Monday, May 13, 2013

Jom Ke Muzium.. Masuk adalah percuma untuk semua muzium



Kesemua muzium di bawah kendalian Jabatan Muzium Malaysia akan dibuka percuma pada Sabtu ini sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa. Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail berkata, tindakan itu bagi menghargai sokongan masyarakat termasuk pelancong yang tidak putus-putus melawat muzium di bawah kendalian jabatan itu. "Pada 18 Mei tiada bayaran masuk dikenakan oleh muzium di bawah Jabatan Muzium Malaysia, malah slot pameran khas juga turut dibenarkan masuk percuma," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan 2013, di Muzium Negara hari ini.

Ibrahim berkata, antara muzium yang mengenakan bayaran di bawah kendalian jabatan itu ialah Muzium Negara, Muzium Diraja di Kuala Lumpur, Muzium Perak di Taiping dan Galeria Perdana di Langkawi, Kedah. "Pelbagai aktiviti turut diadakan pada hari itu seperti persembahan brass band daripada pasukan pancaragam beberapa buah sekolah menengah dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), jualan buku, setem dan cabutan bertuah buat pengunjung," katanya. Ibrahim berkata, pelancaran sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan akan diadakan pada 23 Mei oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Muzium Sarawak, Kuching.

"Kali ini Muzium Sarawak dipilih sebagai tuan rumah bagi menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan Sarawak ke dalam Malaysia dan juga Tahun Melawat Sarawak 2013," katanya. Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan yang bertemakan "Muzium (Kenangan Kreativiti Perubahan Sosial)" menyajikan pelbagai aktiviti seperti pameran, larian muzium, kembara muzium dan seminar. Malah dua muzium dari Indonesia dan satu dari Australia turut mengambil bahagian mempamerkan barangan bersejarah di Muzium Sarawak bermula 22 hingga 26 Mei. - Bernama





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!