Kontroversi kematian bayi berusia 17 minggu | Seorang bayi berusia 17 minggu meninggal dunia gara-gara kelewatan sebuah ambulans untuk tiba di lokasi kecemasan akibat tersesat dan terpaksa mengisi minyak. Dalam kejadian pada 11 Mac lalu, ibu mangsa, Amy Carter menghubungi talian kecemasan 911 apabila bayinya, Bella Hellings mengalami serangan sawan dan berhenti bernafas di rumahnya di Thetford, Norfolk, timur England. Carter berkata, ambulans yang dihantar oleh Perkhidmatan Ambulans Timur England (EEAST) mengambil masa selama 26 minit untuk tiba di rumahnya, berbanding masa sepatutnya iaitu lapan minit.
Katanya, krew ambulans tersebut turut tersesat sebanyak beberapa kali ketika membawa anaknya ke Hospital West Suffolk di Bury St Edmunds. "Sebaik-baik tiba di hospital, doktor mendapati anak saya tidak bernafas hampir sejam dan disahkan meninggal dunia. "Saya juga kecewa dengan sikap paramedik yang tidak sensitif kerana bergurau tentang lutut ketika menurunkan anak saya. "Malah semasa perjalanan pulang ke rumah, mereka seolah-olah tiada perasaan terhadap kematian anak saya dan berbual tentang rancangan cuti hujung minggu," katanya.
Siasatan EEAST mendapati, sebuah ambulans berada lapan kilometer dari lokasi kejadian, namun tidak dihantar untuk membawa mangsa. Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan menetapkan, ambulans perlu tiba di lokasi kecemasan dalam tempoh lapan minit apabila melibatkan kes kritikal. Satu siasatan secara menyeluruh berhubung kematian Hellings akan diadakan pada bulan depan. - AGENSI
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment