Wednesday, June 12, 2013

Budak lelaki dipenggal kerana dituduh jadi pengintip


Kumpulan militan Taliban telah memenggal kepala dua orang budak lelaki kerana dituduh menjadi pengintip dan menyalurkan maklumat kepada kerajaan campuran untuk mendapatkan makanan. Ketua Daerah Zhari, Jamal Agha berkata, mereka berdua dalam perjalanan pulang dan telah dihalang oleh militan selepas mencari makanan di dalam tong sampah berdekatan ibu pejabat polis di sini yang merupakan bandar kedua Afganistan serta pangkalan tentera asing.

Sehubungan itu, Gabenor Kandahar, Dr. Toryalay Wessa mengarahkan pasukan keselamatan untuk mencari dan menangkap kumpulan militan yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut. Pihak kerajaan juga mempercayai tindakan militan itu sebagai amaran kepada kanak- kanak agar tidak bekerjasama dengan kerajaan campuran. - AGENSI





.

Wanita Tertua di Dunia (tidak diiktiraf) Meninggal Dunia


Seorang wanita yang berusia 127 tahun di China yang tidak diikhtiraf oleh pihak antarabangsa sebagai wanita tertua di dunia, meninggal dunia hujung minggu lalu. Dokumen rasmi menunjukkan Luo Meizhen yang dilahirkan pada 1885, yang menjadikannya wanita tertua yang pernah hidup, meninggal dunia selepas sakit sejak beberapa bulan lalu, kata anak lelakinya, Huang Youhe. "Dia berusia 127 ketika meninggal dunia, kami tidak menjangkakannya (kematiannya)," kata cucu lelakinya, Huang Heyuan.

Luo berkata, berdasarkan tarikh kelahiran emaknya itu, ia adalah manusia tertua di dunia ketika hayatnya, memintas warga Jepun, Jiroemon Kimura, yang berusia 116 tahun. Namun dakwaan Luo itu hanya mendapat sedikit perhatian dunia disebabkan China ketika itu tidak mempunyai sisten pengeluaran surat kelahiran yang boleh diragukan sehinggalah berabad-abad selepas Luo dilahirkan. - AFP





.

Artis dikatakan hamil, tapi menafikannya.. 'itu hanya kesan teknik kamera'


KHABAR angin yang mengatakan penyanyi Avril Lavinge mengandung bukan kali pertama kedengaran. Sekeping gambar penyanyi rock ini sewaktu dia muncul dalam keadaan perutnya yang sedikit besar di London baru-baru ini, kembali menghangatkan cerita yang sama. Seperti dilapor E! Online, Avril dikatakan muncul di London dengan badan yang kelihatan agak berisi. Memakai pakaian bercorak kulit ular sawa, dipadankan dengan jaket kulit hitam dan solekan tebal pada bahagian matanya, imej yang tidak boleh dipisahkan dengannya.


Namun ketika diminta mengulas tentang kehamilannya itu, Avril terus menafikannya. Perut buncit itu katanya biasa sahaja kerana kesan teknik kamera atau disebabkan oleh hal lain dan yang pastinya bukan disebabkan mengandung. Mei lalu, Avril mengumumkan dia akan berkahwin dengan kekasih hatinya, Chad Kroeger. Pasangan ini dikatakan bakal bernikah dalam suasana penuh hebat dan meriah. "Apa yang penting, ia sesuatu yang hebat dan bakal dikenang," kata Lavinge mengenai majlis pernikahan yang bakal diadakan nanti. -AP





.

Boleh ubah jantina dalam pasport?


Mahkamah Agung Nepal mengarahkan kerajaan membenarkan status jantina dalam pasport milik golongan pondan diubah. Ia membolehkan mereka tidak perlu lagi menerangkan sama ada mereka lelaki atau wanita, kata jurucakap mahkamah semalam, langkah yang dialu-alukan aktivis hak asasi. Mahkamah membuat keputusan itu awal minggu selepas satu petisyen seorang pondan yang mahu kategori ketiga diperkenalkan bagi pasport orang yang tidak mahu mereka ditetapkan lelaki atau wanita. - AFP




.

Inilah alasan Farhan menangguhkan perkahwinannya dengan tunang


Penyanyi Nur Farhan Azizan mengakui dia dan tunangnya Ahmad Rashdan Suhaimi, 29, terpaksa menunda majlis perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada tahun ini kepada hujung tahun depan. Farhan, 29, berkata, keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan dia dan tunangnya itu terlalu sibuk dengan kerja masing-masing dan yakin penghujung tahun depan adalah masa yang paling sesuai untuk mereka diijabkabulkan. "Walaupun kurang tampil di televisyen, saya tetap sibuk dengan aktiviti nyanyian untuk pelbagai acara majlis manakala Rashdan pula sibuk dengan kerjanya sebagai Pengurus Akauntan di syarikat Petronas. "Tambah pula sekarang ini saya di bawah pengurusan baru iaitu Aneka Teknik, maka banyak kerja yang perlu diuruskan.

"Insya-Allah, kami merancang untuk kahwin pada hujung tahun depan. Diharap segala perancangan dapat berjalan dengan lancar," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Selasa. Farhan dan Rashdan telah menjalinkan hubungan selama tujuh tahun dan mengikat tali pertunangan pada 12 Februari 2012 dalam satu majlis yang di adakan di Cafe Flora, AmWalk, Ampang dekat sini. Tambah Farhan, dia turut mengakui keluarganya sedikit kurang senang apabila keputusan untuk berkahwin ditundakan kerana menganggap tidak elok bagi pasangan yang sudah bertunang melewatkan pernikahan mereka.

"Biasalah mak ayah pasti risau apabila anak perempuan mereka tidak kahwin-kahwin lagi walaupun perancangan asalnya dibuat pada hujung tahun ini. "Mereka risau, pasangan yang melalui tempoh pertunangan akan menerima pelbagai cabaran dan dugaan. Takut jika perhubungan kami tidak jadi. "Bagaimanapun, Alhamdulillah, selepas menerangkan sebab-sebabnya, mereka faham," ujarnya. Beritahu Farhan, dia yakin kepercayaan masyarakat mengenai 'dugaan dalam pertunangan' lebih disifatkan sebagai pemikiran psikologi semata-mata.

Baginya, dugaan dalam sesebuah perhubungan yang dijalinkan boleh datang pada bila-bila masa tidak kira sama ada pasangan itu sudah bertunang atau belum. Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-4 (AF4) itu, dia bakal merakamkan ‘single’ lagu terbaharu tidak lama lagi selain bakal mengadakan persembahan mini selepas sambutan Aidilfitri nanti. -Mstar






.

Mayat Bekas Tentera Ditemui Dalam Keadaan Reput


Mayat seorang lelaki warga emas dalam keadaan reput ditemui di Flat 88 Relau, di sini Selasa. Mayat Ong Hock Seng, 68, yang juga merupakan bekas tentera ditemui dalam keadaan bogel berhampiran bilik air di tingkat tujuh flat itu pada pukul 6 petang. Saksi kejadian yang juga jiran mangsa, Muhamad Mirzan, 46, berkata beliau menghubungi polis setelah mengesyaki perkara buruk berlaku kepada Ong setelah terhidu bau busuk dari rumah jirannya.

"Dia tinggal seorang diri di flat dan jarang dikunjungi keluarganya. Kami selalu juga bersembang dan kali terakhir saya jumpa dia pada 3 Jun lepas," katanya kepada pemberita. Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata Ong dipercayai terjatuh selepas mandi dan meninggal dunia beberapa hari lepas berdasarkan keadaan mayatnya yang telah berbau.

"Polis dan bomba terpaksa memecah pintu rumah yang berkunci dari dalam dan setakat ini tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa ditemui," katanya ketika dihubungi. Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan siasatan awal mengklasifisikan kes itu sebagai kematian mengejut. -Bernama





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!