Saturday, February 16, 2013

Inilah sambutan Maulidur Rasul paling aneh


Beratus-ratus penduduk Kampung Kedungsuren, mukim Kaliwungu Selatan di sini mengadakan perarakan mimbar yang ditampal dengan wang mengelilingi kampung itu, baru-baru ini. Menariknya, mimbar tersebut dihias dengan wang bernilai ribuan ringgit yang diperolehi daripada penderma. Malah, wang bernilai dari 2,000 rupiah (RM0.64) hingga 100,000 rupiah (RM32) yang didermakan orang ramai ditampal di sekeliling mimbar. OKEJOGJA melaporkan, jumlah keseluruhan wang yang ditampal pada tahun ini berjumlah 5 juta rupiah (RM1,601), lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.

Mimbar itu kemudian dibawa mengelilingi dua timbunan berbentuk kon yang berisi ikan keli bersaiz besar dan pelbagai buah-buahan. Perarakan itu bermula dari Pondok Pesantren Raudhatul Jinan diketuai oleh ketua kampung dan penjaga mimbar yang menunggang kuda. Sebelum perarakan itu dimulakan, penjaga mimbar, Kiai Musyafak membaca doa supaya penduduk diberikan keselamatan dan berkat serta murah rezeki.

Musyafak berkata, tradisi itu telah menjadi agenda tahunan kampung itu setiap kali menjelangnya sambutan Maulidur Rasul. Katanya, penggunaan mimbar khutbah adalah sebagai melambangkan tempat menyampaikan ajaran Islam dan duit yang disedekahkan menggambarkan wang yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang berhak. Perarakan itu mendapat sambutan hangat penduduk kerana di sepanjang perjalanan, wang yang ditampal di mimbar akan diberikan kepada orang miskin sementara makanan akan dimakan bersama-sama. - AGENSI





.

Gambar menyayat hati ini memenangi anugerah tahunan dalam Anugerah Foto Media Dunia 2012


Jurugambar warga Sweden, Paul Hansen memenangi anugerah tahunan dalam Anugerah Foto Media Dunia 2012 bagi akhbar Dagens Nyheter kerana sekeping gambar dua kanak-kanak warga Palestin yang terbunuh dalam satu serangan bedilan Israel sedang dibawa untuk pengebumian. Gambar itu menunjukkan sekumpulan lelaki sedang berarak membawa mayat kedua-dua kanak-kanak melalui lorong yang sempit di bandar Gaza.

Mangsa itu merupakan pasangan adik-beradik, yang ditutupi dengan kain putih yang hanya menunjukkan wajah mereka. Ahli juri Mayu Mohanna dari Peru berkata, kekuatan gambar itu adalah “keadaan mengenai perbandingan antara kemarahan dan kesedihan golongan dewasa dengan kanak-kanak yang tidak berdosa”. Foto Media Dunia, merupakan salah satu pertandingan foto kewartawanan paling berprestij dan pada Jumaat ia menyenaraikan sembilan kategori melibatkan pencalonan 54 jurugambar dari 32 negara. - AP






.

Gambar -Gambar Tahi Bintang Yang Jatuh Di Rusia (6 Gambar)


Serpihan tahi bintang meletup dan jatuh di tengah Rusia sehingga mencetuskan panik apabila ia mengakibatkan gegaran yang menyebabkan tingkap pecah dan lebih 400 orang cedera.


Keadaan itu menyebabkan trafik tergendala di bandar Chelyabinsk apabila sebahagian tahi bintang yang jatuh terbakar di paras rendah atmosfera di bandar itu.


Menteri dalam negeri berkata, lebih 250 orang cedera, tiga daripada mereka cedera parah, apabila gegaran gelombang itu tercetus di Chelyabinsk dan beberapa bandar yang lain. Kementerian kecemasan berkata, komunikasi mudah alih dihentikan sementara.


“Pada pukul 9.20 pagi (waktu Rusia), sebuah objek dilihat di atas Chelyabinsk di mana ia terbang dengan kelajuan yang tinggi dan meninggalkan kepulan asap di belakangnya.


Dalam masa dua minit, terdapat dua letupan,” kata pegawai kecemasan, Yuri Burenko dalam satu kenyataan.


 “Gelombang itu memecahkan tingkap dan kaca di Chelyabinsk dan beberapa bandar lagi di kawasan itu,” katanya.-AP







.

Pembantu rumah lambung anak majikan


Polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia didakwa melambung anak majikannya berusia empat bulan sehingga cedera di tangan dan kaki di Bukit Setongkol di sini, hari ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa kepada bayi lelaki itu pada jam 9.13 pagi tadi sebelum bertindak menahan suspek yang berusia 24 tahun.

Katanya, menurut peniaga terbabit, dalam kejadian jam 7.45 pagi tadi dia terkejut apabila melihat aksi pembantu rumahnya itu bertindak melambung bayinya di ruang tamu rumah melalui rakaman kamera litar tertutup di dalam komputer ribanya semasa minum pagi di sebuah restoran di sini. "Bapa bayi malang itu kemudiannya bertindak membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan," katanya.-BH




P/S - Gambar sekadar hiasan





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!