Damansara Assets Sdn Bhd, anak syarikat Johor Corporation (JCorp) akan membuka Taman Tema Angry Birds, di bandar raya ini menjelang Mei tahun depan. Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata pembangunan taman tema keluarga yang pertama di Asia Tenggara itu merupakan kerjasama dengan syarikat pengasas permainan Angry Birds, Rovio Entertainment Ltd, yang berpangkalan di Findland. "Taman tema tertutup seluas 26,000 kaki persegi itu terletak di tingkat tiga di dalam bangunan Johor Baharu City Centre (JBCC), yang dahulunya dikenali sebagai Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR)," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Damansara Assets Sdn Bhd dan Rovio Entertainment Ltd, di sini, hari ini.
Damansara Assets Sdn Bhd diwakili Pengarah Eksekutifnya Yusaini Sidek manakala Rovio Entertainment Ltd diwakili Ketua Pegawai Operasi Harri Koponen. Kamaruzzaman berkata pembukaan taman tema berkenaan bersesuaian dengan pusat beli belah yang akan dibangunkan di JBCC dan JCorp berbangga dengan persetujuan Rovio Entertainment untuk membangunkannya. "Watak-watak Angry Birds yang diperkenalkan di Finland kini dikenali di seluruh pelusuk dunia oleh pelbagai peringkat umur. Ini amat bersesuaian dengan kompleks JBCC yang dikunjungi pelbagai kelompok pelanggan tempatan dan luar," katanya.
Mengenai JBCC, beliau berkata pembangunan yang melibatkan kos RM500 juta dengan ruang seluas 405,000 kaki persegi itu akan meliputi pusat beli belah, dua menara bertingkat iaitu Menara KOMTAR yang diubahsuai dan Menara Johor Land yang baru dibina serta sebuah hotel bertaraf empat bintang. Beliau berkata JBCC akan mengembalikan semula KOMTAR sebagai mercu tanda ikonik di tengah pusat bandar raya Johor Baharu sekaligus menjadi syurga beli belah, gaya hidup dan hiburan. Katanya beberapa syarikat termasuk Metrojaya, Royal Selangor Pewter serta restoran Tony Roma's sudah bersetuju untuk beroperasi di situ dan laluan pejalan kaki dari JBCC terus ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, JB Sentral, Kompleks City Square dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor akan disediakan sebagai kemudahan akses orang ramai ke kompleks itu.
Sementara itu, Koponen berkata terdapat empat taman tema seumpama itu yang sudah beroperasi di Finland dan syarikat gembira dapat terlibat dalam pembangunan era baru pusat bandar Johor Baharu. Beliau berkata reka bentuk terperinci taman terbabit akan diumumkan tidak lama lagi yang akan merangkumi pusat aktiviti, jualan cenderamata, restoran dan bilik majlis. "Objektif kami adalah untuk memberi hiburan kepada peminat watak itu sama ada dewasa mahupun kanak-kanak untuk melakukan aktiviti interaktif bersama-sama keluarga," katanya. - Bernama
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment