Mari tolong gadis ini cari bapa kandung untuk jadi wali di hari perkahwinannya bulan hadapan | Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinannya November depan merayu supaya bapa kandungnya dapat pulang untuk menjadi wali semasa majlis akad nikahnya nanti. Suzila Masrul, 20, dari Taman Hijrah, di sini, berkata, dia dan adik beradiknya yang lain tidak pernah berjumpa dengan bapa kandungnya, Masrul Mat Ros, 48, sejak 10 tahun lalu selepas berpisah dengan ibunya, Norma Saleemin, 46. Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari bapa kandungnya itu termasuk ke kampung asal bapanya di Kilometer 2, Jalan Kaki Bukit, Perlis. “Namun segalanya semakin buntu apabila kami gagal mengesan di mana ayah berada, apa yang mampu saya lakukan kini hanyalah solat hajat supaya ALLAH membuka pintu hati ayah untuk pulang menjadi wali.
“Kakak saya yang berkahwin pada 2011 sebelum ini terpaksa menggunakan wali hakim yang dilantik mahkamah syariah kerana gagal menjejaki ayah, kalau boleh kali ini biarlah ayah saya yang menjadi wali supaya dia dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai bapa kandung,” katanya kepada Sinar Harian, semalam, Suzila berkata, dia dan adik beradiknya yakin bapa mereka masih hidup malah tidak pernah membencinya walaupun meninggalkan mereka sejak sekian lama.
“Ibu saya ada berkahwin lain dan mendapat seorang anak lelaki tetapi dia tidak layak untuk jadi wali kerana berlainan bapa kandung. “Malah saya juga tidak mempunyai saudara lelaki sama ada bapa saudara atau sepupu lelaki dari sebelah bapa yang layak menjadi wali, jadi saya tidak ada pilihan lain selain cuba mencari bapa kandung untuk dijadikan wali atau menggunakan khidmat wali hakim atas kuasa mahkamah syariah. Katanya, bapa kandungnya perlu hadir ke Mahkamah Syariah Perlis di Kangar sebelum 23 Oktober 2013 sebelum mahkamah membuat keputusan untuk membenarkan wali hakim atau sebaliknya. -SH
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment