China merancang membenarkan pelancong mengunjungi Kepulauan Paracel mulai bulan ini, yang turut dituntut oleh Vietnam di Laut China Selatan, satu tindakan yang dilihat meningkatkan ketegangan antara republik itu dengan negara-negara jirannya. Agensi berita Xinhua hari ini melaporkan, perancangan China untuk membuka pulau itu kepada pelancong sebelum cuti Hari Buruh tidak lama lagi merupakan peringkat paling terkini pembangunan di wilayah tersebut. Sebelum ini China membangunkan beberapa infrastruktur di Sansha, kawasan kepulauan di wilayah Hainan (termasuk Paracel) yang didakwa China sebagai miliknya, termasuk mengukuhkan kehadiran tentera pengawal pada tahun lalu.
Tindakan tersebut mengundang kemarahan Vietnam dan ancaman tindak balas dari Washington. Hubungan China dan Vietnam sememangnya tegang berikutan pertikaian ke atas Kepulauan Paracel sejak sekian lama.
Bulan lalu, Hanoi menuduh kapal China menembak sebuah bot nelayannya yang belayar berdekatan kawasan perairan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara, menurut kenyataan Naib Gabenor Eksekutif Wilayah Hainan, Tan Li. Beliau berkata demikian, semalam pada Forum Boao Untuk Asia, yang diadakan di Hainan. Sebuah syarikat pelancongan China mendakwa kapal pelayaran mereka bersedia membawa kira-kira 2,000 pelancong untuk lawatan ke kepulauan tersebut. "Harga lawatan secara relatif adalah tinggi berikutan kos yang tinggi untuk pembinaan infrastruktur di situ," kata Pengurus Besar sebuah syarikat pelancongan Hainan, Huang Huaru. - AFP
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment