Ayuh sambut tahun 2014 dengan aktiviti keagamaan | Tokoh-tokoh agama Indonesia mengajak seluruh rakyat negara ini mengisi malam Tahun Baharu 2014 dengan aktiviti keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing, sekali gus menghindarkan diri daripada kegiatan hiburan yang tidak bermanfaat. Bagi Ketua Forum Ulama Umat Indonesia (FUUI), Athian Ali M Da'I, umat Islam negara ini seharusnya mengisi kedatangan Tahun Baharu 2014 dengan aktiviti agama bagi membolehkan mereka menilai semula kelemahan dan kekurangan diri. "Sudah tiba masanya kita meraikan kedatangan tahun baharu di masjid atau tempat umum yang jauh daripada huru-hara," katanya seperti dilaporkan akhbar Republika hari ini.
Menurutnya, sebilangan besar umat Islam sering tersalah langkah dalam menyambut ketibaan tahun baharu dengan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti berpesta dan mengambil minuman keras. Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Kota Samarinda, Zaini Naim pula berkata, sambutan tahun baharu perlu dilakukan secara sederhana dan jika perlu boleh diadakan di tempat-tempat ibadah atau di rumah.
Setiausaha Eksekutif Persidangan Wali Gereja Indonesia, Romo Benny Susatyo berharap, anak-anak muda Indonesia tidak berpesta di malam tahun baharu, sebaliknya lebih prihatin dengan keadaan bangsa Indonesia. Menjelang Tahun Baru 2014 esok, pelbagai aktiviti keagamaan diadakan di Indonesia termasuk acara Zikir Nasional yang akan diadakan di Masjid Agung At-Tiin, Taman Mini Indonesia Indah di Jakarta Timur. Di Medan, Sumatera pula, majlis bacaan doa, zikir serta sumbangan kepada 1,000 anak yatim akan diadakan, manakala bacaan al-Quran secara oleh qari tempatan dan antarabangsa akan diadakan di Masjid Syuhada, Yogyakarta. - Utusan
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment