Monday, June 10, 2013

Selamat dikebumikan.. Al-fatihah...



Jenazah seniwati Latifah Omar yang meninggal dunia akibat penyakit usus semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat di sini hari ini. Terdahulu, jenazah allahyarham disempurnakan dan disolatkan di Masjid Al-Khairiah, AU3 di sini sebelum disemadikan pada kira-kira 11.20 pagi. Latifah, 74, menghembuskan nafas terakhir pada 6.19 petang Ahad di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Antara yang hadir pada mahlis pengebumian itu ialah Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Raja Rozaime Raja Dalnish Shah dan timbalannya Fatimah Ahmad. Raja Rozaime turut menyampaikan sumbangan khairat kematian RM5,000 daripada Finas kepada anak sulung allahyarham, Affendi Rahmat.

Turut hadir ialah Datuk Rosnani Jamil, Datuk Maria Menado, Datuk Aziz Satar, Datuk D.J Dave, Datuk Mustafa Maarof, Datuk Sarimah Ahmad, Aspalela Abdullah dan Lydiawati. Latifah, seniwati filem Melayu yang sering digandingkan dengan seniman Nordin Ahmad selain Tan Sri P. Ramlee, Normadiah, Yusof Latif dan Ibrahim Pendek, meninggalkan empat anak dan lapan cucu. Allahyarham pernah membintangi filem Panggilan Pulau, Bawang Putih Bawang Merah, Laila Majnun, Putus Sudah Kasih Sayang, Gurindam Jiwa, Hang Jebat dan Hati Batu. Sementara itu, Maria berkata, beliau amat merasai kehilangan Allahyarham kerana hubungan mereka sangat rapat sehingga Latifah memanggil dirinya sebagai 'sis' (kakak).

"Arwah manja dengan saya dan kami pernah berkongsi bilik semasa menghadiri festival filem di Kuala Lumpur pada 1961 dan berpeluang minum petang bersama perdana menteri pada masa itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj," katanya semasa ditemui Bernama. Maria yang bersyukur kerana sempat menziarahi Allahyarham di PPUKM pada Jumaat lepas, juga menyifatkan arwah sebagai seorang yang tidak pernah mengeluh dan tidak suka membebankan rakan meskipun berada dalam keadaan susah. Aziz pula berkata, kehilangan Latifah amat dirasai apatah lagi pemergian Allahyarham tidak sampai seminggu selepas rakan seangkatannya Allahyarham S. Shamsuddin meninggal dunia di Singapura.

"Arwah pendiam orangnya tapi saya gemar mengusik dan bergurau. Semasa tinggal di Jalan Ampas (Singapura), arwah menyewa bilik bersama seniwati Saadiah dan saya sering ke situ pada waktu petang untuk mengusiknya kerana dia tidak mudah ambil hati," katanya. Aziz menambah, hubungan mereka bertambah rapat selepas Latifah membantu beliau untuk berkahwin dengan isteri pertamanya Siti Rumia Ahmad yang secara kebetulan adalah rakan sekelas arwah di Kampung Baru di sini. Rosnani pula memberitahu, beliau terkilan kerana tidak sempat menunaikan hasrat Allahyarham mahu bercuti dan menikmati masakannya di Janda Baik, Pahang. - BERNAMA





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!