Monday, December 9, 2013

Gambar sisa tinggalan Tembok Berlin yang menjadi bahan pameran di seluruh dunia


Gambar sisa tinggalan Tembok Berlin yang menjadi bahan pameran di seluruh dunia | SELEPAS Tembok Berlin dirobohkan bermula tahun 1990 hingga 1992, hanya sebahagian kecil struktur pemisah antara Jerman Timur dengan Jerman Barat itu kekal berada di lokasi asalnya. Apa yang tinggal kini hanyalah bahagian tembok sepanjang 1.3 kilometer di East Side Gallery, di Muhlenstrasse yang menjadi simbol kebebasan antarabangsa. Tembok konkrit sepanjang 156.4 kilometer yang tersergam sejak tahun 1961 sehingga 1989 itu, dibina oleh pemimpin Jerman Timur bertujuan bagi menghentikan penghijrahan besar-besaran tenaga kerja muda ke Jerman Barat.

Berdasarkan buku Berlin Wall Story nukilan Hans-Hermann Hertle, selepas berlakunya penggabungan di antara dua bahagian Jerman pada 3 Oktober 1990, arahan merobohkan tembok berkenaan dikeluarkan. Sebanyak 65 buah kren, 175 buah lori dan 13 buah jentolak dikerah bagi memecahkan tembok itu yang berada di dalam bandar pada tahun 1990 dan di bahagian luar bandar pada tahun 1992. Lebih daripada 40,000 bahagian tembok itu dipecahkan untuk dijadikan bahan binaan jalan raya, namun terdapat juga beberapa bahagian yang tidak dirobohkan oleh pihak berkuasa. Ada di antara sisa runtuhan tembok itu dilelong sebagai bahan seni dan tidak kurang juga didermakan kepada muzium atau beberapa institusi di seluruh dunia seperti yang terdapat di Muzium Perang Imperial di London dan Perpustakaan Presiden Ronald Reagan di California.


Namun, pernahkah anda terfikir ke manakah sebahagian lagi sisa runtuhan tembok itu dibawa? Pasti ramai tidak menyangka ada di antara bahagian tembok tersebut kini dijadikan dinding sebuah tandas lelaki di Main Street Station Casino di Las Vegas. Struktur tiga meter lebar dan 1.8 meter tinggi itu kini, menempatkan tiga tempat pembuangan air kecil dengan dindingnya dilindungi dengan kaca. Selain itu, kira-kira 20 bahagian sisa runtuhan Tembok Berlin turut dijadikan sebagai bahan perhiasan sebuah syarikat penyiaran Argentina iaitu Perfil Group di Buenos Aires. Syarikat berkenaan dalam laman webnya menyatakan, pihaknya menyimpan artifak bersejarah itu kerana signifikannya kepada kebebasan. Sisa runtuhan berkenaan turut terdapat di hadapan Bangunan Variety di Wilshire Boulevard di Los Angeles.

Sepuluh bahagian runtuhan tembok yang disusun di kawasan lapang di situ juga, merupakan struktur terpanjang Tembok Berlin yang berada di Amerika Syarikat. Muzium Wende sebuah institut penyelidikan dan pendidikan yang memelihara artifak dan bahan sejarah Perang Dingin, membawa sisa-sisa runtuhan itu ke Wilshire Boulevard pada tahun 2009 dengan bantuan daripada kerajaan Jerman dan pihak berkuasa Los Angeles sebagai sebahagian daripada 'Projek Wall'. Selain itu, dua bahagian sisa runtuhan Tembok Berlin turut dijadikan daya tarikan oleh Hotel Anatole di Dallas yang memiliki 1,606 bilik. Hotel Anatole turut mempamerkan koleksi seni di semua 27 tingkat bangunannya. Sisa tinggalan tembok tersebut diberikan kepada hotel itu pada tahun 1990 oleh seorang rakan kongsi hotel berkenaan.


Sebahagian runtuhan tembok itu juga boleh dilihat berhampiran Sungai Cheonggyecheon di Seoul sejak ia dibawa pada 2005. Menurut Korea Times, struktur 3.5 meter tinggi dan tiga meter lebar itu mempunyai grafiti di sebelah bahagian sementara kosong di bahagian belakangnya. Taman Tema Parque Europa di Madrid, Sepanyol yang memaparkan kebanyakan monumen terkenal Eropah, turut mempamerkan satu bahagian Tembok Berlin yang menjadi sebahagian daripada daya tarikannya. Selain lokasi-lokasi dinyatakan, sisa tinggalan Tembok Berlin juga boleh dilihat di kampung Schengen, tenggara Luxembourg; Vatican Gardens, Vatican City; Madison Avenue, New York City; dan Western Station, Brown Line, Chicago. - AGENSI





.

1 Penyokong CHELSEA:

mselim3 on December 9, 2013 at 5:39 PM said...

Assalammualaikum,..lulu,

menarik lah artikel nie..

mselim3

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!