Tuesday, November 12, 2013

Isteri pertama dedah perkahwinan suami dengan isteri kedua diragui kerana sudah jatuh 7 talak


Isteri pertama dedah perkahwinan suami dengan isteri kedua diragui kerana sudah jatuh 7 talak  | Seorang wanita mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini untuk memfarakkan (membubarkan perkahwinan) suaminya dengan isteri kedua yang didakwanya telah diceraikan oleh lelaki itu dengan tujuh talak. Harlina Mohamed yang bertugas sebagai eksekutif sebuah syarikat swasta memfailkan permohonan tersebut kerana meragui status perkahwinan antara suaminya, Khairul Anim Modim dan Kamalita Kamaruddin yang didakwanya tidak sah mengikut hukum syarak. Berdasarkan afidavit permohonannya yang difailkan pada 17 Oktober lalu, Harlina, 47, turut mendakwa, perkahwinan pasangan itu telah diperoleh secara pemalsuan status bujang suaminya. Selain itu katanya, perkahwinan itu terbatal kerana telah berlaku talak ketiga secara dua kali antara Khairul Anim, 49, dan Kamalita, 46. '

'Saya percaya Kamalita tidak berkahwin lain atau diceraikan orang lain setelah suami saya menceraikannya (dengan) talak kali pertama,'' katanya. Menurut afidavit itu, Harlina telah membuat aduan di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada Disember tahun lalu mengenai status bujang suaminya yang telah mendapat kebenaran berkahwin kali ketiga dengan Kamalita. Suaminya kemudian telah hadir di pejabat tersebut pada Januari lalu dan mengakui telah bernikah dengan Kamalita pada Oktober 2009 di Songkhla, Thailand. Bekas pengurus itu juga mengaku bercerai talak satu, kali pertama dengan wanita yang bertugas sebagai penolong pengurus itu, Disember 2009 di pejabat peguam Zulkifli Yong Azmi & Co. dan perceraian itu telah didaftarkan di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla pada Februari 2010.

Khairul Anim turut mengaku telah melafazkan talak ketiga (kali pertama) terhadap Kamalita pada Oktober 2011 dan sekali lagi melafazkan talak ketiga (kali kedua) terhadap wanita itu pada Julai tahun lalu, kedua-duanya di pejabat peguam yang sama. Lelaki itu juga mengaku telah bernikah kali ketiga dengan wanita itu di Puchong dekat sini pada Oktober tahun lalu dengan mendapat kebenaran berkahwin dari Pejabat Agama Islam Daerah Petaling melalui pemalsuan status bujang. Harlina yang dikurniakan tiga anak berusia dalam lingkungan 13 tahun hingga 22 tahun melalui perkahwinan dengan Khairul Anim mendakwa, suaminya gagal memberi nafkah kepada dia dan anak-anaknya setelah pernikahan tersebut. Malah dakwanya, pada April lalu suaminya telah melanggarnya dengan kereta sehingga mengalami kecederaan dan laporan polis telah dibuat.

Wanita itu juga mendakwa pernikahan itu berlaku tanpa pengetahuannya justeru dia memfailkan permohonan itu demi kemaslahatan keluarganya. Menurut Harlina, suaminya telah mengabaikan kesejahteraan keluarganya antaranya tidak membayar sewa dan bil bulanan sehingga menyebabkan keluarganya mengalami tekanan mental. Sementara itu, peguam syarie, Azmi Tan Sri Dr. Mohd. Rais yang mewakili Harlina, memohon mahkamah mengeluarkan notis amaran terhadap Khairul Anim dan Kamalita yang tidak hadir pada prosiding kes itu hari ini. Hakim Syarie, Mohamed Adib Husain membenarkan permohonan itu dan kemudian menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes itu. -SH




.

1 Penyokong CHELSEA:

Solehatun Husna on November 12, 2013 at 12:27 PM said...

serius ke ni ?? kawin pun boleh buat memain ekk ?? dah makin takda moral..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!