat pokok kelapa, pekerjaan yang telah dilakukan sejak berusia 15 tahun.

Warga emas ini gigih mengayuh basikal setiap hari dari rumahnya ke pekan Baling untuk memanjat pokok kelapa hanya dengan pendapatan tidak sampai RM15 sehari.

Setiap hari, Saad akan keluar seawal 7 pagi dan pulang lewat petang. Ketika dalam perjalanan jika ada pemilik pokok kelapa mahu menggunakan khidmatnya, Saad akan memberikan bantuan dengan menurunkan buah kelapa bagi mendapatkan upah.

Saad berkata jika beliau memetik 10 biji buah kelapa dari sebatang pokok, beliau akan mendapat tiga biji sebagai upah memanjat.

Katanya, sebatang pokok kelapa ada sekurang-kurangnya 10 biji kelapa yang sudah matang dan boleh dipetik.

Bagi penduduk kampung sepanjang jalan utama dari pekan Weng hingga ke pekan Baling dalam jarak hampir 30 kilometer, mereka amat mengenali warga emas ini kerana kegigihannya mengayuh basikal setiap hari untuk mencari rezeki .

Saad, yang mempunyai tiga anak berusia 10 hingga 16 tahun, tinggal bersama isterinya, Faridah Che Endut, 40.

"Walaupun sudah berusia 64 tahun saya kena berusaha untuk memastikan anak-anak dan isteri mendapat makanan walaupun pendapatan tidak menentu sebagai pemanjat kelapa,” katanya.

Beliau turut melakukan kerja lain seperti menebas kebun getah dan menanam anak getah bagi menambah pendapatan.









.

Isteri Jacky Chan


BARU-BARU ini aktor terkenal Jackie Chan telah dilihat berada di Taiwan dan turut ditemani isterinya, Joan Lin yang juga seorang aktres yang sudah bersara ketika menjalani penggambaran filem ke-101 lakonannya, 12 Zodiacs.

Cuba untuk mengelak daripada dilihat orang ramai, kedua-duanya terpaksa memakai cermin mata hitam. Lebih menarik lagi, kru penggambaran filem berkenaan terpaksa membina penghadang sepanjang 91 meter supaya tiada wartawan yang dapat memasuki lokasi penggambaran.

Sebelum ini, ramai yang sudah mengetahui tentang tindakan aktor yang sudah mencecah usia 57 tahun itu mengambil langkah tidak mahu mendedahkan isterinya kepada tontonan umum.

Malah, ada khabar angin yang mengatakan Joan turut bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif JC Group dan turut mengawal harta suaminya itu yang dikatakan berjumlah sebanyak RM950 juta.




.

Rumah kena rompak


Pelakon, model dan pengacara televisyen, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot kerugian RM20,000 apabila rumahnya disamun tiga lelaki bersenjata di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, tiga penjenayah terbabit memasuki rumah Wardina setelah mengumpil pintu belakang rumah teres tepi dua tingkat milik beliau sebelum mengarahkan kesemua anggota keluarga Wardina berkumpul.

Wardina, 33, yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, ketika kejadian beliau, suaminya, tiga anak mereka dan seorang pembantu rumah berada di dalam rumah itu.

"Ketika itu saya tidur berseorangan di bilik tidur utama kerana saya demam. Disebabkan itu, suami saya, Ikhwan Johari, 36, tidur bersama anak bongsu lelaki saya, Imran Ar-Razi, 3.

"Salah seorang penjenayah telah menarik selimut saya lalu mengarahkan saya bangun dari tidur sementara penjenayah lain membawa kesemua ahli keluarga dan pembantu rumah berkumpul di bilik tidur utama," katanya.

Katanya, anak sulungnya, Amna Nafeesa, 8, dan Azra Fareera, 5, tidur bersama di bilik mereka di tingkat atas manakala pembantu rumahnya seorang warga Aceh, tidur di tingkat bawah.

"Kesemua mereka dikumpulkan di dalam bilik saya dan hanya Ikhwan diikat dengan wayar telefon. Kami diawasi oleh seorang penjenayah, manakala dua lagi menyelongkar rumah kami," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga penjenayah lelaki itu memakai topeng kain menutup wajah mereka dan mereka memegang pemutar skru, kayu panjang dan pemotong besi.

Beliau berkata suaminya juga turut dipukul oleh penjenayah terbabit di bahagian muka dan kaki sebelum diikat.

Penjenayah mengambil masa 45 minit menyelongkar seluruh rumah sebelum melarikan barang berharga termasuk lima komputer riba, empat telefon bimbit, cincin emas, kunci kereta dan wang tunai RM200.

Katanya, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang pada pukul 4.30 pagi dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian serta siasatan sedang dijalankan.









.

Kenali Juara Masterchef Malaysia yang pertama : DR Ezani


BENARLAH bagai dikata, tanpa keberanian, segala yang diidam dan dicitakan tidak akan menjadi kenyataan. Barangkali, kata-kata itu juga amat bertepatan dengan kemenangan Ezani Farhana Md. Monoto yang telah berjaya menggondol gelaran juara sulung program MasterChef Malaysia baru-baru ini.

Siapa sangka, seorang doktor gigi yang mempunyai minat mendalam terhadap dunia kulinari membuahkan hasil yang cukup lumayan apabila Ezani Farhana membawa pulang wang tunai RM100,000 beserta trofi. Tidak cukup dengan itu, seperti yang dijanjikan kepada semua juara francais MasterChef di seluruh dunia, anak kelahiran Kajang, Selangor itu turut memperolehi kontrak untuk menerbit dan mengedarkan buku masakannya sendiri.

Sewaktu ditemui pada episod terakhir, Santapan Penamat di Tapis Rouge, Encorp Strand, Kota Damansara, Kuala Lumpur, hujung minggu lalu, Ezani Farhana atau mesra disapa sebagai Ezani masih menganggap dirinya seperti bermimpi.

Walaupun keputusannya telah diumumkan dua minggu lalu tetapi Ezani bagaikan tidak percaya apabila dia dinobatkan sebagai juara MasterChef Malaysia setanding dengan barisan juara daripada francais program realiti masakan popular itu. Biarpun sudah memegang status juara, tetapi bagi Ezani, dia masih belum memutuskan untuk meninggalkan kerjaya profesionalnya.

"Saya menyertai MasterChef Malaysia kerana minat yang sangat mendalam terhadap bidang kulinari. Memang dari kecil saya suka memasak dan menjadikan ibu saya sebagai idola dalam bidang masakan.

"Tetapi saya tidak pernah terfikir untuk menjadikan bidang kulinari sebagai karier saya memandangkan ahli keluarga saya semuanya mempunyai pekerjaan profesional.

"Jadi secara tidak langsung saya mengikut jejak langkah mereka dan memilih bidang pergigian sebagai pekerjaan saya," jelas Ezani.

Ezani, 26, berjaya menewaskan pesaing terdekatnya, Wahidan Abang Supain, 42 yang hanya mampu berpuas hati dengan kedudukan naib juara.

Untuk episod penamat, Ezani telah menyediakan tiga juadah iaitu Salad Kekapis Nusantara sebagai hidangan pembuka selera, Lamb Cutlets dengan Medley Sayur-Sayuran (hidangan utama) dan Kek Ubi Bit Berempah (pemanis mulut). Menyambung bicara, Ezani memberitahu dia bukan hanya suka turun ke dapur untuk menajamkan lagi skil masakan tetapi juga merupakan seorang yang obses tentang dunia masakan.

Apa sahaja program masakan baik tempatan mahupun antarabangsa menjadi rancangan yang cukup digemari oleh Ezani. Dan sudah pasti, francais MasterChef antara program yang berada pada tangga pertama untuk rancangan masakan yang cukup diminatinya.

"Sewaktu menuntut di Australia, MasterChef Australia merupakan program yang tidak akan saya lepaskan.

"Dari situ, saya melihat bagaimana pesertanya memasak dan beraksi di dapur lalu ia memberikan inspirasi kepada saya untuk memberanikan diri menyertai MasterChef Malaysia.

"Dalam masa yang sama juga, saya suka membaca dan membeli buku resipi. Dari situ, saya mendapat pelbagai idea untuk muncul dengan resipi sendiri sepanjang berada dalam MasterChef Malaysia," ujar Ezani yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

Jika penonton setia MasterChef Malaysia melihat aksi Ezani sepanjang 11 minggu program itu berlangsung, memang tidak dinafikan Ezani memang layak untuk dinobatkan sebagai juara.

Semuanya berdasarkan kepada prestasi cemerlangnya selain konsisten dalam setiap cabaran serta penyediaan resipi dalam program tersebut. Sesuatu yang menarik juga tentang Ezani apabila dia sering memasak dan menyediakan juadah dalam keadaan tenang sekali waima sehebat mana cabaran yang diberikan.

"Mungkin kerana saya seorang yang tenang dan pekerjaan saya sendiri telah menjadikan saya seperti mana yang anda saksikan di kaca televisyen," katanya sambil ketawa kecil.

Mengenai wang kemenangannya dan perancangan buku masakannya pula, buat masa ini kata Ezani, semuanya masih terlalu awal untuk ditentukan. Namun, dia tidak menafikan sudah mempunyai perancangan untuk menggunakan wang itu bagi menyempurnakan impiannya yang sudah lama dihajatkan. Dalam masa yang sama, Ezani tidak menolak peluang yang datang kelak untuk menjadi hos kepada program masakannya sendiri.

Apatah lagi, dia dan Wahidan kini merupakan artis eksklusif Astro, pastinya stesen berbayar itu sudah merencanakan agenda untuk kedua-dia selebriti terbaru ciptaan mereka.










.

Aneh : Tak panas ke kat situ?


Lubang gunung berapi di sebuah lokasi rahsia di Laut Carribbean didapati mengandungi ribuan udang kecil yang tidak diketahui spesiesnya.

Menurut para penyelidik, lubang itu terdapat di selatan Kepulauan Cayman, lima kilometer di bawah permukaan laut.

Penemuan itu dibuat menerusi satu ekspedisi pada 2010 yang diketuai oleh seorang ahli geokimia marin Pusat Kelautan Kebangsaan Britain dan Jon Copley seorang ahli biologi di Universiti Southampton.

Mereka menggunakan sebuah robot kapal selam untuk meneroka lubang itu dan merakamkan gambar udang tersebut.









.

Gambar pertama spesies monyet jarang


Gambar sekumpulan monyet hidung pesek berbulu tebal yang hampir pupus berjaya dirakamkan buat pertama kali dalam habitat semula jadinya di kawasan pergunungan negeri Kachin, Myanmar bersempadan China dan disiarkan untuk tontonan umum.

Kejayaan itu atas usaha sekumpulan penyelidik dari Fauna & Flora International (FFI), Persatuan Pemuliharaan Alam Semula jadi dan Biodiversiti (BANCA) serta Yayasan Pemuliharaan dan Sumber Manusia (PRCF) menggunakan kamera tersembunyi bagi mengambil gambar haiwan tersebut.

Menurut saintis FFI, Frank Momberg dalam satu siaran akhbar, spesies itu dikenal pasti secara saintifik tahun lalu selepas berjaya mengumpul spesimen dari pemburu tempatan.

Katanya, keadaan cuaca tidak menentu memberi cabaran kepada pasukan tersebut dalam proses pemasangan kamera.

Ketua penyelidik, Jeremy Holden pula berkata, pihaknya berdepan dengan keadaan sukar di kawasan hutan tebal terpencil yang mungkin mengandungi kurang daripada 200 ekor monyet itu.

"Tuah menyebelahi kami apabila sekumpulan monyet yang terdiri daripada beberapa ekor monyet betina dengan bayinya berjalan berdekatan kamera tersebut Mei lalu," katanya.


Menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula jadi Antarabangsa (IUCN), monyet Mae Hka (nama saintifik Rhinopithecus Strykeri) yang memiliki hidung pendek dan bermuka bulat itu mudah bersin terutama pada musim hujan.

Laporan berita BBC melaporkan, masyarakat tempatan menggelar haiwan tersebut sebagai mey nwoah yang bermaksud monyet dengan wajah terjongket.

Malangnya haiwan tersebut diancam oleh aktiviti pembalakan dan pemburuan serta dikelaskan sebagai 'diancam kepupusan kritikal' dalam senarai merah haiwan terancam IUCN.










.

Itu bukan emas


Orang ramai yang terlibat dengan aktiviti 'mendulang emas' di Kampung Melayu Majidee di sini diminta menghentikan aktiviti itu kerana ia bukan sahaja tidak memberi faedah tetapi juga merosakkan infrastruktur serta mengganggu ketenteraman penduduk kampung berkenaan.

Ahli Majlis Zon Kampung Melayu, Azman Dawam berkata, aktiviti mendulang dan mencari batu yang telah disahkan sebagai mineral jenis 'pyrite' itu telah dijalankan sejak seminggu lalu dan turut merosakkan jalan yang baru diturap di kampung berkenaan.

''Rata-rata penduduk kampung ini sudah tidak lagi menjalankan aktiviti tersebut setelah ia disahkan bukan emas tetapi orang luar masih datang," katanyai.

Kampung Melayu Majidee menjadi tumpuan ramai sejak seminggu lalu selepas batu-batuan di Jalan Mewah kampung berkenaan didakwa disaluti emas. Susulan itu, Jabatan Mineral dan Geosains negeri yang membuat kajian ke atas batu tersebut semalam mengesahkan bahan berkenaan bukannya emas, sebaliknya sejenis mineral dikenali sebagai 'pyrite' yang tidak bernilai.

Tinjauan ke kawasan berkenaan hari ini mendapati orang ramai masih mendulang dan mencari batu-batuan dari awal pagi sehingga ke lewat petang. Dakwaan mengatakan batu berkenaan bernilai dan boleh dijual di kedai emas membuatkan orang ramai masih menaruh harapan meskipun hingga kini tiada bukti mengesahkan dakwaan tersebut.

Seorang suri rumah, Zarina Abdullah, 34, dari Taman Seri Setanggi di sini mengakui membaca laporan berita mengatakan batuan tersebut bukannya emas, namun ia tidak menghalangnya untuk mencari 'emas' tersebut.

"Walaupun mereka kata itu bukan emas, saya tetap cari, manalah tahu kalau ada nasib. Kalau bukan emas pun, saya tetap akan simpannya sebagai barang hiasan dan kenang-kenangan," katanya.

Seorang warga emas, Zaiton Seman, 64, dari Taman Molek di sini pula sanggup datang ke kampung itu hari ini selepas mendengar mengenai penemuan 'emas' itu dan mengakui tidak mengetahui batu tersebut bukannya emas kerana belum membaca berita tersebut hari ini.










.

Kereta terbang


Seorang jurujual lelaki melalui detik-detik cemas apabila kereta Perodua MyVi yang dipandunya terbabas akibat tayar pancit sebelum 'terbang' dan mendarat di atas sebuah van yang sedang berhenti di Jalan Long Yunus dekat sini, hari ini.

Berdasarkan keadaan MyVi itu yang 'melekat' betul-betul di atas van, pasti ramai yang menyangka berlaku kecederaan atau kematian, namun pemandu kereta itu yang berusia lingkungan 30-an tidak mengalami kecederaan serius.

Lebih melegakan, ketika kejadian, tiada sesiapa berada di dalam van itu yang diletakkan berhampiran deretan kedai di jalan itu.

Mangsa sebelum itu dalam perjalanan ke tempat kerja dan difahamkan, kenderaannya hilang kawalan apabila tayar kiri depan tiba-tiba pancit.

Ketika cuba memberhentikan kereta itu, pemandu MyVi terbabit terlanggar longgokan batu dan pasir menyebabkan kereta itu terbang dan mendarat di atas van.

Seorang saksi, Su Fatimah Ismail, 26, berkata, dia berada di pejabat yang terletak kira-kira 30 meter dari tempat kejadian apabila terdengar bunyi hon sangat kuat.

"Saya segera turun dan tiba-tiba ternampak sebuah kereta berada di atas bumbung sebuah van. Pemandunya tidak mengalami kecederaan serius dan dibantu orang ramai untuk keluar dari kereta," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

"Polis mendapati, kereta itu merempuh longgokan batu dan pasir menyebabkan ia melompat dan terbabas di atas sebuah van. Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dibantu orang ramai untuk keluar dari kenderaannya," katanya.









.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!