Sunday, June 2, 2013

Ingin menjadi cantik tapi dengan cara yang salah


Keghairahan seorang wanita untuk memiliki punggung yang lebih montok melalui suntikan silikon, akhirnya membawa padah apabila dia kehilangan kedua-dua belah kaki dan tangannya. Apryl Michelle Brown, pemilik kedai salon kehilangan kaki dan tangannya kerana suntikan yang dilakukan tidak menggunakan silikon biasa, tetapi silikon penebat yang digunakan pada bangunan. Ketika bercakap dalam wawancara 'This Morning', menerusi rangkaian satelit baru-baru ini, Michelle dari Los Angeles berkata, dia mengimpikan bentuk punggung yang menawan sejak kecil lagi. Wanita berusia 46 tahun itu menjelaskan bahawa impiannya itu menjadi cerah selepas seorang wanita yang datang ke salonnya pada 2004 memaklumkan tentang tempat untuk mendapatkan suntikan silikon yang boleh menjadikan punggungnya cantik. "Impian saya memiliki punggung yang seksi menjadi kenyataan selepas menjalani prosedur suntikan itu sebanyak dua kali, namun tidak menyangka ia merupakan permulaan tragedi buat saya.

"Setahun kemudian, silikon yang dimasukkan ke dalam punggung saya mengeras menyebabkan saya berasa sakit dan gatal," katanya. Michelle berkata, dia menanggung sakit selama lima tahun sebelum bertemu doktor pada 2011 untuk mendapatkan rawatan lanjut. Dia kemudiannya dimaklumkan bahawa bahan silikon yang disuntik itu telah mengeras dan tidak boleh dikeluarkan dan hanya mempunyai masa 24 jam untuk hidup. Lebih malang lagi, silikon penebat itu mengakibatkan kerosakan tisu badan dan sebahagian tisu punggung Michelle terpaksa dibuang. Ketika di dalam proses pemulihan di kawasan tisu yang dibuang itu dia mengalami masalah jangkitan Staph, menyebabkan Michelle jatuh koma.


Disebabkan tiada pilihan, doktor terpaksa melakukan 27 pembedahan bagi membuang tisu punggung termasuk di bahagian tangan dan kaki Michelle yang mereput akibat jangkitan. "Apabila saya sedar daripada pembedahan tersebut, saya tidak merasa sakit lagi dan mengetahui saya telah kehilangan kedua-dua tangan dan kaki. "Saya berharap pengalaman saya ini memberi pengajaran kepada wanita lain supaya belajar bersyukur dan tidak mengubah kejadian Tuhan," jelasnya. Baru-baru ini, Michelle yang menggunakan kaki palsu, menjalankan kerja-kerja amal dengan mengadakan aktiviti berjalan sejauh 4.82 kilometer, mengayuh basikal sejauh 16 kilometer dan berenang sejauh 150 meter. - AGENSI






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!