Friday, January 27, 2012

Doktor Dipenjara Kerana Beli Buah Pinggang Daripada Kumpulan Gengster

Mahkamah Jepun pada Rabu mengenakan hukuman penjara ke atas seorang doktor yang membayar sejumlah $100,000 (RM315,991.39) kepada kumpulan gengster bagi mendapatkan buah pinggang yang diambil oleh seorang lelaki untuk dirinya sendiri, yang dilaporkan berhutang dengan kumpulan penjenayah licik.

Toshinobu Horiuchi, 56, membayar 8 bilion yen atau $100,000 (RM315,991.39) untuk organ berkenaan yang diperlukan untuk masalah buah pinggangnya sendiri, menurut keterangan dalam Mahkamah Daerah Tokyo.

Doktor tersebut dipenjara selama tiga tahun.

Hakim Atsuo Wakazono mengatakan dengan sekeras-kerasnya bahawa pembelian buah pinggang itu merupakan sesuatu yang melemahkan prinsip keadilan dalam pemindahan organ.

“Ia adalah satu jenayah yang mementingkan diri sendiri yang dilakukan oleh doktor menggunakan kuasa wang. Tiada ruang untuk diberi pengampunan,” katanya.

Enam individu yang lain termasuk isteri Horiuchi yang berusia 48 tahun iaitu Noriko turut disabitkan kesalahan kerana bersubahat dalam pembelian organ itu yang dipercayai milik seorang lelaki berusia 21 tahun.

Menurut keterangan mahkamah, pemindahan organ itu berjaya hanya selepas Horiuchi sebelum ini gagal membeli buah pinggang pada harga 10 juta yen (RM391,966).

Perjanjian berlaku dan kehabisan kesemua wangnya apabila dia dan kumpulan gengster yang berurusannya tidak bersetuju terhadap beberapa terma.

Undang-undang Jepun mengharamkan pembayaran ke atas bahagian-bahagian badan dan menetapkan garis panduan kesihatan bagi pemindahan organ yang bernyawa hanya boleh dilakukan oleh ahli keluarga.

Kira-kira 13,000 orang menunggu untuk pemindahan organ di Jepun di mana hanya kira-kira 300 pembedahan dijalankan pada setiap tahun dan sebahagiannya disebabkan oleh peraturan-peraturan yang ketat dan tahap kesedaran rendah di kalangan masyarakat berhubung isu berkenaan.






.

Nuget oh nuget


Seorang remaja diberi amaran bahawa kegemarannya terhadap nuget ayam boleh membunuh kerana dia sebenarnya tidak mengambil apa-apa makanan sejak berusia dua tahun.
Doktor mula menyedari kecenderungan pemakanan bermasalah Stacey Irvine itu selepas dia tiba-tiba pengsan dan dikejarkan ke hospital kerana sukar bernafas.
Pekerja kilang, Stacey, 17, tidak menyentuh sebarang sayur-sayuran atau buah-buahan sejak 15 tahun lalu.

Tabiat pemakanannya itu menyebabkan dia mengalami anemia (kekurangan darah) dan bengkak salur darah pada lidahnya. Semalam, Stacey dilaporkan semakin pulih di rumah selepas doktor memberikannya sejumlah vitamin dan beberapa suntikan ketika dirawat di hospital.

Bagaimanapun, Stacey tetap berdegil dan enggan mengubah pilihan makanannya, malah tetap hanya mahu mengambil nuget daging ayam sebagai hidangan.
Berasal dari Castle Vale, Stacey berkata, kini dia mula sedar betapa tabiat pemakanannya yang hanya mengambil nuget ayam goreng membahayakan kesihatannya.

“Selain nuget ayam goreng McDonald’s yang memang makanan kegemaran, saya juga menggemari hidangan sama disediakan restoran makanan segera lain atau yang dijual di pasar raya.

“Hidangan sebenar saya setiap hari hanya nuget ayam goreng,” katanya.

Stacey bersama koleksi mainan percuma kerana membeli nuget

Sementara itu, ibu Stacey, Evonne, 39, berkata dia sendiri sukar memujuk anaknya berjumpa dengan doktor pakar bagi mendapatkan nasihat dan menyelesaikan masalah berkenaan. “Saya kini benar-benar tidak mampu melakukan apa-apa lagi.

“Saya cuma mampu berdoa supaya Stacey dapat diselamatkan sebelum terlambat,” katanya.











.

Jom kita intai anak kembar Roger Federer (Separuh Akhir Australian Open)


Rafael Nadal sekali lagi membuktikan dia menjadi penghalang buat Roger Federer untuk melangkah ke final grand slam, sekali pun dipaksa bekerja keras oleh pemain Switzerland itu pada separuh akhir Terbuka Australia, semalam.

Pemain Sepanyol itu menang 6-7 (5/7), 6-2, 7-6 (7/5), 6-4 bagi memanjangkan rekod kemenangan dengan musuh ketatnya itu kepada lapan perlawanan dalam 10 pertemuan grand slam dan masih gagal mengalahkan Nadal dalam kejuaraan utama sejak Wimbledon 2007.

Pemenang 16 kejohanan grand slam dari Switzerland itu menitiskan air mata sewaktu Nadal menumpaskannya pada perlawanan akhir di Melbourne 2009 dan sekali lagi Federer gagal melunaskan dendamnya di Rod Laver Arena.


"Bagi saya seperti mimpi dapat kembali beraksi di final. Ia merupakan satu penghormatan dapat bermain menentang Roger, perlawanan ini amat hebat. Luar biasa sekali dapat bermain dengan seorang pemain yang tidak melakukan kesilapan, bermain dengan cukup sempurna," kata Nadal.

Nadal, yang telah memenangi 10 kejohanan grand slam, dijangka menentang sama ada juara bertahan, Novak Djokovic atau pemain Britain, Andy Murray pada perlawanan akhir Ahad ini.

Federer mempamerkan aksi sempurna sejak awal permainan lagi, tetapi dia kerap diberi tekanan oleh Nadal sehingga melakukan 63 kesilapan sendiri.

Memanfaatkan segala kelebihan yang dimiliki sebagai senjatanya, juara empat kali Terbuka Australia, Federer memegang servis sejak awal perlawanan dan berjaya mematahkan peluang pertama yang dimiliki pemain Sepanyol itu untuk mengutip mata dengan melakukan pukulan kilas mengelirukan yang ternyata memerangkap Nadal.

Nadal berjaya bangkit untuk merapatkan jurang mata, tetapi pemain pilihan ketiga itu segera memperkemaskan permainannya untuk melakar kemenangan menerusi tie-break pada set pertama.








P/S - Tahniah buat Nadal.. Namun, ada yang menarik didalam perlawanan itu malam tadi.. Kelihatan anak kembar Federer, yang nampaknya menyokongnya dari bahagian tempat duduk penonton.. mereka sangat comel, dan nampaknya wajah mereka saling tak tumpah seperti ayah, Federer...











.

Pameran ibadah haji


Muzium Britain buat julung-julung kalinya menganjurkan pameran ibadah haji yang diberi nama Hajj: Journey At The Heart Of Islam sebagai satu pendedahan istimewa terutamanya buat golongan bukan Islam mengenai perjalanan ibadah yang dilakukan setiap tahun itu.

Kumpulan kurator muzium berkenaan berharap, pameran yang berlangsung bermula hari ini sehingga 15 April itu akan dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat termasuk yang bukan Islam.

"Menerusi pameran ini, pengunjung sedikit sebanyak dapat mempelajari sesuatu mengenai haji dan bagaimana ia dilakukan," kata kurator pameran tersebut, Qaisra Khan.

Jelasnya, pameran itu turut menyampaikan mesej keamanan dalam Islam berikutan tanggapan dunia luar terhadap Asia Barat yang sebelum ini dicemari dengan keganasan dan pergolakan.

Menerusi pameran tersebut, pengunjung akan disajikan dengan langkah-langkah persiapan haji termasuk melangsaikan hutang yang tertunggak dan memohon maaf daripada semua pihak sebelum berangkat ke kota suci Mekah serta menyediakan wasiat bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Malah, pengunjung berpeluang mengenali Kaabah yang menjadi kiblat bagi semua umat Islam di dunia dan Masjid Nabawi.

Pameran terbabit juga memaparkan perjalanan para jemaah untuk menunaikan haji antaranya dari Kufa, Kaherah dan Damsyik.

Semua umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan dan fizikal diwajibkan untuk mengerjakan ibadah haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Satu statistik yang turut dipamerkan, bilangan para jemaah yang mengerjakan ibadah naik mendadak sejak 80 tahun lalu daripada hanya 20,000 jemaah pada 1932 kepada hampir tiga juta jemaah menunaikan ibadah haji pada tahun lalu.










.

Gunakan Mayat Abang Untuk Palsukan Kematian Sendiri


Seorang lelaki Jepun memalsukan kematiannya sendiri dengan menggunakan mayat mendiang abangnya sebagai mayatnya, kata polis dan media pada Khamis.

Menurut harian Mainichi, dia menggunakan alasan itu bagi memastikan lesen memandunya dibatalkan oleh kerana dia mempunyai kesalahan trafik yang berulang, meskipun adik-beradik Tsukasa Oizumi yang lebih tua masih hidup.

Oizumi mengambil keputusan untuk menukarkan identitinya sepenuhnya apabila abangnya jatuh sakit dan meninggal dunia pada usia 56 tahun pada tahun 2008.

Dia "memberitahu" pihak berkuasa bahawa mayat abangnya adalah mayatnya sendiri malah doktor yang menguruskan kematian abangnya tidak mengesyaki apa-apa, menurut akhbar Asahi Shimbun.

“Mayatnya” dibakar seperti yang sering dilakukan bagi pengebumian di Jepun.

Menurut laporan itu lagi, Oizumi yang kini berusia 58 tahun membuat tuntutan faedah keselamatan sosial menggunakan nama abangnya bagi menjaga ibunya yang uzur di rumah.

Dia bagaimanapun menyerah diri di pejabat kebajikan tempatan pada Jun lalu kerana diselubungi oleh perasaan bersalah, lapor Asahi.

Pihak polis mengambil masa berbulan-bulan untuk mengesahkan kebenaran pengakuan Oizumi sebelum menahannya pada Rabu kerana didakwa “menyembunyikan dirinya dengan menyamar sebagai abangnya yang telah mati dan mendaftar menggunakan butiran salah untuk sijil-sijil rasmi,” kata seorang jurucakap.






.

Artis veteran bakal bergelar ayah


“Alhamdulillah, isteri hamil empat bulan dan saya bakal menimang zuriat pertama,” kata penyanyi era 80-an, Shidee, 53, atau nama sebenarnya Rashid Abdul Wahab.

Shidee ketika ditemui di Balai Berita, Jalan Riong, di sini, semalam, berkata, Oktober tahun lalu isterinya, Siti Fairunnisa Aziz, 24, muntah-muntah sebelum dibawa ke klinik berhampiran rumahnya di Bukit Beruntung untuk pemeriksaan.

“Selepas empat kali menjalankan pemeriksaan, doktor memaklumkan isteri mengandung dan kini genap empat bulan dia hamil,” katanya.

Menurutnya, kandungan isterinya belum dipastikan sama ada lelaki atau perempuan, namun dia bersyukur dengan perkhabaran gembira itu selain tidak sabar menjadi bapa.

“Saya sangat gembira dengan rezeki ini. Tiada apa lagi ingin saya kecapi melainkan anak yang juga zuriat selepas saya sudah tiada,” katanya.

Kata Shidee, isterinya dijangka bersalin pada Jun depan dan dia kini sibuk membuat persediaan daripada segi kewangan, perubatan dan pakaian.
“Saya menganggap ini tuah berganda selepas isu bersama ibu mentua selesai, malah hubungan kami bertambah baik. Selain itu, rumah tangga saya bahagia tambahan pula isteri tidak mempunyai banyak kerenah,” katanya.

Shidee sebelum ini mencetuskan kontroversi panas pada 1 Februari 2010 apabila dia yang bernikah dengan Siti Fairunnisa tidak mendapat restu daripada ibu mentuanya, Jamaliah Hassan, 48.

Selain itu, Shidee dikatakan terlebih dulu menjalinkan cinta bersama Jamaliah namun dalam diam-diam memendam perasaan terhadap Siti Fairunniza sebelum mereka bernikah di Pejabat Agama Islam Hulu Selangor.

“Perkara lepas usah dikenang, ia sejarah hidup saya. Sekarang ini kami sekeluarga sudah bersatu, malah ibu mentua juga gembira selepas mendapat tahu anaknya kini hamil,” katanya.










.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!