Friday, June 14, 2013

Tabiat yang sangat pelik dan menggerikan


Seorang wanita yang mempunyai tabiat seperti pontianak sanggup minum darah sebanyak dua liter setiap bulan. Julia Caples, 45, ibu kepada dua orang anak yang berusia di antara sembilan dan 24 tahun. Dia akan mengambil dua liter darah setiap bulan atas alasan mahu mengekalkan bentuk badan yang menarik. “Apabila saya minum darah, saya akan rasa lebih sihat dan kuat,” katanya dipetik Daily Mirror.

“Saya juga akan berasa lebih cantik jika kerap minum darah. Setakat ini saya sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Saya juga berasa sentiasa bertenaga,” ujarnya. Caples sebaliknya tidak akan mengambil bekalan darah secara haram atau menyerang mangsa sebaliknya, akan mencari penderma darah yang sanggup menderma darah dan datang sendiri ke rumahnya. -AP





.

Sebarkan...... Hospital Selayang cari waris 2 mayat


Hospital Selayang hari ini meminta mereka yang kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi hospital itu bagi mengenal pasti dua mayat yang tidak dituntut di Jabatan Forensiknya di sini. Pengarah hospital Dr Siti Zaleha Mohd Salleh berkata mayat lelaki dan wanita itu tidak mempunyai sebarang dokumen dan pengenalan diri. Lelaki yang berusia antara 70 dan 80 tahun itu meninggal dunia pada 19 Mei lalu manakala wanita berkenaan yang berusia dalam lingkungan 40 tahun meninggal pada 1 Jun lepas akibat kemalangan, katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga agar menghubungi Unit Perhubungan Awam Hospital Selayang di talian 03-61263191 atau Ketua Jururawat/Penyelia Hospital di talian 03-61263333. - Bernama






.

Inilah kopi dengan buih istimewa dari Kazuki Yamamoto yang sangat popular


Pelbagai cara digunakan oleh pemilik kafe untuk menarik orang ramai berkunjung ke kedai mereka, termasuk sebuah kafe di sini yang menyajikan minuman kopi disertakan buih susu bermacam bentuk untuk menarik pelanggan. Seorang artis, Kazuki Yamamoto diberi tanggungjawab untuk menghasilkan pelbagai bentuk buih susu di Cafe10g, di sini dalam setiap cawan kopi yang dihidangkan di kafe itu. Antara bentuk yang dihasilkan oleh Yamamoto ialah buih arnab, badak air, kucing dan zirafah.


Dengan hanya menggunakan tangan dan pencungkil gigi, Yamamoto, 26, bukan sahaja dapat menghasilkan bentuk buih haiwan yang comel, malah ia turut kelihatan seperti objek 3D. Yamamoto berkata, dia mengambil masa antara tiga dan lima minit untuk menghasilkan pelbagai bentuk buih bagi setiap cawan kopi. Selain buih berbentuk haiwan, Yamamoto pernah menghasilkan buih berupa bintang pop Korea, Psy dan beberapa karakter kartun Disney termasuk Mickey Mouse, Goofy dan Pinocchio. - AGENSI





.

Nasib baik dia dapat masuk negara tu..



Seorang kanak-kanak Britain dilaporkan berjaya memasuki Turki dengan hanya menggunakan pasport mainan miliknya. Para pegawai imigresen di lapangan terbang Antalya didakwa melepaskan Emily Harris, 9, dari Cwmbran, South Wales selepas mengenakan stem kastam ke atas pasport mainan dengan gambar kuda bertanduk atau unikorn berwarna merah jambu. Dalam kejadian tersebut, ibu bapa kanak-kanak itu tersalah memberi pasport ketika menunggu giliran di kaunter imigresen selepas mendarat di Turki untuk bercuti selama seminggu.

Ibu kanak-kanak terbabit, Nicky, 43, berkata, dia tidak sedar tersalah memberi pasport tersebut sehinggalah hendak menyimpan semula dokumen perjalanan itu. “Ketika itu saya menjadi panik kerana merasakan ada pegawai akan datang mengejar kami, tetapi tiada apa-apa yang berlaku. “


Pasport itu tidak kelihatan asli kerana ada gambar patung beruang berwarna emas di bahagian kulit depan selain berbeza saiz dengan pasport saya dan suami saya, Allen,’’ katanya. Wanita itu berkata, pasport mainan tersebut pula tertera gambar kuda bertanduk berwarna merah jambu. “Apa yang membimbangkan kami sebagai ibu bapa, kejadian itu menunjukkan mudahnya seorang kanak-kanak diseludup keluar ke negara lain,’’ katanya. - AGENSI






.

Tambang bas bakal dinaikkan sebelum hari raya?


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengkaji sama ada membenarkan pengusaha syarikat bas menaikkan tambang sebanyak 30 peratus. Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata keputusan mengenainya akan dibuat sebelum Hari Raya Aidilfitri. "Kita akan kaji. Banyak mana? Itu kita akan timbang," kata Syed Hamid kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Bas, Trak dan Komponen Antarabangsa Malaysia 2013 di Seri Kembangan, dekat sini Khamis. Beliau diminta mengulas persetujuan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) supaya kerajaan menaikkan tambang bas bagi mengelakkan syarikat terbabit mengalami kerugian sehingga terpaksa menamatkan operasi.

Namun, Syed Hamid berkata pengusaha syarikat bas perlu seiring dengan SPAD dalam mencapai objektif untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam. "Mereka memberi pandangan dan kita juga memberikan pandangan bagi mencari jalan terbaik untuk orang ramai," katanya. Syed Hamid juga berkata kerajaan memahami kehendak mereka yang ingin menaikkan tambang bas, namun mereka tidak seharusnya membuat sesuatu tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Katanya kerajaan selama ini membenarkan pengusaha syarikat bas mengenakan caj tambahan sebanyak 10 peratus apabila tiba musim perayaan bagi membantu syarikat berkenaan. "Masa nak balik, bas mereka penuh. Tapi lepas perayaan, bas mereka kosong. Mereka perlu juga menanggung kos bawa pulang bas kosong. Dan ketika ini kita benarkan mereka kenakan surcaj 10 peratus itu," katanya. - Bernama





.

Kereta hilang 12 tahun lalu, kini ditemui


Kecekapan anggota polis yang bertugas di pos kawalan sempadan di Wang Kelian di sini berjaya menyelesaikan kes kecurian sebuah kereta yang dilapor hilang 12 tahun lalu di Kuala Lumpur. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Supt Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad berkata anggota berkenaan mengesan kereta jenis Proton Waja itu ketika kenderaan terbabit memasuki negara ini pada pukul 1.15 petang. Polis turut menahan sepasang suami isteri warga Thailand berusia 46 dan 41 tahun bagi membantu siasatan kes, katanya pada sidang media, di sini Khamis. Menurut Tengku Mohd Zailan, kereta itu dilapor hilang pada 21 Disember 2001, tiga bulan selepas dibeli oleh pemiliknya di Kuala Lumpur.

Siasatan awal mendapati kereta itu dicuri dan dibawa ke Thailand sebelum dibeli pasangan suami isteri dari wilayah Pattani berkenaan untuk kegunaan keluarga. Mereka juga mempunyai dokumen pemilikan kenderaan yang dikeluarkan negara Thailand dan tidak tahu kereta itu dicuri, katanya. Menurutnya kes itu akan diserah kepada polis daerah Brickfields di ibu negara untuk siasatan lanjut. - Bernama





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!