Tuesday, April 2, 2013

Demi kekal cantik, Kim Kardashian sanggup tahan sakit


Demi mengekalkan kecantikannya, Kim Kardashian berkunjung ke klinik kulit pakar untuk mencuba teknik rawatan wajah terbaru yang dikenali sebagai "rawatan wajah pontianak" seperti yang dilihat di episod terbaru "Kourtney and Kim Take Miami". Teman wanita kepada Kanye West yang sedang hamil itu juga memuat turun gambar wajahnya yang dioles dengan darah di laman Instagramnya. Walaupun kelihatan pelik dan ngeri, namun rawatan sedemikian dipercayai boleh membantu mengurangkan kedutan serta memperbaiki tona warna dan tekstur kulit.


Cara rawatan dilakukan adalah dengan menggunakan darah sendiri yang mana plasma kaya dengan protein akan diasingkan dari darah dan disuntik semula ke bahagian wajah yang memerlukannya untuk mempermudakan bahagian yang mengalami noda. Rawatan sedemikian sememangnya sakit seperti yang diakui oleh Kardashian sendiri. Walaubagaimanapun, kesakitan tersebut ternyata berbaloi kerana ianya memberikan hasil kulit wajah yang lebih muda dan tegang di samping berupaya mengurangkan kedutan di dahi dan sekitar bahagian mulut. -AP





.

Panas : Trend terbaru yang menjadi ikutan di Amerika Syarikat



Kini, bibir yang tebal bukan lagi menjadi ikutan di kalangan wanita Amerika Syarikat. Sebaliknya, kebanyakan daripada mereka yang melakukan pembedahan plastik inginkan bentuk dagu yang lebih cantik untuk menambah baik paras rupa wajah. Pada tahun lepas sahaja, Persatuan Pembedahan Plastik Amerika Syarikat melaporkan bahawa populariti pembedahan dagu, atau nama popularnya 'chinplant' telah meningkat dengan mendadak iaitu sebanyak 71% berbanding dengan pembedahan plastik untuk bahagian badan yang lain seperti bibir, punggung dan dada. Apakah faktor di sebalik permintaan tinggi terhadap pembedahan sedemikian? Secara tradisinya, dagu yang lebih runcing dilihat sebagai simbol kekuatan dan kejayaan.

Dilihat pada zaman sekarang pula, ramai yang inginkan dagu sebegitu untuk memberikan bentuk wajah yang lebih bersimetri,di samping membuatkan mereka nampak lebih menarik di hadapan kamera. Dagu selebriti yang dianggap sempurna adalah seperti Keira Knightley, Angelina Jolie, Halle Berry dan Jennifer Lopez yang mana ramai yang membuat pembedahan dagu inginkan rupa bentuk dagu seperti mereka.

Dr. David Rapaport, seorang pakar bedah dari New York juga menjelaskan bahawa dagu yang berlemak dan mengendur menyebabkan wajah kelihatan lebih tua, seperti yang boleh dilihat pada ramai wanita. Antara personaliti terkenal yang telah menjalani prosedur 'chinplant' termasuklah bintang rancangan televisyen seperti Vicki Gunvalson dan Heidi Montag serta anak sulung kepada Sarah Palin yang bernama Bristol. -YM

Izzue Islam yang sangat merendah diri


Pelakon dan penyanyi Izzue Islam tidak pernah menaikkan bayaran kepada mana-mana syarikat produksi yang ingin mengambilnya berlakon selepas dia dipilih sebagai Pelakon Harapan Lelaki, Festival Filem Malaysia 25 (FFM 25) pda 2 Mac lalu. Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, dia sangat terbuka mengenai perkara itu dan menyerahkan soal bayaran kepada pihak produksi mengikut bajet mereka. "Memenangi anugerah adalah satu pencapaian tetapi harus saya akui pembabitan saya masih baru dalam industri lakonan dan masih banyak perkara yang perlu dipelajari. "Saya tidak meletakkan sebarang harga tertentu selepas memenangi anugerah di FFM dan membiarkan pihak produksi membuat sebut harga mengikut bajet mereka dan setakat ini saya berpuas hati dengan bayaran yang diberikan," jelasnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Izzue mengakui kerjaya lakonannya semakin meningkat dari segi tawaran berlakon untuk filem dan drama sejak memenangi anugerah berkenaan menerusi filem 29 Februari. Jelas Izzue, sehingga penghujung bulan Julai depan jadualnya sudah penuh dengan pelbagai projek dan bersyukur dengan rezeki yang diperolehnya. "Syukur tahun ini rezeki cukup murah dan sebagai pelakon baru saya mengambil peluang yang diberikan untuk terus memperbaiki diri dan mendalami selok-belok dunia lakonan," katanya. Sementara itu, Izzue memberitahu komitmennya dengan kumpulan Forteen masih berjalan seperti biasa dan tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan kumpulan tersebut.


Malah kata Izzue, ahli kumpulan lain sentiasa menyokongnya dan tidak pernah wujud sebarang masalah di antara mereka ekoran dia lebih menonjol sebagai pelakon. "Kami sentiasa menyokong di antara satu sama lain cuma ada segelintir pihak yang sering mengatakan kami mempunyai masalah dan aktiviti nyanyian akan berjalan seperti biasa bersama Forteen walaupun saya sibuk sebagai pelakon," ujarnya. Tambah Izzue, Forteen bakal melancarkan single terbaharu mereka berjudul Kita dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Izzue sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri adaptasi daripada sebuah novel berjudul Sebenarnya Saya Isteri Dia untuk siaran TV3. Manakala drama Bunga Merah Punya yang diarahkan oleh Zul Huzaimy lakonannya sedang disiarkan menerusi slot Aurora pada setiap Khamis, pukul 8.30 malam di TV9. Selain Izzue, drama bersiri 13 episod turut menampilkan Sharifah Sakinah, Sura Sojangi, Syazwan Zulkifli, Nasir Bilal Khan dan Hasnul Rahmat. -Mstar






.

Minnie Mouse kini berwajah baru..


Kebanyakan daripada kita sudah pasti biasa melihatnya memakai pakaian berwarna merah dengan corak tompok putih yang ikonik. Kini, Minnie Mouse sudah menjadi lebih bergaya dengan memakai baju yang direka khas oleh pereka fesyen jenama Lanvin, iaitu Alber Elbaz. Gaun biru yang berlengan panjang dan dihiasi dengan batu permata ini sememangnya memberikan gaya yang luar biasa kepada teman wanita Mickey, malah membuatkannya kelihatan hebat sekali! Sebagai menyambut malam ulang tahun ke-20 taman Disneyland di Paris, Minnie turut menggantikan reben merahnya yang terkenal dengan tiara merah pada malam istimewa itu.

"Semenjak dari dulu lagi, pakaian Minnie direka oleh Walt Disney sendiri. Tetapi sekarang adalah kali yang pertama seorang pereka fesyen mereka pakaian untuknya," kata Alber Elbaz. Seperti yang dinyatakan oleh pereka fesyen itu juga, warna biru merupakan warna khas dari jenama Lanvin. "Rekaan pakaian ini merupakan sebuah cabaran dan tanggungjawab besar yang perlu dilakukan dan saya mahu Minnie kelihatan lebih menonjol!" -AP





.

INFO : Ketahui mitos atau fakta tentang rambut anda



Pasti anda pernah mendengar bahawa ramai bercakap jangan mengikat rambut ketika rambut basah kerana takut nanti akan berbuah. Tanpa usul periksa, anda terus menganggap apa yang dikatakannya itu fakta. Tetapi anda perlu tahu bahawa tidak semua informasi itu benar. Jadi di sini kami inginkan kongsikan yang mana fakta dan yang mana satu mitos.


Perapi rambut boleh memperbaiki rambut bercabang

MITOS - Tidak kiralah seberapa banyak iklan perapi yang mengaku boleh memperbaiki rambut bercabang, kenyataannya tidak sedemikian. Perapi sememangnya boleh memperbaiki rambut bercabang, namun hujung rambut yang telah bercabang tetap ada. Cara untuk menyingkirkan hujung rambut bercabang adalah memotongnya secara teratur setiap empat hingga enam minggu.


Jangan tidur dengan rambut basah kerana kurap akan tumbuh

MITOS - Anda sebenarnya boleh tidur dengan rambut basah tanpa risau kurap atau bakteria akan tumbuh di kulit kepala. Kulit kepala tidak akan didatangi kurap atau sebarang bakteria sekiranya anda rajin merawat dan menjaga kulit kepala agar sentiasa bersih.


Rambut akan tumbuh lebat dengan bersikat 100 kali sehari

MITOS - Fikirkan semula tentang perkara ini. Bagaimana hanya dengan bersikat rambut 100 kali sehari boleh menumbuhkan rambut? Bersikat secara berlebihan sebenarnya boleh merosakkan kulit kepala, apa lagi jika kamu menggunakan sikat yang salah.


Berkongsi sikat boleh menyebarkan penyakit

FAKTA - Setiap orang harus punya sikatnya tersendiri. Sejumlah parasit seperti kutu boleh hidup pada sikat dan ia dengan mudah akan menular dari satu kepala ke kepala yang lain.


Lebih banyak bersyampu membuatkan rambut akan lebih bersih

MITOS - Tidak kisahlah seberapa banyak syampu yang anda gunakan, asalkan ia telah membersihkan keseluruhan rambut hasilnya akan sama sahaja. Jangan membazir syampu dan gunakanlah dengan jumlah yang secukupnya.


Makanan mempengaruhi kualiti dan kesihatan rambut

FAKTA - Apa yang anda makan memiliki kesan terhadap kualiti dan kesihatan rambut. Pola makan yang seimbang ditambah pula dengan suplemen multivitamin akan membuatkan rambut anda tumbuh lebih sihat dan bersinar.


Mengikat rambut dengan tegang dan ketat boleh menyebabkan kebotakan

FAKTA - Mengikat rambut tegang atau tertarik boleh menyebabkan Alopecia. Situasi ini terjadi apabila anda sering mengikat rambut secara ketat tanpa membiarkan rambut berehat. Alopecia memang boleh mengakibatkan kebotakan.






.

Kewujudan kejadian pelik di Pontian


Seorang pekebun terkejut apabila nangka madu yang ditanam berhampiran rumahnya di Pekan Kayu Ara Pasong, Pontian, berbentuk seakan-akan ibu yang sedang mendukung anak. Abdul Hamid Sargidon, 70, berkata, dia menanam benih nangka madu itu beberapa tahun lalu dan hanya menyedari pokok itu mula mengeluarkan buah pada minggu lalu. “Saya nampak pokok nangka madu itu mula berbuah dan buahnya hanya sebiji di batang pokok. “Saya dan isteri kemudiannya membersihkan kawasan sekitar pokok yang dipenuhi dengan lalang dan dahan pokok pelam yang terletak di sebelahnya beberapa hari lalu,” katanya. Jelasnya, selepas dibersihkan, dia dan isteri amat terkejut apabila mendapati nangka madu itu mempunyai bentuk seakan seorang ibu yang mendukung anaknya.

“Saya dan isteri terfikir bentuk nangka seolah-olah melambangkan kami yang mempunyai sebuah keluarga besar iaitu anak seramai enam orang dengan 17 cucu serta seorang cicit yang masih kecil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. Katanya, kejadian pelik itu pertama kali dialami sepanjang penglibatannya dalam bidang pertanian dan tidak pernah melihatnya di tempat lain. “Saya akan terus biarkannya membesar dan jaga pokok nangka madu ini dengan sebaiknya,” katanya. Kewujudan nangka pelik itu turut menyebabkan rumahnya menjadi tumpuan penduduk sekitar yang mahu melihat sendiri buah tersebut. -SH





.

Siapa 'penjaga' Baitulmaqdis?



Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam menandatangani satu perjanjian dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II bagi mengiktiraf peranan Jordan sebagai 'penjaga' Baitulmaqdis. Kedua-dua pihak menegaskan tentang 'matlamat bersama untuk mempertahankan Baitulmaqdis' dan kawasan sekitarnya terhadap sebarang cubaan untuk menyebarkan agama Yahudi, terutamanya di kawasan Masjid Al-Aqsa. "Dalam perjanjian bersejarah ini, Abbas menegaskan bahawa Raja Jordan merupakan penjaga Baitulmaqdis dan baginda berhak menggunakan tindakan undang-undang bagi memeliharanya (Baitulmaqdis) terutama Masjid Al-Aqsa.

"Ia juga menekankan tentang prinsip-prinsip bersejarah yang dipersetujui oleh Jordan dan Palestin bagi mengerahkan usaha sama untuk melindungi bandar dan kawasan suci itu daripada usaha menyebarkan fahaman Yahudi,'' kata Istana Jordan dalam satu kenyataan. Perjanjian itu mengesahkan peranan Jordan sejak era Raja Hussein, kata Abbas seperti yang dipetik dalam kenyataan tersebut. "Ia mengukuhkan lagi apa yang telah diwujudkan oleh kedua-dua belah pihak sejak berdekad-dekad lalu,'' kata kenyataan itu.

Kawasan sekitar Al-Aqsa yang dikenali masyarakat Islam sebagai Al-Haram Al-Sharif merupakan tanah suci ketiga Islam selepas Mekah dan Madinah di Arab Saudi, tempat yang turut menempatkan Masjid Al-Aqsa. Bagaimanapun, kawasan itu turut menjadi tempat untuk penduduk Yahudi beribadat dan turut dianggap sebagai kawasan suci mereka, sekali gus menjadi kawasan paling sensitif di Baitulmaqdis kerana pertempuran sering berlaku di situ antara penduduk Palestin dan tentera Israel. - AFP






.

Yana Samsudin dirisik? Siapakah gerangannya??



Desas-desus percintaan pelakon Yana Samsudin dengan adik kepada pelakon dan pengarah filem Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari mungkin benar apabila wanita itu mengesahkan bintang baru tersebut telah mengunjungi keluarganya di Johor. Yana, 29, berkata Fadzil juga antara individu yang rajin untuk menemaninya ke mana-mana sahaja jika tiada halangan. "Boleh dikatakan dia adalah lelaki yang rapat dengan saya selepas saya putus cinta dulu iaitu sejak tiga tahun lalu. "Kami kenal sudah lama, saya rapat dengan keluarga dia dan dia juga beberapa kali ke singgah ke rumah saya di Johor jika ada kerja di sana," katanya ketika ditemui di majlis Pesta Berlian Habib Jewel, di sini, Isnin. Yana diminta mengulas khabar angin hubungan cintanya dengan pelakon Fadzil Zahari yang semakin heboh diperkatakan orang.


Bagaimanapun, jelas Yana, hubungan tersebut hanya sekadar teman rapat dan tidak lebih dari itu. "Kami hanya kawan dan dia memang rajin menemani saya ke majlis-majlis jika tiada apa-apa halangan. Saya ajak dia teman kerana saya tidak suka jalan sendiri sejak dari dahulu," ujarnya. Sementara itu, Yana berkata, dia mula rapat dengan Fadzil sejak dikenalkan oleh Farid. Malah Yana mengakui dia turut rapat dengan keluarga pelakon tersebut. Dalam perkembangan lain, pelakon filem Aku Ada Kau Ada ini bakal keluar dengan filem terbaharunya berjudul Dua Kalimah dan Adnan Sempit 3 pada pertengahan tahun ini. -Mstar





.

Tarikh rasmi parlimen dibubarkan dan amalan rasmi sebelum pembubaran dibuat



Parlimen dijangka dibubarkan seawal esok selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan. Ini berikutan pengedaran surat daripada Jabatan Perdana Menteri meminta semua Ahli Jemaah Menteri hadir pada mesyuarat itu lengkap berpakaian lounge suit berwarna gelap dan bertali leher berwarna merah untuk sesi bergambar.


jika Parlimen dibubar esok, SPR akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi” Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR 

Mengikut amalan sebelum ini, Ahli Jemaah Menteri akan bergambar bersama Perdana Menteri dan timbalannya pada mesyuarat terakhir Kabinet sebelum pengumuman pembubaran Parlimen selepas mesyuarat. Difahamkan sesi bergambar diadakan sebelum mesyuarat Kabinet esok dan Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang media bagi mengumumkan pembubaran Parlimen selepas itu. Mengikut kelaziman, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen. Beberapa Menteri yang dihubungi mengesahkan menerima surat itu dan tidak menolak kemungkinan Najib mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat Kabinet esok seperti kelaziman sebelum ini.


Tempoh 60 hari adakan PRU-13 

“Saya sudah menerima surat dan mungkin ini adalah mesyuarat Kabinet terakhir penggal ini kerana mengikut tradisi Perdana Menteri sebelum ini, Parlimen dibubarkan selepas itu,” kata seorang Menteri kepada BH semalam. Jika Parlimen dibubarkan esok, ia genap empat tahun Najib menerajui negara selepas dilantik menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009. Tempoh satu penggal atau lima tahun Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) akan berakhir pada 30 April ini dan Parlimen akan terbubar secara sendiri jika tidak dibubarkan sebelum tarikh itu. Selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari sehingga selewat-lewatnya bulan Jun untuk mengadakan PRU-13 bagi membentuk kerajaan baru.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menjadi negeri pertama terbubar secara automatik pada Khamis lalu dan kini ditadbir kerajaan sementara yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Sementara itu Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata jika Parlimen dibubarkan esok SPR akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk menetapkan beberapa perkara dasar seperti daftar pemilih, watikah kepada pegawai SPR, tarikh penamaan calon tarikh mengundi. -BH






.

Rumah Erra Fazira cuba dipecah masuk



Rumah pelakon terkenal, Erra Fazira atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chik, 38, di Seksyen 20, Damansara dekat sini cuba dipecah masuk hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, suspek yang menaiki kereta Honda berwarna putih dikatakan memasuki kawasan rumah pelakon terbabit melalui pagar hadapan. Bagaimanapun jiran kepada pelakon filem Maria Mariana itu, yang curiga dengan kehadiran suspek, segera menghubungi pihak polis. "Suspek yang tidak sempat masuk ke dalam rumah, bergegas melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak polis," kata sumber polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu. Beliau berkata, pihaknya masih memburu suspek terbabit bagi membantu siasatan. Arjunaidi turut memuji tindakan pantas jiran terbabit yang segera melaporkan kejadian mencurigakan kepada pihak polis. Dalam pada itu, Erra ketika dihubungi Utusan Online memberitahu, ketika kejadian, dia berada di sekolah anaknya di Bangsar. "Sebaik sahaja menerima panggilan jiran, saya bergegas menyelesaikan segala urusan sebelum pulang ke rumah kira-kira pukul 4 petang. "Syukur kerana penjenayah tidak sempat memasuki bahagian dalam rumah dan hanya berada di garaj rumah saya sahaja," katanya. - Utusan






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!