Saturday, June 15, 2013

CHEESE - CIK QWERTY



Seronoknya membaca novel ini. Hasil tulisan yang unik. Setiap akhir bab ada kata-kata yang menarik diselitkan. Novel mengisahkan 2 insan, Adi Ashq dan Nia Saffiya yang ditakdirkan menjadi suami isteri. Bagi Ashq, Nia adalah seorang pembuli yang suka membulinya ketika kecil. Lama tak bertemu, Ashq terkejut betapa cantiknya Nia kini. Akur dengan perkahwinan yang dirancang oleh kedua ibu bapa mereka, mereka setuju untuk berkahwin. Namun sering saja wujudnya pertengkaran antara mereka. Dan sebagai suami, Ashq sangat manja. Bila Ashq bersedia menjadi 'suami yang sebenar', Nia pula seolah-olah tiada perasaan. Sabarnya Ashq menanti Nia membalas perasaan dan cintanya sehinggalah pada suatu hari Nia turut meluahkan....


"Belajarlah mencintai orang yang hari ini masih milikmu sebelum dia 
pergi dari hidupmu. Hari ini mungkin dia masih mencintaimu, 
tapi mungkin esok takkan ada lagi cinta untukmu dan 
mungkin juga esok kamu akan lebih mencintai dia ketika dia telah pergi.."



Tajuk : Cheese
Penulis : Cik Qwerty
Halaman : 460 muka surat
Harga : RM19/RM22




P/S - Fully recommended by Lulu Caldina






.

Kenapa wanita Islam pakai burka dan niqab di layan dengan buruk?


Wanita-wanita beragama Islam di negara ini kini menerima layanan buruk daripada rakyat Perancis selepas undang-undang melarang pemakaian burka dan niqab dikuatkuasakan pada 2011. Sejak pelaksanaan undang-undang tersebut, terdapat beberapa kes jenayah berlaku melibatkan serangan ke atas wanita-wanita yang memakai pakaian tersebut. Dalam kes pertama semalam, seorang wanita mengandung berumur 21 tahun diserang dan dicederakan dua lelaki 'berkepala botak' yang bertindak menarik purdah dan rambutnya. "Wanita itu dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Argenteuil untuk rawatan bagi kecederaan yang dialaminya," menurut polis.

Jelas polis, kedua-dua lelaki itu turut menghina mangsa menggunakan kata-kata berunsur perkauman dan menyatakan pemakaian purdah tidak dibenarkan di Perancis. Dalam kejadian berbeza pada 20 Mei lalu, seorang gadis bernama Rabia, 17, diserang di Argenteuil kerana memakai purdah. Dua lelaki bertindak memukul Rabia kira-kira pukul 9 malam sambil menjerit 'Arab Pengotor' dan 'Penganut Islam Pengotor'.

Rabia berkata, seorang penyerang menarik purdah serta menolaknya sehingga jatuh dan kemudian bertindak memukul sambil menghinanya. Jelasnya, penyerang hanya berhenti memukulnya apabila ada individu lain melalui kawasan tersebut. Di bawah undang-undang tersebut, wanita yang didapati bersalah memakai burka dan niqab di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga 130 euro (RM539.50). - AGENSI




.

Facebook dan hashtag.. Facebook perkenal butang hashtag



Facebook memperkenalkan perkhidmatan baharu iaitu butang hashtag kepada penggunanya. Penggunaan hashtag telah digunakan secara meluas di Twitter dan laman perkongsian gambar, Instagram sebagai cara pengguna mendapatkan lebih maklumat tentang sesuatu perbincangan atau mengikutinya. Pengguna Facebook sendiri turut mula menggunakan simbol itu dalam komen serta status mereka, tetapi masih belum boleh menggunakannya sebagai alat carian. Namun, Facebook telah menjadikannya kenyataan dan pengguna laman sosial itu kini boleh menambahkan simbol hashtag pada perkataan atau frasa ke dalam pos mereka dengan pengguna lain boleh menekannya serta menggunakannya sebagai terma carian.

Perkataan atau frasa yang diletakkan simbol hashtag akan dipaparkan bersama senarai pengguna lain di seluruh laman tersebut yang turut menggunakannya atau membincangkan isu sama. Sebagai contoh, apabila pengguna Facebook menonton satu rancangan popular televisyen seperti The Apprentice, mereka boleh menambah '#theapprentice' di akhir pos mereka.

Pengguna lain yang turut menonton rancangan sama atau yang belum menontonnya tetapi berminat untuk mengetahui apa yang berlaku, boleh menekan hashtag tersebut. Setakat ini, kira-kira 20 peratus pengguna Facebook boleh menggunakan perkhidmatan baharu itu dan dijangka kesemua penggunanya boleh menggunakan ciri-ciri tersebut dalam tempoh beberapa minggu lagi. - AGENSI






.

Usain Bolt buktikan dirinya masih hebat


Usain Bolt buktikan dirinya masih hebat | Juara Olimpik Usain Bolt membuktikan dirinya masih hebat apabila mencatat masa 19.79 saat untuk memenangi acara pecut 200 meter dalam Liga Berlian. Pemegang rekod dunia itu yang tewas kepada pelari Amerika Syarikat, Justin Gatlin dalam saingan 100m kejohanan sama sebelum ini memecut meninggalkan pesaing yang lain dari mula hingga ke garisan penamat. - Agensi







.

DNA Buktikan Bakal Raja United Kingdom Ada Darah India


DNA Buktikan Bakal Raja United Kingdom Ada Darah India | Ujian DNA mengesahkan yang bakal raja Britain, Putera William akan mencatat sejarah sebagai keturunan diraja yang pertama dari negara itu menaiki takhta sebagai seorang yang memiliki darah keturunan India. Hasil ujian DNA itu membawa William kepada moyangnya yang ke-7 yang telah berkahwin dengan seorang wanita berketurunan separuh Inggeris dan separuh India bernama Eliza Kewark. Belum pernah dalam sejarah seribu tahun keturunan dan susur galur keturunan diraja Britain memiliki darah seorang berketurunan India yang menaiki takhta sebagai raja. Kini nampaknya William bakal memecah tradisi dan sejarah itu.

Walaupun catatan sejarah menunjukkan yang Eliza Kewark sering kali dirujuk sebagai seorang yang berketurunan Armenia, analisis DNA menunjukkan yang wanita itu adalah separuh India dan pernah bermastautin di India. Kajian DNA yang dijalankan oleh beberapa saintis Scottish dari University of Edinburgh mendapati, keturunan Eliza membawa talian DNA yang unik yang dikenali sebagai 'mitochondrial DNA' yang hanya boleh diwariskan oleh seorang ibu kepada anaknya. Dan kajian juga mendapati hanya mereka yang berasal dari sub-benua India sahaja yang memiliki keunikan tersebut.

Kajian sebelum ini ke atas 14 sampel lagi yang membawa keunikan talian DNA tersebut kesemuanya adalah dari benua India. Oleh kerana genetik ini hanya dibawa oleh seorang ibu kepada anaknya maka ia akan terhenti kepada Putera William dan adiknya Putera Henry sahaja. Ibu William, Puteri Diana tidak meninggalkan waris perempuan. Akhbar The Daily Mail melaporkan, putera berusia 30 tahun itu kini dijadualkan untuk melawat India sepertimana yang pernah dilakukan oleh kedua-dua ibu-bapanya pada tahun 1992. -AP





.

Kisah Sedih Dari Maahad Tahfiz Al-Barokah di Tikam Batu



Kisah Sedih Dari Maahad Tahfiz Al-Barokah di Tikam Batu | Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barokah di Tikam Batu, di sini, maut selepas terperangkap ketika banglo dua tingkat yang menjadi kediaman pelajar sekolah itu terbakar, awal pagi tadi. Ketika kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, Aiman Nur Hakim Yahaya,13, dikatakan sedang tidur bersama tiga rakan lain di tingkat atas bangunan itu.Mangsa yang terperangkap dikatakan gagal menyelamatkan diri dan rentung. -BH






.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!