Wednesday, August 21, 2013

Cerita terkini mengenai penyanyi alternatif, Abot yang kini seorang penulis novel


Cerita terkini mengenai penyanyi alternatif, Abot yang kini seorang penulis novel | SEKITAR tahun 1996, penyanyi Nurimah Muhammad atau popular dengan panggilan Abot merupakan antara insan seni yang telah memperkenalkan muzik alternatif dalam industri muzik tempatan. Mula mencipta nama menerusi album pertama iaitu Alternatif Buat Orang Timur pada tahun 1996, dia turut menerima jolokan Alanis Morissette Malaysia daripada para peminatnya. Bagaimanapun, setelah melahirkan tiga buah album selain Tak Tahu (1998) dan Sayang Pokpai (2001), kerjaya nyanyian penyanyi kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu kian suram. Hanya selepas 10 tahun kemudian, barulah penyanyi berkenaan muncul dengan sebuah album baharu berjudul My Happy Tree yang diterbitkan pada tahun 2011. Berkesempatan menemui penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Rindu dan Camar itu baru-baru ini, dia menyatakan tidak pernah meninggalkan bidang seni suara, meskipun jarang tampil dengan lagu-lagu baharu.

“Saya akui tidak terlalu aktif dalam bidang nyanyian kerana lebih banyak memberi tumpuan kepada melakukan kerja-kerja belakang tabir, seperti mengarah klip video. “Pada masa yang sama, saya turut menyambung pelajaran di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur dalam jurusan Diploma Penyiaran dan Filem,” jelasnya yang tampil bertudung sejak setahun lalu. Menurut Abot, dia juga sudah lama berjinak-jinak dalam bidang penulisan dan sehingga kini dia telah menghasilkan sebanyak lapan buah novel. Ujarnya, antara novel-novel yang telah dihasilkan olehnya setakat ini seperti Tinggal Jangan Lepaskan, Demi Cinta Khisa 1, Demi Cinta Khisa 2, Cinta Gonie, Cinta Dua Langit Senja 1, Cinta Dua Langit Senja 2, Cerdik Sivik dan My Happy Tree.“Sebenarnya sudah lama saya meminati dunia penulisan, termasuklah menghasilkan sendiri lagu-lagu yang saya nyanyi sebelum ini. Selain itu, saya cukup berminat menghasilkan skrip tetapi saya bermula dengan penulisan novel terlebih dahulu,” ujarnya.

Ditanya mengenai sekiranya ada mana-mana pihak yang berminat mengambil salah sebuah novelnya untuk diadaptasi menjadi drama atau filem memandangkan ia seperti menjadi satu trend sekarang ini, Abot memberitahu, sudah ada beberapa pihak yang menunjukkan minat. “Memang ada penerbit yang mahu memilih beberapa buah novel saya untuk dijadikan filem. “Namun, atas sebab-sebab tertentu ia hanya tergantung begitu sahaja tanpa ada sebarang tindakan lanjut. “Lagipun, saya pernah meletakkan syarat bahawa sekiranya ada penerbit mahu adaptasi novel saya menjadi filem, mereka perlu memilih saya untuk menjadi pengarah,” tegasnya.


Berduet 

Setelah kali terakhir menghasilkan album pada tahun 2011 menerusi My Happy Tree, kini Abot muncul pula dengan single baharu berjudul Hanya Dua Kalimah. Menariknya, lagu tersebut tidak menampilkannya seorang diri, sebaliknya dia berduet dengan penyanyi yang turut dikenali menerusi genre muzik alternatif iaitu Royce Saayan. “Untuk lagu Hanya Dua Kalimah ini kami mengetengahkan genre World Music dengan konsep lagu berunsur ketuhanan dan nasihat. Lagu ini dihasilkan oleh Royce, manakala saya pula menghasilkan liriknya. “Hanya Dua Kalimah sudah mula kami rakam sejak sebelum bulan puasa lagi dan selepas Aidilfitri ini kami akan turun padang untuk mempromosikannya di stesen-stesen radio tempatan,” jelasnya. Sementara itu, Royce pula menjelaskan, idea untuk kolaborasi bermula apabila Abot pernah membuat kenyataan ingin berduet dengannya kira-kira dua tahun lalu. “Selepas itu saya dan Abot berjumpa dalam sebuah majlis beberapa bulan lalu dan sempat membincangkan perkara mengenai duet kami berdua sehingga lahirlah single baharu ini,” -Kosmo





.

1 Penyokong CHELSEA:

JunAina on August 21, 2013 at 9:17 AM said...

Rindu nak dengaq suara dia.

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!