Wednesday, October 2, 2013

Bahasa Melayu-Indonesia diangkat jadi bahasa dunia



Bahasa Melayu-Indonesia diangkat jadi bahasa dunia | Usaha mengangkat Bahasa Melayu-Indonesia sebagai bahasa dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia dan Indonesia. Inisiatif berkenaan, kata Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim boleh dijadikan usul oleh NGO berkenaan secara kerjasama antara kedua-dua kerajaan untuk dipanjangkan ke peringkat yang lebih tinggi. Bagaimanapun, Rais berkata, pada masa sama jawatankuasa istilah antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pusat Bahasa Indonesia perlu memainkan peranan untuk memastikan perkara itu menjadi kenyataan. Beliau optimis, Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia boleh menjadi bahasa dunia kerana bahasa berkenaan ditutur oleh lebih 300 juta penduduk di rantau ini.

"Kalau di Perancis, penduduknya tidak sampai 200 juta orang, tapi bahasa Perancis menjadi sebahagian daripada bahasa rasmi PBB, begitu juga Rusia, penduduknya hanya berjumlah 100 juta lebih, tapi bahasa merekapun mendapat perhatian sedemikian. "Kita Indonesia dan Malaysia bahasanya sama, cuma vokal a dan e yang membezakan, tapi bernyanyi dalam sebutan bahasa sama," katanya ketika ditemui selepas berucap pada forum Diaspora Indonesia kali kedua, di sini hari ini. Beliau turut mencadangkan badan seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) bersama rakyat di Indonesia termasuk universiti-universiti di Indonesia boleh memainkan peranan untuk menjuarai perjuangan mengangkat kedudukan Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia itu.

Ketika berucap pada forum itu pula, Rais berkata, inisiatif Indonesia menganjurkan diaspora merupakan langkah tepat bagi masa depan bangsa Nusantara. Ini kerana, jelas beliau, penduduknya dicantumkan melalui bahasa. "Kalau 240 juta orang Indonesia dan 30 juta orang Malaysia, Brunei serta beberapa wilayah seperti selatan Thailand, menjadikan 300 juta penutur Bahasa Indonesia-Bahasa Melayu, kenapa kita tak boleh jadi bahasa dunia di PBB," katanya. Sementara itu, Ketua Satu Gapena Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar yang ditemui pada forum itu menyambut baik gesaan Rais dan menganggapnya sebagai tepat kerana Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia kini berada di kedudukan kelima bahasa paling ramai dituturkan di dunia. - Utusan






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!