Monday, June 24, 2013

MEH, SANDAR PADA AKU! -AIFA BATRISYA



MEH, SANDAR PADA AKU! -AIFA BATRISYA | Siyes tak sangka, jalan cerita novel ni sangatlah memikat hati.. hehe, tersengih-sengih sorang lulu masa baca tau.. Cerita mengisahkan seorang lelaki, Doktor Syed yang sangat pelik orangnya. Berhadapan perempuan umpama satu ancaman yang harus dijauhi sehinggakan dia sering disalah tafsir sukakan lelaki.. Huhu.. Tapi semua itu berlaku ada sebabnya. Namun apa yang peliknya, Doktor Syed menerima seorang pelajar praktikal, Afnan Tasneem.. ye perempuan.. Bermulalah putaran hidup yang sangat berbeza buat Doktor Syed.

Tiba-tiba Doktor Syed jadi abang tiri Afnan Tasneem bila mama Afnan Tasneem berkahwin dengan papa Doktor Syed. Dan mereka terpaksa tinggal serumah. Dalam tak sedar, Doktor Syed ada hati dengan adik tiri sendiri. Apatah lagi bila sepupu Doktor Syed sendiri, Syed Emir dah jatuh hati dengan Afnan Tasneem yang lebih mesra dipanggil Anim. Melihat ada cinta anaknya buat anak tirinya, papa Syed nekad mempertunangkan mereka. Doktor Syed dengan Aleesya dan Anim dengan Syed Emir. Satu kejadian yang tak dijangka berlaku apabila mama dan papa mereka terkorban diluar negara. Sedih melihat Anim yang keseorangan, Doktor Syed mengahwininya. Bermulalah perjalanan hidup mereka sebagai suami isteri. Baru saja Anim mula menyayangi suaminya, mereka diduga dengan keadaan Aleesya yang menghidap 'mental disorder' akibat kecewa. Doktor Syed di minta untuk mengahwini Aleesya, dalam erti kata lain, Anim bakal dimadukan. Dengan membawa hati yang rajuk, Anim pergi meninggalkan Doktor Syed.

Adakah Doktor Syed akan mengahwini Aleesya? Bagaimana pula dengan Anim? Dan pada suatu hari, Syed Emir pula kembali menagih kasih..Apa akan terjadi dengan hubungan suami isteri ini?? Jom dapatkan novel yang sangat best ini..

.


Tajuk : Meh, sandar pada aku!
Penulis : Aifa Batrisya
Halaman : 581 muka surat
Harga : RM22/RM25



P/S - Fully recommended by Lulu Caldina






.

Nelson Mandela kini kritikal



Nelson Mandela kini kritikal | Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, 16 hari selepas dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru. "Keadaan Mandela yang masih berada di hospital di Pretoria semakin kritikal," kata jurucakap presiden Afrika Selatan, Mac Maharaj. Terdahulu keadaan kesihatan Mandela, 94, serius tetapi dilaporkan stabil. Namun selepas lebih hampir dua minggu menjalani rawatan intensif di Hospital Jantung Mediclinic di Pretoria, keadaan kesihatannya semakin serius sepanjang minggu ini. Presiden Jacob Zuma melawat Mandela pada petang Ahad dan dimaklumkan oleh doktor bahawa keadaan bekas presiden itu kritikal dalam tempoh 24 jam lalu.





.

Tarikh perkahwinan belum tahu, tapi dah banyak penaja sedia bekerjasama untuk majlis perkahwinan Rozita Che Wan



Tarikh pernikahan belum ditetapkan, namun pelakon cantik, Rozita Che Wan, 42, mengakui sudah ada beberapa penaja bersedia membantu majlis perkahwinannya kelak. Menurut Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, semua tajaan dari segi lokasi, makanan, pakaian dan sebagainya sudah pun disediakan untuk majlis pernikahannya yang dijangka berlangsung penghujung tahun ini. "Cuma satu sahaja barang yang belum mendapat penajaan iaitu cenderamata untuk tetamu. Berkenaan dengan tarikh, masih rahsia. Tunggu sahaja, kami akan mengumumkan tarikh sebenarnya dalam satu sidang media tidak lama lagi," katanya.

Menurut Rozita, sehingga kini, dia dan bakal suami belum membuat keputusan untuk memilih siapakah di antara penaja yang bakal berkerjasama dengan mereka. "Untuk lebih adil bagi semua pihak, hanya selepas sidang media, kita akan ketahui siapakah yang akan dipilih untuk penaja untuk pakaian, lokasi, makanan dan sebagainya bagi perkahwinan itu nanti," katanya. Pada awal tahun lalu, Rozita mengumumkan dia dan kekasih hatinya, pelakon Zain Saidin, 29 bakal mendirikan rumah tangga setelah lebih dua tahun bercinta. Janda beranak dua ini memilih pelakon berdarah kacukan itu kerana senang dengan sikap memahaminya, walaupun mereka 13 tahun berbeza usia. - Utusan





.

Apalah nak jadi ni?


Tindakan seorang gadis berusia 16 tahun melarikan diri selama tiga hari dari rumah sejak Ahad lalu, membongkar rahsia remaja itu dan dua adiknya yang sebenarnya tertekan kerana menjadi hamba seks kepada bapa dan bapa saudaranya sejak sembilan tahun lalu. Rahsia itu terbongkar hanya selepas remaja tersebut ditemui semula oleh ibu saudaranya lalu menceritakan peristiwa hitam dia dan dua adiknya berusia 11 dan 14 tahun dirogol kedua-dua suspek. Ibu dan ibu saudara mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara sejurus selepas itu. Difahamkan, bapa mangsa berusia 42 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan bapa saudara mereka berusia 37 tahun memaksa tiga beradik itu menerima wang setiap kali selepas dirogol selain diugut akan dipukul jika kejadian tersebut dihebahkan. Perbuatan keji itu dipercayai telah berlaku sejak ketiga-tiga mangsa berusia tujuh tahun lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Supritendan Mohd. Shukri Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan penahanan kedua-dua suspek pada hari sama laporan dibuat. "Siasatan mendapati remaja terbabit mendakwa dirogol bapanya sejak 2004 di rumah mereka di Kampung Permatang Berangan di sini setiap kali ibunya keluar bekerja sebagai pembantu kantin sebuah sekolah di sini. "Dia dan dua adik perempuannya juga dirogol di rumah bapa saudara mereka di Ladang Malakoff yang terletak tidak jauh dari rumah mereka tanpa mengira masa sejak masing-masing berumur tujuh tahun," katanya. Mohd. Shukri berkata, ketiga-tiga beradik berkenaan tidak berani menceritakan apa yang berlaku kerana takut dicederakan biarpun ibu mereka yang berusia 40 tahun melihat perbezaan sikap tiga anaknya itu yang seolah-olah berada dalam keadaan trauma sepanjang masa.

Menurutnya, bapa mangsa tidak bekerja dan memegang kad OKU manakala bapa saudara mereka yang bekerja sebagai buruh tinggal seorang diri di ladang berkenaan dan belum berkahwin. Kedua-dua suspek ujar beliau, kini direman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 376(A) Kanun Keseksaan iaitu sumbang mahram dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan. "Ketiga-tiga mangsa pula ditempatkan di hospital daerah di sini untuk pemeriksaan dan laporan awal perubatan mengesahkan kemaluan kesemua mangsa mempunyai kesan koyakan lama dan baharu," katanya.






.

Kerana cintanya di tolak, dia bertindak ganas


Seorang penerbit drama di barat daya Pakistan dilaporkan menyimbah asid pada seorang aktres kerana enggan berkahwin dengannya, di sini hari ini. Menurut polis, Shaukat Khan menyerang Bushra, 18, di rumahnya di daerah Noshera di wilayah Khyber-Pakhtunkhwa. Shaukat dikatakan memaksa mangsa untuk berkahwin dengannya, namun ditolak, menyebabkan suspek bertindak ganas. - AFP




P/S - Mangsa bersama abangnya




.

Pengakuan Yasmin Hani mengenai lukisan inai berbentuk tatu di lengan suaminya



"JIKA ia satu kesilapan, saya mohon maaf dan saya juga belajar dari kesilapan. Saya harap tiada lagi pihak yang akan memperbesar-besarkan isu terbabit lagi," begitulah luahan pelakon dan pengacara, Yasmin Hani berhubung isu lukisan inai menyerupai tatu di lengan suaminya, Sha'arin Razali, baru-baru ini. Pada 8 Jun lalu, Hani dan suaminya telah terbang ke Bali, Indonesia untuk bercuti bersama dan Hani juga ada memuat naik beberapa gambar sepanjang mereka di sana. Namun, yang menjadi perhatiannya adalah dua keping gambar, sekeping gambar berdua yang memperlihatkan lengan suaminya seperti mempunyai tatu dan sekeping lagi gambar yang memperlihatkan Sha'arin seperti melukis tatu di lengan.

Menurut Hani, dia menjangkakan melukis inai di lengan sama seperti apabila wanita yang ingin berkahwin melukis inai di tangan dan kaki mereka. Bagaimanapun, dia tidak sangka perkara ini menjadi isu dan perhatian ramai pihak. "Selepas isu ini keluar, saya ada juga mencari maklumat tentang hukum melukis inai di tubuh. Saya juga kurang pasti dengan perkara ini dan setiap teguran yang diberikan, saya terima dengan hati terbuka. "Cuma saya agak kesal dengan teguran dengan kata-kata kesat. Bagi saya, kata-kata menggambarkan diri kita yang sebenar. Saya bukan tak solat dan tak tahu hukum hakam langsung. "Lagipun lukisan itu telah pun hilang beberapa hari kemudian. Cukup-cukuplah bermain dengan isu ini. Ada banyak lagi isu besar yang perlu diberi perhatian," ujarnya kesal.


Tidak serik 

Ditebak adakah dia serik lagi untuk berkongsi gambar peribadinya di laman sosial, Hani berkata, dia tak ambil peduli dengan kontroversi yang berlaku. "Sejujurnya, walaupun emosi saya terganggu dalam keadaan saya hamil dengan perkara ini kerana rasa tertekan, tapi saya tetap akan berkongsi beberapa momen yang saya lalui di laman sosial. "Saya tetap akan menjadi diri saya sendiri dan tidak akan cepat melatah dengan kritikan daripada pihak lain. Lagipun, ia tidak menjejaskan kehidupan saya langsung dan saya juga tak suka jejaskan kehidupan orang lain," jelasnya.


Perlahankan karier seni 

Berkongsi perkembangan kariernya, Hani berkata, memandangkan usia kandungannya bakal mencecah usia lima bulan Selasa ini, dia sudah mula memperlahankan aktiviti seninya demi keselamatan. Ujarnya, dia masih menerima undangan majlis dan menjadi pengacara majlis, tetapi sudah mula menolak tawaran berlakon. "Ada antara tawaran memerlukan saya menjayakan watak aksi. Jadi, saya terpaksa tolak dan memandangkan perut juga sudah semakin kelihatan, jadi tiada watak sesuai buat saya," katanya. Menurut Hani, dia bersyukur kerana tidak mengalami alahan yang teruk ataupun mengidam makanan pelik-pelik. "Alhamdulillah, pengalaman pertama kali hamil ini memang terasa mudah, saya tidak alami alahan yang teruk, mengidam bukan-bukan. "Saya juga boleh buat kerja seperti biasa. Cuma, keadaan jerebu sekarang membuatkan saya kurang sihat sedikit," katanya. -ym






.

Inilah sMS terakhir Sumaiyah Romli, pelajar Malaysia di luar negara sebelum maut dalam kemalangan di Jordan


Sumaiyah Romli, pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan di Jordan Jumaat lepas, sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bapanya memberitahu mahu melawat tempat peninggalan para nabi bersama rakan-rakannya, pada awal pagi hari kejadian. Bapanya Romli Hasan, 53, berkata Sumaiyah, 21, menghantar SMS itu kira-kira pukul 10 pagi (waktu Malaysia) dan memaklumkan sudah bersarapan di rumah seorang pelajar Malaysia di Jordan, sebelum bertolak mengikuti lawatan tersebut. Katanya Sumaiyah, pelajar tahun satu bidang astronomi fizik University College London (UCL) tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam, berada di Jordan sejak seminggu lepas dan dijangka pulang ke London Khamis ini, sebelum pulang ke tanah air Jumaat ini bagi menghabiskan cuti semester.

Romli yang bertugas di Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), berkata anak perempuan tunggalnya itu juga merancang menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarga di tanah air kerana cuti semesternya sehingga September ini. "Saya dapat tahu mengenai kejadian ini dari kawan Sumaiyah pukul 4 pagi semalam (Sabtu). Lepas tu saya hubungi pegawai Pelajaran Malaysia di Jordan sebelum mereka sahkan anak saya dah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Mutiara, Jalan Pipit, Lebuhraya Sultanah Bahiyah. Romli berkata beliau juga turut menghubungi seorang rakan anaknya yang terlibat dalam kemalangan itu untuk mengetahui keadaan sebenar tetapi rakan anaknya enggan bercerita lanjut. Katanya anak keempat daripada enam beradik itu mempunyai hubungan erat dengan keluarga dan sering menghubunginya dan keluarga menerusi laman sosial 'Skype' setiap minggu sejak belajar di London.

"Saya selalu berhubung dengan anak saya melalui Skype. Adalah sekali atau dua kali dalam seminggu kami akan berhubung bertanya khabar dan sebagainya," katanya. Romli berkata jenazah anaknya akan tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang malam esok sebelum dibawa ke rumahnya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Bukhary di sini pada malam itu juga. Dalam kejadian antara pukul 5 dan 6 petang (waktu Jordan) kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Sumaiyah dan empat pelajar Malaysia terbabas dan terjunam ke dalam gaung di jalan antara Petra dan Aqabah kira-kira 320 kilometer dari Aman, Jordan.

Kemalangan itu meragut nyawa Sumaiyah dan menyebabkan empat yang lain cedera iaitu Muhammad Nazirul Mubin Nasruddin, Mohamad Shukri Alias, Nur Ili Dayana Mazlan @ Masgelan dan Humairak Ibrahim. Muhammad Nazirul, Humairak dan Muhamad Shukri merupakan pelajar tahun tiga di Universiti Yarmouk, Jordan. Muhammad Nazirul dan Humairak mengikuti pengajian dalam jurusan ekonomi dan perbankan Islam. Nur Ili Dayana pula pelajar tahun empat di UCL tajaan Bank Negara Malaysia. - Bernama






.

Anak kembar panda yang cipta sejarah


Seekor panda melahirkan anak kembar di China, sekali gus mencatat kelahiran pertama di dunia pada tahun ini. Agensi berita Xinhua melaporkan, kedua-dua anak panda itu dilahirkan oleh seekor panda betina yang diberi nama Haizi di Pusat Hutan Simpanan Wolong di barat daya wilayah Sichuan pada petang semalam. Terdapat kurang daripada 1,600 panda liar direkodkan di seluruh dunia dan Sichuan merupakan antara tempat utama habitat haiwan tersebut. - AFP





.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!