Thursday, September 5, 2013

iPhone dan Model Terbaru 10 September Ini



iPhone dan Model Terbaru 10 September Ini  | Apple pada Rabu menghantar undangan bagi menghadiri majlis pelancaran model terbaru iPhone dan memperkenalkan versi harga rendah pada 10 September ini. Kad jemputan dengan gaya Apple hanya memberikan sedikit maklumat. Maklumat tertera "Ini akan menceriakan hari setiap orang" terletak di bawah logo syarikat itu di muka surat dengan bintik bulatan warna warni cerah. Rekaan itu mungkin membuktikan laporan bahawa Apple merancang untuk memperkenalkan iPhone dalam warna pelangi termasuk emas. Acara istimewa berkenaan akan berlangsung di ibu pejabat Apple, Cupertino, Lembah Silikon.




.

Nama jalan mencetus kontroversi


Hasrat untuk menukar empat nama jalan di sekitar kawasan Monumen Nasional (Monas) mencetuskan kontroversi khususnya apabila nama bekas Presiden Suharto turut berada dalam senarai perubahan berkenaan. Antara yang menolak hasrat meletakkan nama Suharto sebagai ganti nama di sekitar kawasan Jalan Merdeka di tengah-tengah pusat pentadbiran negara itu ialah Timbalan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama. "Saya enggan memberi sebarang komen. Sudah ada pasukan khas yang melakukan kajian terhadap perubahan nama jalan. Lebih baik ditanya sendiri kepada Gabenor (Joko Widodo)," kata Basuki. Menurut Basuki, secara peribadi beliau lebih gemar seandainya nama Jalan Medan Merdeka Barat, Utara, Timur dan Selatan dikekalkan memandangkan perkataan merdeka itu diletakkan atas sebab tersendiri.

Usul mengubah nama jalan itu dikemukakan sebuah kumpulan digelar Majlis 17 yang diketuai oleh Jimly Asshidiqie yang juga bekas Ketua Mahkamah Persekutuan. Kumpulan berkenaan meminta pertimbangan kerajaan untuk mengabadikan nama tokoh-tokoh besar Indonesia seperti Sukarno, Mohammad Hatta, Ali Sadikin dan Suharto di sekitar Monas. Soekarno dan bekas Naib Presidennya, Mohammad Hatta merupakan tokoh kemerdekaan negara, sementara Suharto terkenal kerana berjaya membawa perubahan pesat kepada pembangunan Indonesia selama 32 tahun berkuasa dan Ali Sadikin pula diiktiraf sebagai Gabenor Jakarta yang tersohor. Menurut Basuki, cadangan perubahan nama jalan sedia ada kepada empat nama tokoh negara itu hanya akan membawa kepada desakan daripada pihak lain pada masa depan pula khususnya pada jalan-jalan utama lain.

"Tentu sekali ada banyak pro dan kontra dalam isu ini. Kalau ada Suharto kenapa nama Abdurrahman Wahid (Gus Dur) tiada dalam senarai? Bagaimana pula dengan Megawati? B.J Habibie dan Susilo Bambang Yudhyono?," kata beliau. Basuki turut mencadangkan, hasrat untuk menukar nama jalan itu harus dikaji semula dalam usaha untuk memuaskan hati semua pihak walaupun beliau secara peribadi lebih suka nama keempat-empat jalan sedia ada dikekalkan. - Utusan





.

Gambar bangunan pencakar langit di London yang mencetus huru-hara



Gambar bangunan pencakar langit di London yang mencetus huru-hara |Sebuah bangunan pencakar langit di London didakwa telah menyebabkan sebuah kereta Jaguar yang diparkir di luar premis terbabit mencair. Pemiliknya, Martin Lindsay memberitahu cermin sisi dan beberapa panel kereta mewahnya itu mencair selepas sejam ia ditinggalkan berhampiran menara Walkie Talkie yang masih lagi dalam pembinaan.


Dalam satu kenyataan, pemaju bangunan setinggi 37 tingkat itu memaklumkan mereka kini sedang berusaha untuk menangani masalah tersebut kerana ia dipercayai berpunca daripada kedudukan matahari yang berubah pada waktu tertentu. "Perkara ini mungkin akan berterusan selama dua hingga tiga minggu lagi," jelas jurucakap Land Securities and Canary Wharf menerusi Reuters.


Susulan daripada insiden terbabit, tiga kawasan parkir kenderaan telah ditutup majlis perbandaran. Difahamkan, pemaju terbabit juga telah memohon maaf kepada Lindsay dan bersetuju untuk membayar ganti rugi berjumlah 946 pound (RM5,000) kepada beliau. -AP




.

Gambar terkini penyanyi Ina Naim dan keluarga


Gambar terkini penyanyi Ina Naim dan keluarga | Bekas penyanyi Ina Naim kini tampil dengan imej purdah sejak empat bulan lalu selepas diminta suaminya yang juga penyanyi nasyid iaitu Mohd Suhaimi Saad. 33. Ina atau nama sebenarnya Nordiana Md. Naim, 29, berkata, pada mulanya dia kurang selesa dengan imej itu tetapi selepas hampir empat bulan memakainya, dia sudah mula serasi dan tidak bermasalah dalam melakukan segala aktiviti harian. "Alhamdulillah saya sudah pun melalui fasa baharu dalam hidup sebagai umat Islam. "Lagipun hukum berpurdah itu sunat dan apabila suami meminta saya untuk berubah imej, saya akur. Kiranya saya lakukan ini semua kerana Allah dan suami," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu. Tambah Ina, keputusannya untuk berpurdah juga bagi mengelak daripada difitnah individu yang tidak bertanggungjawab.

Mengenai perkembangan terbaharu, bekas tunang penyanyi Mawi ini menjadi suri rumah sepenuh masa dan bahagia dalam menjaga ketiga-tiga anaknya iaitu Ehmad Hadie Elfardi, 5, Sallman Elkhoyri, 3, dan Thyrosh Elfadwah yang berusia setahun. "Buat masa ini saya hanya menjaga anak-anak dan menguruskan suami. Maklumlah mereka masih kecil, maka perlu diberi perhatian lebih "Bagaimanapun agak mengejutkan juga kerana saya masih menerima undangan membuat persembahan. Walaupun tidak seaktif dahulu, sekali sekala ada yang memanggil," tuturnya.

Kata Ina undangan persembahan yang masih ditawarkan kepadanya membuatkan dia menyimpan hajat untuk kembali aktif menyanyi apabila anak-anaknya sudah dewasa kelak. "Kalau nak tahu, suami telah menyediakan beberapa lagu buat saya. Tinggal nak rakamkan sahaja. "Insya-Allah jika tiada aral, saya akan muncul dengan lagu-lagu berunsur dakwah. Tak tahu bila, tetapi biarlah anak-anak besar sikit," katanya. Ina pernah merakamkan sebuah album mini tidak lama dahulu yang turut memuatkan lagu Rebah, kisah mengenai kehancuran cintanya dengan Mawi. Ina dan Suhaimi diijabkabulkan sebagai pasangan suami-isteri pada 12 Ogos 2007. -Mstar




.

Pelakon terkenal memfailkan notis tunjuk sebab terhadap bapa di mahkamah


Pelakon terkenal memfailkan notis tunjuk sebab terhadap bapa di mahkamah | Pelakon terkenal, Wan Nor Azlin Wan Mohd Hussin memfailkan notis tunjuk sebab terhadap bapanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, supaya memberi alasan mengapa tidak boleh dipenjarakan berhubung isu penjualan rumah di Taman Keramat. Dalam prosiding di hadapan Hakim Mohamed Fouzi Mokhtar, peguam, Mahyuddin Md Zahari yang mewakili Wan Nor Azlin, 45, memaklumkan pihaknya telah menyerahkan notis kepada defendan, Wan Mohd Hussin Wan Ibrahim pada Ahad lalu. Peguam Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Wan Mohd Hussin, 76, kemudian mengesahkan kata-kata Mahyuddin. Beliau bagaimanapun memohon satu tempoh masa untuk meneliti kes tersebut kerana baru dilantik.

Sehubungan itu, Mohamed Fouzi berkata, bagi melancarkan perjalanan kes, beliau mengarahkan defendan untuk membuat afidavit pembelaan sebelum kes disebut semula pada 11 September depan. Wan Nor Azlin ketika ditemui media sejurus prosiding enggan melayani pertanyaan lanjut berhubung notis yang difailkan. Sementara itu Roshdan pula berkata, perintah komital yang difailkan plaintif adalah berhubung isu penjualan rumah milik defendan di Taman Keramat. Pada 31 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan permohonan Wan Nor Azlin untuk mengetepikan saman bapanya yang mahu mendapatkan perintah supaya pelakon itu keluar dari rumah berkenaan.

Wan Mohd Hussin dalam writ saman yang difailkan pada 5 Februari lalu mendakwa, dia ingin menjual rumah yang mereka duduki bersama di Taman Keramat dan mahu defendan keluar dari rumah. Namun defendan enggan berbuat demikian kerana ada kepentingan selepas memasang kabinet dapur dan almari pakaian walaupun ia dibuat atas kehendak defendan sendiri. -SH




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!