Tuesday, November 13, 2012

Gila! Bayi pramatang dijual?


Penjualan patung menyerupai bayi pra matang yang kelihatan sakit dengan menggunakan tiub pernafasan, bertujuan membantu ibu bapa yang kematian bayi mengatasi kesedihan mereka, mencetuskan kemarahan di kalangan persatuan-persatuan kebajikan di kota raya ini. Patung yang seolah-olah hidup itu dijual pada harga 800 pound (RM3,815) setiap satu melalui jualan dalam talian dan bayaran tambahan sebanyak 35 pound (RM166) dikenakan bagi mendapatkan pek penjagaan intensif patung berkenaan. Persatuan-persatuan kebajikan membidas trend itu dan menyifatkan pengilang yang membawa masuk produk dari Amerika itu semata-mata mahu mengaut keuntungan daripada mereka yang kehilangan ahli keluarga.

''Ia amat menyedihkan. Patung itu tidak menyenangkan dan mereka hanya memanjangkan proses kesedihan sesebuah keluarga,'' kata Sue Williams daripada persatuan bayi pra matang, Adapt. Seorang ibu yang kehilangan satu daripada bayi kembarnya yang baru lahir, menulis pada laman Netmums dengan menempelak syarikat itu. ''Saya jijik. Apa jenis individu yang berperangai jelik dan mempunyai fikiran yang sakit sanggup melakukan perkara seperti ini,'' katanya. - AGENSI






.

Tahukah anda bahawa otak orang bercinta tidak stabil


 Pernahkah anda terfikir mengapa orang yang sedang dilamun cinta boleh mengambil tindakan yang tidak waras dan sukar difahami, termasuklah berani untuk mengadakan hubungan sulit di luar perkahwinan. Pakar neurologi cuba merungkai perkara itu dengan melakukan kajian ke atas apa yang berlaku pada otak ketika seseorang itu sedang dilamun cinta. Mereka mengimbas apa yang berlaku di dalam otak, selain memetakan perubahan kimia pada bahagian otak yang aktif dan bahagian yang tidak aktif apabila seseorang mengalami perasaan itu. Hasil kajian mendapati bagaimana seseorang yang bercinta boleh menjadi gemuruh dan tidak stabil.

Mereka mendapati korteks hadapan otak yang membuat pertimbangan, menjadi tidak aktif apabila seseorang itu bercinta. ''Apabila anda melihat seseorang yang anda sukai, beberapa bahagian otak menjadi aktif. Namun, satu bahagian besar lagi menjadi tidak aktif iaitu otak yang membuat pertimbangan,'' kata Profesor Neuroaestetik, Kolej Universiti London, Semir Zeki. Beliau percaya otak bertindak sedemikian untuk melaksanakan 'tujuan biologikal lebih tinggi' iaitu untuk membolehkan proses 'pembiakan' berlaku.

Imbasan otak juga menunjukkan ketika bercinta, bahagian otak yang mengawal ketakutan dan perasaan negatif tidak berfungsi dan ia menerangkan mengapa seseorang 'tetap gembira' dan tidak takut apa akan berlaku apabila dilamun percintaan. 'Kegilaan' ini juga dikatakan menyebabkan orang yang bercinta sukar menerima nasihat daripada rakan-rakan untuk tidak meneruskan hubungan sulit di luar perkahwinan. - AGENSI





.

Bayi perempuan di China lahir dengan ekor..


Seorang bayi berusia empat bulan di China, lahir dengan fizikal yang aneh, iaitu memiliki ekor seperti seekor monyet. Bayi perempuan itu, menjalani pembedahan buang ekornya yang memiliki panjang enam sentimeter, di sebuah hospital di Guangzhou, provinsi Guangdong, China, pada awal bulan ini. Menurut berita Asiaone.com, bayi perempuan itu didiagnos menghidap spina bifida di hospital Memorial Universiti Sun Yatsen, dia dilahirkan dengan memiliki ekor tak berbulu berwarna merah muda. Menurut laporan, keluarga anak itu tidak memiliki sejarah ahli keluarga yang lahir dengan ekor di tubuh mereka.

Bayi itu lahir pada bulan Jun tahun ini, dan mengejutkan seluruh keluarganya kerana memiliki ekor di punggungnya. Awalnya, si nenek menginginkan agar bidan atau doktor memotong ekor tersebut, dengan mengikatnya terlebih dahulu menggunakan tali, namun rancangan itu tidak dilakukan, kerana berpotensi akan membahayakan nyawa anak itu. Spina bifida, merupakan keadaan seseorang yang lahir cacat dibahagian tulang belakang, dimana hal itu boleh terjadi akibat faktor genetik atau persekitaran.






.

Tablet termurah di dunia - versi baru


India telah melancarkan komputer tablet versi terkini dengan kos paling rendah menggunakan pemproses yang lebih pantas dan bateri yang lebih baik, dijual kepada pelajar pada harga subsidi $20. Tablet Aakash, yang dikatakan komputer termurah dunia, telah dibangunkan sebagai perkongsian awam-swasta bertujuan menjadikan teknologi komputer dapat disediakan kepada pelajar-pelajar di negara ini di mana penggunaan Internet hanya sekitar 10 peratus. Pembuat tablet, Datawind yang berpangkalan di Britain berkata Aakash 2 dikuasakan oleh pemproses tiga kali lebih pantas berbanding yang asal, mempunyai skrin sentuh yang lebih besar dan bateri dengan jangka hayat tiga jam. "Teknologi dalam pembelajaran adalah satu aspek yang sangat penting dalam pendidikan," kata Presiden India Pranab Mukherjee pada Ahad ketika majlis pelancaran rasmi.

"Ini mesti disesuaikan dengan keperluan khusus kita dan diperkenalkan segera di semua institusi pendidikan di seluruh negara," katanya. Versi pertama Aakash telah dilancarkan oleh kerajaan pada bulan Oktober tahun lepas tetapi ia telah dicemari beberapa masalah termasuk hayat bateri yang singkat, senarai menunggu yang panjang dan kesukaran dari segi pengagihan. Aakash 2 dengan saiz buku, dibangunkan oleh jurutera India di universiti awam elit IIT, menjalankan sistem operasi Google Android 4.0 dan mempunyai skrin berukuran tujuh inci (18 sentimeter) luas.

100,000 peranti pertama akan dijual kepada pelajar-pelajar di kolej-kolej kejuruteraan dan universiti pada harga subsidi 1.130 rupee (20 dolar) dan kemudiannya Aakash 2 akan diedarkan ke kedai-kedai buku di universiti-universiti India. Datawind berkata harga jualan komersial tanpa subsidi untuk Aakash 2 adalah 3.500 rupee (64 dolar). Lebih 15,000 guru di 250 kolej telah dilatih mengenai penggunaan Aakash untuk pendidikan, menurut kementerian pembangunan sumber manusia di India. Negara tersebut mempunyai hampir 115 juta pengguna Internet, menjadikannya sebagai ketiga terbesar di dunia selepas China dan Amerika Syarikat, tetapi dengan kadar penembusan yang rendah, menurut data dari 'Internet and Mobile Association of India (IMAI)'. - AFP







.

2 hari selepas kahwin, Datuk Lee Chong Wei kembali ke gelanggang.. (Benarkah prestasinya agak menurun?)


Hanya dua hari selepas meraikan majlis perkahwinannya, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei kembali semula ke gelanggang untuk melakukan persiapan menghadapi tiga kejohanan sebelum musim siri dunia melabuhkan tirai bulan depan. Pemain nombor satu dunia itu memulakan latihan semula hari ini selepas bercuti lama bagi membuat persediaan perkahwinan dengan bekas pemain negara Wong Mew Choo. Jurulatih negara Tey Siu Bock memberitahu Bernama bahawa prestasi Chong Wei menurun sedikit tetapi ia tidak membimbangkan. "Ini sudah dijangkakan selepas bercuti lama tetapi kami tidak bimbang. Selepas memberi tumpuan selama empat tahun bagi menghadapi Sukan Olimpik London 2012, kami memberi masa untuk beliau berehat," katanya. Beliau berkata walaupun tidak meletakan sasaran dalam baki tiga kejohanan itu, objektif Chong Wei adalah untuk mengekalkan ranking nombor satu dunia.

Chong Wei dijadual beraksi pada Terbuka Hong Kong dari 20 hingga 25 Nov ini diikuti Terbuka Macau (27 Nov-2 Dis) dan Super Siri Akhir BWF di Shenzen, China dari 12 hingga 16 Dis ini. Berikutan jadual padat, Chong Wei, pemenang perak Sukan Olimpik London, terpaksa menangguhkan hasrat berbulan madu sehingga tahun depan. Pemain berusia 30 tahun itu sedang bersiap sedia untuk Terbuka Hong Kong minggu depan yang mana beliau dijangka berdepan dengan pemain China Du Pengyu di peringkat separuh akhir.

 Chong Wei mengalahkan pemain China berusia 24 tahun itu pada final Terbuka Denmark bulan lepas. Pada Terbuka Hong Kong, Chong Wei selaku pilihan utama, akan memulakan kempen dengan menentang pemain Thailand Boonsak Ponsana pada pusingan pertama. Beliau dijangka berdepan dengan Wang Zhengming dari China, Hao Hsu Jen dari Taiwan dan pemain Vietnam Tien Minh Nguyen pada pusingan kedua dan suku akhir. Selain Chong Wei, acara perseorangan lelaki negara turut disertai oleh Liew Daren dan Chong Wei Feng dan beregu utama negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying. - Bernama







.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!