Wednesday, October 2, 2013

Pelakon cantik ini cipta sejarah tersendiri



Pelakon cantik ini cipta sejarah tersendiri | AKTRES cantik, Sandra Bullock mencipta sejarah tersendiri dalam industri perfileman Hollywood apabila menjadi individu pertama meraih anugerah lakonan terbaik dan terburuk pada tahun sama. Pada 2010, Bullock memenangi Anugerah Aktres Terbaik menerusi Anugerah Akademi ke-82 (Oscar) dalam filem The Blind Side dan Anugerah Aktres Terburuk dalam Anugerah Golden Raspberry ke-30 (Razzie) yang mengiktirafnya menerusi lakonan dalam filem komedi romantik, All About Steve. Menerusi filem itu, Bullock dan Bradley Cooper turut diiktiraf sebagai Pasangan Filem Terburuk. “Saya sungguh seronok hadir dan menerima anugerah. Saya sifatkan ia sebagai sesuatu yang sungguh seimbang dengan kemenangan saya di Razzie dan Oscar.

“Sudah pasti saya akan mempamerkan kedua-dua anugerah ini dalam almari perhiasan. "Cuma, kedudukan anugerah Razzie itu bawah sedikit daripada Oscar,” katanya sambil berseloroh. Kemenangan Bullock atau nama sebenarnya, Sandra Annette Bullock di Oscar mencipta satu momen terindah dalam diari seninya sebagai seorang aktres tersohor apatah lagi berjaya menewaskan pelakon veteran, Meryl Streep. Ternyata filem The Blind Side mengubah hidupnya secara total. Tidak dinafikan lagi, filem itu membawa tuah berlipat ganda kepada Bullock dan berjaya membuka mata ramai pihak terhadap kredibilitinya sebagai seorang aktres. Sebelum memenangi Oscar, Bullock telah membawa pulang dua anugerah berprestij iaitu Golden Globe dan Screen Actors Guild yang merupakan penentu kejayaannya di pentas Oscar.

Tidak cukup dengan itu, Bullock juga mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi aktres pertama memenangi Oscar menerusi filem yang mencatat kutipan melebihi AS$250 juta di Amerika Syarikat (AS) sahaja. Sebelum ini, tiada aktres yang berjaya mencipta kejayaan sebegitu kerana filem-pemenang sebelum ini biasanya kurang mendapat sambutan atau kutipannya akan melonjak naik selepas kemenangan. Cetus kontroversi bogel Ramai tidak tahu, perjalanan karier seni Bullock bukanlah semudah seperti dilihat hari ini. Dia gigih membina nama dengan membintangi filem seperti Love Potion No.9 (1992), Demolition Man (1993), The Vanishing (1993) dan Speed (1994).

Ia bukan sahaja tidak laris di pasaran tetapi turut mendapat kritikan pedas. Namun, semuanya berubah apabila dia membintangi filem Speed bersama aktor tampan, Keanu Reeves. Ia terus meletakkan namanya di persada kegemilangan. Seterusnya, aktres berusia 49 tahun ini lebih dikenali sebagai pelakon bergenre komedi romantis berikutan kekerapan berlakon dalam filem seperti Miss Congeniality (2000), While You Were Sleeping (1995), Forces of Nature (1999), The Proposal (2009), The Heat (2013) dan banyak lagi. Namun, Bullock meledak kontroversi apabila tampil berbogel menerusi filem komedi romantis, The Proposal. Walhal sebelum ini, sepanjang kerjayanya sebagai pelakon, dia tidak pernah berlakon bogel. Menurutnya, dia bersedia untuk berbogel dalam filem itu selepas membaca skrip dan berpuas hati bahawa adegan itu penting dalam filem tersebut.

Bullock juga memberitahu, dia sanggup melakukannya kerana mahu membantu The Proposal mendapat kutipan box-office. Hakikatnya, filem The Proposal yang ditayang di United Kingdom mendapat kutipan tiket lebih AS$34 juta (RM121.2 juta) pada tayangan pembukaan di AS. “Box-office sukakannya, saya akan berbogel dalam setiap filem lakonan saya selepas ini, walaupun ketika berusia 70 tahun,” katanya berseloroh. Watak saintis dalam Gravity Nama Bullock terus gah di persada dunia lakonan. Selepas membintangi filem aksi komedi, The Heat, Bullock kembali lagi ke persada seni dengan mempertaruhkan filem terbarunya, Gravity. Kali ini dia bergandingan bersama aktor berkarisma, George Clooney. Tampil berbeza kerana Gravity adalah sebuah filem pengembaraan angkasa arahan Alfonso Cuaron.

 Dalam Gravity memerlukan Bullock membawa watak sebagai seorang saintis bernama Dr Ryan Stone yang berpakaian lengkap dengan sut angkasa lepas. Demi menjayakan wataknya itu, dia terpaksa berlakon dengan gerak tubuh seperti penari. “Menari sangat membantu untuk persiapan watak itu. "Kami berlakon dalam tempo yang sangat perlahan dan mujur saya cepat belajar gerak-geri yang diperlukan untuk watak Dr Ryan Stone,” katanya. Sangat beruntung kerana dia mendapat bimbingan daripada jurulatih tariannya. Bukan itu saja, Bullock berkata, dia turut bekerja keras sebagai persiapan emosi dan fizikal bagi merealisasikan watak itu. “Saya mahu watak itu hilang aura kewanitaan dan keibuan dalam dirinya seiring perasaan kecewa selepas tragedi dialaminya di bumi sebelum berlepas ke angkasa. “Untuk persediaan fizikal saya berlatih di lokasi setiap hari termasuk mendukung anak saya yang berusia tiga tahun ke hulu hilir bagi mengekalkan bentuk badan diperlukan,” katanya. Gravity bakal bersiar pada 3 Oktober depan di pawagam seluruh Malaysia. -AP





.

1 Penyokong CHELSEA:

ana on October 2, 2013 at 5:29 PM said...

ade jugak anugerah terburuk...ehehe

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!