Mutu udara di ibu negara China adalah yang terburuk pernah direkodkan, dakwa pemerhati alam sekitar. Pusat pemantau tahap pencemaran sudah memberi amaran kepada penduduk Beijing tidak keluar rumah selepas pencemaran mencapai 30 hingga 50 kali ganda tahap selamat.
Jerebu tebal
Kota besar yang mempunyai 20 juta orang itu diselimuti jerebu tebal sejak Jumaat lalu yang mengurangkan jarak penglihatan selain menjejaskan lalu lintas. Pencemaran itu dikenal pasti sebagai punca utama asma dan penyakit pernafasan. Data pusat pemantau itu menyatakan, unsur partikel bergaris pusat kurang 2.5 mikrometer (PM2.5) mencapai lebih 600 mikrogram satu meter persegi di beberapa stesen pengesan di Beijing dan mencapai 900 sehingga petang kelmarin. Tahap yang dibenarkan sehari bagi PM2.5 ialah 20, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika (EPA) pula menyatakan, keadaan melepasi 300 adalah ‘keadaan kecemasan’ dan penduduk akan terjejas. “Keadaan ini memang yang terburuk dalam rekod rasmi tetapi juga data Kedutaan Amerika dengan kawasan berjiran, Hebei, lebih teruk dari Beijing,” kata aktivis Greenpeace, Zhou Rong.
Keadaan teruk
Pusat Pemantau Alam Sekitar Beijing melaporkan, pencemaran teruk adalah disebabkan tekanan udara rendah yang menyukarkan partikel bergerak dan keadaan itu diramal berterusan dua hari lagi. Pencemaran adalah salah satu daripada cabaran terbesar dihadapi pemimpin China, kata Presiden Hu Jintao. November lalu, ketika berucap di Kongres Parti Komunis, beliau berkata negara itu perlu mengubah ekologi yang kian teruk untuk membina ‘China yang indah.’ - AP
.
1 Penyokong CHELSEA:
Sangat teruk...tak nampak nak memandu.
Post a Comment