Tuesday, May 14, 2013

Pengumuman barisan Kabinet 2013



Pengumuman Kabinet 2013 yang diketuai Datuk Seri Najib Razak dijangka dibuat esok (rabu), berikutan mandat diperoleh Barisan Nasional (BN) apabila memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Sebelum itu, pada sebelah pagi, Perdana Menteri dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara untuk menyembah warkah memohon perkenan selaras Fasal (2)(b) Perkara 43 dan Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan terhadap Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri.


Senarai diumum selepas dapat perkenan 

“Senarai jemaah menteri dan timbalan menteri akan diumumkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” kata sumber kepada BH di sini, semalam. Beliau berkata, pengumuman itu yang dijangka menggabungkan muka baru dan berpengalaman bagi merealisasikan transformasi diterajui Perdana Menteri sepatutnya dibuat hari ini, bagaimanapun ditunda ke Rabu atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Kata sumber itu lagi, berikutan perubahan tarikh berkenaan, upacara mengangkat sumpah jawatan semua anggota Kabinet dijangka diadakan pada Khamis ini.


Muka baru 

Barisan Kabinet kali ini dijangka menampilkan muka baru kerana ramai yang digugurkan dan penyandang menteri serta timbalan menteri kalah pada pilihan raya, menyebabkan beberapa portfolio perlu diisi dengan muka baru jika penyandang tidak dilantik sebagai senator.


Kementerian baru 

Ketika ini, Kabinet merangkumi 25 kementerian dan jumlah itu dijangka berubah apabila Perdana Menteri menerusi aku janji BN dalam manifestonya menggariskan untuk mewujudkan kementerian baru bagi memenuhi pelbagai cabaran sosial ekonomi bandar. Untuk tujuan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dijangka dirombak. Isnin lalu, Najib, 59, terlebih dulu mengangkat sumpah jawatan, setia serta sumpah simpan rahsia sebagai Perdana Menteri Keenam. Pengerusi BN yang juga Ahli Parlimen Pekan itu mengumumkan pembentukan kerajaan pada jam 12.50 malam, Ahad lalu apabila BN memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen, mengatasi pakatan pembangkang, termasuk merampas semula Kedah. Keseluruhannya, BN bertanding di 726 kerusi membabitkan 221 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU ini.-Bernama






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!