Friday, June 21, 2013

Raja Azmi sah akan bertunang.. Inilah kekasih Raja Azmi


Raja Azmi sah akan bertunang.. Inilah kekasih Raja Azmi | Selepas hampir setahun bergelar janda, penerbit sensasi Raja Azmi Raja Sulaiman bakal bertunang dengan jejaka pilihannya, Mohd Eddie Ghazali pada 15 Julai ini. Menurut laporan Harian Metro, Raja Azmi dan Eddie yang merupakan bekas anggota kumpulan rock tahun 1990-an, CRK yang pernah popular dengan lagu "Cinta Dan Airmata" ini sudah menjalinkan hubungan cinta sejak lima bulan yang lalu. Bercerita tentang hubungan mereka, Raja Azmi, 54, memberitahu mereka berkenalan pada Januari lalu melalui anak saudara Eddie yang merupakan jurulatih di sebuah gimnasium di Kota Damansara yang selalu dikunjunginya.

"Mulanya kami berdua hanya bersahabat namun lama-kelamaan terbit pula perasaan sayang kerana Eddie sangat mengambil berat mengenai diri saya dan mahu mendekati anak-anak saya. Kami juga selalu berbincang dan berkongsi masalah bersama-sama," ujarnya. Raja Azmi turut memberitahu pemain gitar bass CRK yang berusia 45 tahun ini telah kehilangan isteri enam tahun yang lalu dan sejak daripada itu, dia hanya ditemani dua orang anak lelakinya, Daniel, 21, dan Effy, 19. Pasangan ini bercadang untuk mendirikan rumah tangga pada 15 September akan datang dan Raja Azmi memberitahu dia ingin perkahwinan keduanya itu dilakukan mengikut adat Melayu kerana dia masih mempunyai ibu dan abang.


"Eddie juga masih mempunyai ayah dan ibu. Dia anak anggota polis yang berasal dari Kuala Pilah, tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur. Saya akui sangat bahagia kerana seluruh keluarga kami dapat menerima hubungan ini. Doakan kebahagiaan kami," tambahnya lagi. Terdahulu Raja Azmi pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek. Walaubagaimanapun hubungan yang terbina sepanjang 28 tahun itu musnah dan pasangan ini sah bercerai pada 27 Jun tahun lalu. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 28, Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 19.





.

Syarikat penerbangan perkenal kelas 'XL' untuk penumpang bersaiz besar


Syarikat penerbangan perkenal kelas 'XL' untuk penumpang bersaiz besar | Syarikat penerbangan 'kerdil' Samoa, berkata pihaknya akan memperkenalkan tempat duduk kelas “XL” untuk penumpang bersaiz besar serta mempunyai ruang laluan lebih selesa. Samoa Air sebelum ini menjadi perintis kepada penerbangan dunia tahun lalu apabila memulakan kadar tambang yang berdasarkan berat badan penumpang, berbanding kadar tambang mengikut tempat duduk. Ketua Eksekutifnya, Chris Langton, berkata langkah itu dibuat bagi meningkatkan lagi operasi syarikat penerbangan itu dalam menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan.

Katanya, syarikat merancang menawarkan perkhidmatan khas kepada penumpang yang mempunyai berat badan melebihi 130 kilogram supaya mereka dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa. “Kerap kali timbul kesulitan...anda terpaksa dipindahkan ke tempat duduk berlainan dan tiada ruang untuk kaki anda," katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia hari ini. Beliau berkata, kelas 'XL' itu akan mempunyai lebihan ruang antara 30 hingga 35 sentimeter (sm) supaya mereka dapat keluar masuk dengan lebih selesa. - AFP





.

4 Gambar haiwan hasil kacukan singa-harimau


4 Gambar haiwan hasil kacukan singa-harimau | Seekor haiwan kacukan singa-harimau betina dikenali sebagai 'liger' dilapor melahirkan tiga ekor anak spesies hibrid baharu liger-singa yang digelar sebagai liliger di sebuah zoo di Rusia pada bulan lalu.


Ibu ketiga-tiga liliger yang dinamakan Zita itu, merupakan spesies hibrid singa-harimau yang dikenali sebagai 'liger' iaitu spesies kucing terbesar di dunia. Zita dilahirkan di Zoo Novosibirsk, Rusia pada 2004 dan pasangannya, Sam merupakan seekor singa Afrika. Anak pertama Zita lahir pada tahun lepas, dan pada Mei lalu ia melahirkan tiga lagi anak yang kesemuanya betina.


Rupa ketiga-tiga anak haiwan itu kelihatan seperti harimau biasa, tetapi ia merupakan spesies yang unik dan jarang ditemui. Ketiga-tiga anak yang baru dilahirkan itu digelar sebagai 'liliger' hasil kacukan antara singa dan liger.


Liger mempunyai karakter yang sama seperti singa dan harimau iaitu gemar berenang dan bergaul. Spesies tersebut diletakkan di bawah penjagaan zoo kerana habitat singa dan harimau sangat berbeza. - AGENSI





.

Tentera Israel dikatakan dera kanak-kanak Palestin


Tentera Israel dikatakan dera kanak-kanak Palestin | Sebuah badan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mendakwa tentera Israel menganiaya kanak-kanak Palestin termasuk mendera mereka yang berada dalam jagaan dan menggunakan yang lain sebagai perisai manusia. Jawatankuasa Hak Asasi Kanak-Kanak PBB berkata, kanak-kanak Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang dikuasai Israel semasa perang 1967 secara rutin dinafikan pendaftaran kelahiran mereka dan mendapat akses kepada penjagaan kesihatan, persekolahan dan air bersih.

"Kanak-kanak Palestin ditahan oleh tentera Israel dan polis secara sistematik dan menjadi subjek kepada layanan buruk dan kerap diseksa, disoalsiasat dalam bahasa Ibrani, bahasa yang mereka tidak fahami dan menandatangani pengakuan dalam bahasa Ibrani untuk dilepaskan,’’ katanya dalam satu laporan. - REUTERS





.

Malangnya nasib wanita terencat akal ini


Seorang wanita terencat akal dan anak perempuannya dibiarkan hidup di bilik bawah tanah di Ohio bersama ular dan anjing pitbull dengan mendapat layanan seperti hamba selama lebih dua tahun, kata pendakwa Amerika Syarikat. Kes itu mendapat perhatian selepas wanita terbabit ditangkap kerana mencuri sekeping gula-gula dan beliau memaklumkan kepada polis lebih rela untuk dipenjarakan daripada pulang ke rumah hidup bersama teman serumahnya. Tiga suspek Jordie Callahan, 26, Jessica Hunt, 31 dan Daniel Brown 33, yang mengurung wanita terbabit ditahan atas dakwaan penyeludupan manusia selepas satu siasatan pihak berkuasa. Perhambaan moden

“Kita sekali lagi diingatkan mengenai perhambaan moden yang masih wujud di sekeliling kita,” kata Peguam Amerika Syarikat bagi daerah utara Ohio, Steven Dettelbach. “Mangsa dalam kes ini mengalami keganasan, ancaman, keadaan hidup tidak seperti manusia dan perbuatan ngeri lain.” Tuduhan dibuat kira-kira sebulan selepas wanita muda terbabit yang dikurung lebih sedekad ditemui di sebuah rumah di Cleveland, kira-kira 110 kilometer ke utara sebuah bandar kecil di mana wanita kurang upaya itu didakwa menjadi hamba.


Ancam dicederakan 

Wanita yang tidak didedahkan nama itu terpaksa menerima ancaman bahawa anak perempuannya yang kini berusia lima atau enam tahun akan dicederakan atau dipisahkan darinya jika tidak melakukan apa yang disuruh, kata pendakwa. Malah kedua-dua mereka terpaksa tidur di atas lantai simen di bilik bawah tanah yang sentiasa berkunci yang turut menempatkan seekor iguana yang sering berkeliaran. Mereka juga sering kali dipukul, diancam dengan anjing dan ular serta sentiasa dipantau untuk memastikan wanita terbabit tidak membuka ikatan tangan anak perempuannya atau mendapatkan makanan atau air untuk anak perempuannya itu. Mereka turut membotakkan kepalanya ala mohawk dan menulis kata-kata seperti ‘pelacur’ atau perkataan hinaan lain di muka dan dadanya menggunakan pen dakwat kekal, kata kertas tuduhan.


Sering kena ikat 

Budak perempuan terbabit pula sering kali diikat dan dikunci di sebuah bilik dan tidak dibenarkan menggunakan bilik air sehingga ibunya selesai semua kerja rumah. Antara senarai tugas yang terpaksa dilakukan termasuk menjaga binatang kurungan termasuk seekor ular berbisa, ular sawa bola dan ular sawa Burma. Ibu terbabit juga dipaksa menyerahkan kad manfaat kerajaannya dan jarang sekali diberikan wang. Malah mangsa memberitahu polis beliau biasanya terpaksa menunggu sehingga jam 8 malam untuk memberikan sebarang makanan kepada anak perempuannya itu. - AFP





.

Luahan Shila Amzah mengenai muat naik gambar sendat


Penyanyi Shila Amzah menganggap tindakannya memuat naik gambar pakaian senaman yang dilihat agak sendat di laman sosial Instagram hanya untuk berkongsi bersama peminat-peminatnya. Shila, 23, berkata dia tidak menyangka perkara tersebut telah mencetuskan kemarahan masyarakat yang menganggap gambar tersebut sebagai tidak sopan. "Saya tidak sedar dan tidak terfikir langsung perkara tersebut boleh jadi isu kerana tujuan sebenar saya berbuat demikian adalah untuk berkongsi kegembiraan dengan peminat yang saya memiliki pakaian yang sesuai untuk ke gim. "Setelah memuat naik gambar itu, saya terus tinggalkan telefon bimbit di rumah dan sejam selepas itu saya lihat ibu dan ayah hantar mesej meminta saya menghapuskan gambar tersebut dengan segera. Ketika itu baru saya tersedar ia sensitif," jelasnya.

Dalam pada itu Shila yang kini bermastautin di Shanghai, China mengakui aktif berkomunikasi dengan peminat-peminatnya melalui laman sosial Instagram dan berkongsi aktivitinya setiap hari. "Saya tinggal di sana sendirian jadi saya banyak habiskan masa dengan peminat jika ada masa terluang. "Mungkin kerana itu saya tidak menyangka ia boleh dijadikan isu kerana saya faham cara berfikir kita berbeza, saya fikir lain orang lain pula nampak lain," jelasnya.Bagaimanapun, kata Shila dia mengambil positif kejadian tersebut sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati ketika berkongsi kegiatan hariannya. Sementara itu, diminta mengulas berkaitan bekas kekasihnya Sharnaaz Ahmad yang dikatakan rapat dengan seorang pelakon baru berasal daripada Singapura, Elfaiza Ul Huq, Shila menganggap ia adalah perkara peribadi aktor tersebut.


"Hubungan kami sudah berakhir dan itu adalah hak dia untuk berkawan dengan siapa sahaja. "Bagus untuk dia dan saya harap yang terbaik sahaja," katanya. Jelas Shila, dia tidak mengikuti perkembangan aktor tersebut berikutan banyak laman web dan laman sosial yang tidak dibenarkan oleh negara tersebut. "Banyak laman web yang diharamkan di China, jadi saya kurang ambil tahu. Kadang-kadang berita industri hiburan Malaysia pun saya tertinggal," katanya. Namun, Shila berkata jiwanya kini lebih tenteram dan bahagia dalam menjalani kehidupan dan persekitaran kerja yang baharu. Dalam perkembangan lain, Shila yang bercuti selama dua minggu sebelum pulang ke China akan melancarkan album terbaharunya dalam masa terdekat. -Mstar





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!