Wednesday, June 5, 2013

Punca sebenar pendaki gunung Everest maut


Seorang peserta Ekspedisi Mendaki Gunung Kala Patthar dan Everest Base Camp Perbadanan Putrajaya (PPj) maut manakala seorang lagi dipercayai kritikal akibat penyakit acute mountain sickness (AMS) ketika mengikuti misi mencabar itu pada pukul 7.15 malam semalam. Mangsa yang meninggal dunia ialah Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari (gambar), 25, yang merupakan Penolong Jurutera PPj manakala yang kritikal Mohd. Yazrul Ekhzan Yahya. Ekspedisi disertai 11 pendaki lelaki dan tiga wanita mewakili Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan PPj (KRISputra) itu bermula pada 27 Mei lalu dan dijangka kembali ke tanah air pada 10 Jun ini. Timbalan Pengarah Kanan Komunikasi Korporat PPj, Zaharah Salamat berkata, pihak PPj menerima maklumat mengenai Mohammad Shahrulnizam berada dalam kritikal pada pukul 1.30 petang dan usaha telah dilakukan untuk membawanya turun ke Kathmandu.

"Sebaik sahaja menerima maklumat ini, PPj telah menghubungi Wisma Putra untuk membantu menyelaras usaha menyelamat bersama Pejabat Perwakilan Malaysia (Malawakil) di sana dan diberitahu bahawa cuaca buruk menghalang usaha tersebut. "Usaha membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan gagal dibuat kerana cuaca buruk dengan awan tebal menghalang penerbangan helikopter ke lokasi insiden. Klinik perubatan terdekat di Phericche juga telah ditutup kerana musim pendakian utama telah tamat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. AMS sering menyerang pendaki gunung dan peluncur berikutan paras oksigen yang rendah serta tekanan udara yang semakin menurun apabila seseorang itu berada di tempat tinggi selain keadaan cuaca sangat sejuk.


Keadaan itu boleh menjejaskan sistem saraf, paru-paru dan jantung seseorang sehingga membawa maut. Zaharah berkata, sehingga kini tidak dapat dipastikan lagi bila jenazah Mohammad Shahrulnizam akan dibawa keluar dari Pheriche ke Kathmandu. Katanya, pihak PPj dengan kerjasama Malawakil sedang berusaha untuk menerbangkan jenazah kembali ke tanah air secepat mungkin. "Susulan dari insiden ini juga, kesemua pendaki ekspedisi ini telah membatalkan rancangan ke Everest Base Camp dan pada masa ini telah selamat tiba di Lobuche. "Sehingga kini semua pendaki dilaporkan dalam keadaan stabil dan selamat," katanya yang tidak mengulas tentang nasib Mohd. Yazrul yang dilaporkan kritikal.

Sementara itu, beliau berkata, di atas dasar keprihatinan terhadap keluarga mangsa, Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Muhamad Haitamin Ishak dan ahli jawatankuasa KRISputra telah melawat keluarga mangsa hari ini. "Ahli keluarga mangsa telah menerima berita ini dengan reda dan tabah menghadapinya," katanya. Sehingga kini, dua rakyat Malaysia meninggal dunia ketika mendaki laluan Gunung Everest pada tahun ini dengan yang pertama April lalu dari arah Tibet manakala Mohammad Shahrulnizam dari arah Nepal. -Utusan






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!