Tuesday, November 12, 2013

Lelaki bertarung nyawa selepas dibelasah dengan 15 orang di Sandakan


Lelaki bertarung nyawa selepas dibelasah dengan 15 orang di Sandakan | Seorang lelaki kini terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Duchess Of Kent (HDOK) selepas dibelasah kira-kira 15 lelaki menggunakan tali pinggang dan botol dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Bandar Indah, di sini, kelmarin. Mangsa Mohammad Ravi Mansor, 20, ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri di kaki lima hadapan sebuah premis makanan di Bandar Indah oleh orang awam kira-kira jam 3.30 pagi sebelum dihantar ke HDOK untuk menerima rawatan. Dalam kejadian itu juga dua rakan mangsa berusia dalam lingkungan 20-an turut cedera di kaki dan kepala dipercayai dipukul kumpulan suspek yang sama. Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa bersama enam rakannya pergi berhibur di sebuah pusat hiburan sehingga jam 3 pagi.

“Selepas itu, mangsa bersama rakannya beredar dari pusat hiburan berkenaan dan ketika dalam perjalanan menuju ke kereta tiba-tiba sekumpulan lelaki mengejar mereka dengan bersenjata tali pinggang dan botol kaca. “Berikutan kejadian itu, mangsa bersama enam rakannya bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya, semalam. Sumber itu berkata, kira-kira 30 minit kemudian mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di kaki lima di hadapan premis makanan di kawasan berkenaan oleh orang awam. “Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans jam 3.58 pagi untuk menerima rawatan lanjut. “Akibat kejadian itu, mangsa kini dalam keadaan kritikal kerana kecederaan di kiri kepala dipercayai dipukul dengan menggunakan objek keras,” katanya.

Menurut sumber itu, selain mangsa, dua lagi rakannya turut mengalami kecederaan masing-masing di kaki dan kepala dipercayai dipukul suspek sama. Difahamkan, bilangan suspek yang memukul mangsa belum diketahui, namun seorang daripada rakan mangsa mendakwa melihat kira-kira 15 lelaki tidak dikenali di sekitar kawasan kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan masih dijalankan bagi mengesan suspek. “Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta tiada sebarang senjata ditemui,” katanya. -HM




.

1 Penyokong CHELSEA:

Unknown on November 12, 2013 at 10:18 AM said...

Lulu :) Jemput :)

UNDANGAN MAJLIS PERKAHWINAN NURSHAKIRA & HAMDAN

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!